Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Fruit Valley raih untung setiap bulan, anjur pelbagai aktiviti tarik pelancong

SHAH ALAM, 4 FEB: Selangor Fruit Valley (SFV) berjaya meraih keuntungan setiap bulan sejak aktiviti pelancongan dibuka semula pertengahan Oktober tahun lepas.

Pengurus Pemasaran Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata kutipan itu diperoleh menerusi jualan tiket, barangan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran selain penganjuran aktiviti serta seminar.

“Ketika banyak pusat pelancongan lain mengalami kerugian dan berusaha untuk bangkit semula, SFV masih mampu bertahan malah operasi berjalan agak baik sehingga ke hari ini.

“Kita turut mendapat maklum balas positif dengan rata-rata pengunjung teruja merasai pengalaman baharu melalui pelbagai aktiviti dan program disediakan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memaklumkan pengeluaran sayur dan buah di ladang SFV semakin bertambah sekali gus menjamin rantaian bekalan makanan negeri ini.

“Ladang utama kita beroperasi sepenuhnya dan tidak henti-henti mengeluarkan hasil,” katanya.

Terletak di Bestari Jaya, SFV membabitkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 baucar pelancongan negeri habis ditebus dalam seminggu

SHAH ALAM, 28 OKT : Sebanyak 10,000 Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 habis ditebus menerusi aplikasi beli-belah Shopee hari ini, kata ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya berpuas hati apabila baucar yang ditawarkan kepada umum pada Jumaat lalu habis dalam tempoh seminggu meskipun tarikh penebusan dibuka sehingga 31 Disember.

“Semua baucar habis ditebus dan kita yakin ia habis diguna memandangkan rakyat Malaysia kini teruja untuk bercuti selepas diberi kebenaran merentas negeri dan daerah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika bercuti atau beriadah bersama keluarga.

Sebanyak 170 pakej pelancongan ditawarkan melalui 35 agensi menerusi baucar itu. Pembelian terhad untuk satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.

Inisiatif bernilai RM2.55 juta itu sebahagian tawaran dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dilancarkan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu bagi merancakkan semula aktiviti sektor pelancongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langkawi terima lebih 38,000 pelancong sejak dibuka – menteri

KUCHING, 3 OKT: Projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah, mencapai kejayaan membanggakan selepas merekodkan ketibaan 38,748 pelancong dan menjana pendapatan lebih RM15 juta sejak dibuka pada 16 Sept lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah tersebut lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak 30,000 orang dan disifatkan sangat memberangsangkan.

“Kami berharap dapat mengumumkan kebenaran rentas negeri sedikit masa lagi dan menjelang pengumuman itu, kami boleh buka gelembung pelancongan di tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Kampung Budaya Sarawak hari ini.

Nancy berkata kerajaan juga sedang menimbangkan untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi gelembung pelancongan antarabangsa pertama di negara ini.

“Minggu depan saya akan berbincang dengan rakan sejawat dari negara-negara lain dan kami akan mengaturkannya (gelembung pelancongan). Langkawi merupakan model terbaik untuk inisiatif ini kerana kita ada Qatar Airways dan beberapa penerbangan antarabangsa lain yang akan tiba di pulau itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Nasaruddin Abdul Muttalib berkata daripada 38,748 pelancong yang tiba di pulau peranginan itu, seramai 26,377 orang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7,480 orang lagi melalui Jeti Kuah.

“Satu lagi pintu masuk utama iaitu Dermaga Tanjung Lembung (Langkawi Port) merekodkan kemasukan kira-kira 4,891 pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasaruddin berkata sekiranya jumlah kemasukan pelancong itu dapat dikekalkan tidak mustahil sasaran kerajaan untuk menerima sekitar 400,000 pelancong sehingga Disember ini mampu dicapai.

Dalam pada itu, Nasaruddin berkata Lada berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Majlis Keselamatan Negara membuka semula sektor pelancongan pulau itu kepada pasaran antarabangsa seawal bulan depan atau Disember sekiranya bersesuaian.

“Ketika ini, usaha pembentukan tatacara operasi piawai (SOP) gelembung pelancongan antarabangsa sudah mula digerakkan dengan kerjasama Motac, tertakluk kepada kelulusan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Nasaruddin berkata rundingan bersama beberapa syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa seperti Qatar Airways, AirAsia Bhd dan Scoot Tigerair Pte Ltd juga telah dimulakan bagi merancang aturan perjalanan penerbangan berjadual dan dari negara-negara tertentu.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM5 juta kepada Kampung Budaya Sarawak bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan itu.

“Kerja-kerja penambahbaikan fizikal di Kampung Budaya Sarawak akan bermula pada pertengahan bulan ini dan mengambil masa lebih kurang lapan bulan untuk disiapkan iaitu pada Jun 2022,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PBT wajar kenakan kompaun pengunjung ingkar SOP

KLANG, 27 SEPT: Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun kepada pelancong ingkar tatacara operasi piawai (SOP) disokong bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata langkah itu perlu memandangkan jangkitan ketika ini tidak terkawal dan merisikokan ramai individu.

“Kita (PBT) terpaksa buat begitu. Mereka mempunyai kuasa bawah peruntukan MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk saman individu tak ikut SOP.

“Sekarang ada kawasan yang tidak dapat dikawal (ramai pengunjung). Kita tiada pilihan dan terpaksa keluarkan saman,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat DUN Sentosa semalam.

Sementara itu Loy Sian turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak ghairah membawa anak-anak bercuti kerana penularan wabak masih tinggi.

“Buat masa ini tidak sesuai melancong. Kita pun belum masuk fasa tiga (Pelan Pemulihan Negara). Kalau mahu rentas daerah pastikan lengkap vaksin serta ikut SOP,” katanya.

Bermula minggu depan, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan mengenakan kompaun kepada pengunjung Pantai Bagan Lalang yang gagal mematuhi SOP.

Yang Dipertua Datuk Abd Hamid Hussain berkata individu ingkar akan dikompaun sehingga RM2,000 manakala RM10,000 bagi syarikat atau perbadanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Setiap pelancong yang akan bercuti di Pulau Langkawi, Kedah bermula esok diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan mereka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun. Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala perlu dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif, dan hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang terlibat boleh menjalani ujian saringan sama ada menggunakan RT-PCR atau RTK-Antigent di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta, atau menggunakan kit ujian kendiri saliva yang dibeli sendiri.

Khairy berkata untuk RT-PCR dan RTK-Antigent, individu perlu melakukannya dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk iaitu lapangan terbang atau terminal feri, sebelum berlepas.

“Selain itu, pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19, di tempat saringan yang disediakan.

“Atau pun pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri, dan menjalani ujian pengesanan di situ,” katanya.

Khairy berkata ujian yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang didapati negatif Covid-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat sedia ada,” katanya.

Beliau berkata projek rintis gelembung pelancongan domestik itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

“Saya ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna, kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Pelancong ke Langkawi guna pesawat tidak perlu surat polis

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Individu yang menggunakan pesawat udara untuk melancong ke Pulau Langkawi, Kedah bermula 16 Sept ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam ciapan di laman Twitter berkata hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri tersebut sahaja perlu berbuat demikian.

“Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, surat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya diperlukan sekiranya pelancong melalui jalan darat,” katanya.

Pada 9 Sept, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengusaha pelancongan sedia terima pengunjung, tetap amal SOP ketat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pengusaha pelancongan Selangor membuat persediaan rapi untuk menerima semula kehadiran pengunjung susulan penurunan kes Covid-19 dan kadar vaksin tinggi di negeri ini.

Pengurus pemasaran Bernam Nature Hut Johari Mohd Sharif berkata jika sektor pelancongan dibenar beroperasi, pusat perkelahan itu akan menititkberatkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan membenarkan kehadiran 50 peratus pengunjung sahaja.

Aktiviti perkhemahan di Bernam Nature Hut. Foto BERNAM NATURE HUT

“Langkah ini bagi memastikan pengunjung yang beriadah di Sungai Bernam rasa selesa dan selamat walaupun kawasan itu luas dan boleh menerima lebih 200 orang pada satu-satu masa.

“Selain perlu lengkap dua dos, kita hanya terima pengunjung dari daerah sama iaitu Hulu Selangor walaupun lokasi ini bersempadanan dengan Perak dan hanya dipisahkan dengan sebatang sungai,” katanya.

Pengusaha Tadom Hill Resort dekat Banting pula bersedia menerima pengunjung pada bila-bila masa kerana semua pekerjanya lengkap divaksin.

“Tahun ini kita sempat beroperasi sekejap sebelum PKP (perintah kawalan pergerakan) secara menyeluruh dilaksanakan, jadi kita sudah ada pengalaman dari sudut persediaan.

Aktiviti di Tadom Hill Resort sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Foto TADOM HILL RESORT

“Kita akan memantau suhu pengunjung, pastikan pengunjung lengkap vaksin, melakukan sanitasi di dalam bilik penginapan dan menerima pengunjung dalam kuantiti tidak ramai,” katanya.

Sementara itu Eksekutif pembangunan perniagaan kanan Muzium Coklat Kota Damasara memaklumkan pihaknya hanya bersedia menerima pengunjung pada Oktober ini meskipun kerajaan membenarkan muzium beroperasi mulai esok.

Muhamad Ridzwan Md Ali berkata langkah itu bagi memastikan semua pekerjanya yang divaksin sebelum ini melepasi tarikh matang iaitu 14 hari selepas menerima suntikan yang kedua.

Muzium Coklat Kota Damasara akan dibuka kepada pengunjung pada Oktober. Foto MUZIUM COKLAT KOTA DAMANSARA

“Sebelum ini kita menerima sekitar 120 pengunjung bagi satu-satu masa dan selepas ini kita hanya akan menerima 40 hingga 50 orang sahaja pengunjung lengkap vaksin.

“Apa paling penting adalah semua pihak kekal patuh SOP dan sentiasa berdisiplin apabila sektor pelancongan di negeri ini beroperasi sepenuhnya,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Teroka keindahan KL waktu malam dengan bas HOHO

KUALA LUMPUR, 3 ARPIL: Jika Kota London mempunyai double decker bus, Sydney terkenal dengan hop on hop off bus tour, Bandaraya Kuala Lumpur pun tidak ketinggalan mempunyai bas dua tingkat untuk pelancong tempatan mahupun luar negara menikmati pemandangan di sekitar kota metropolitan ini.

Seperti bandar raya utama di luar negara, penggunaan perkhidmatan bas yang lebih sinonim dengan panggilan double decker itu menjadi pengangkutan popular bagi pelancong bersiar-siar dan melawat tempat menarik sekitar bandar raya ini untuk mengelak masalah kesesakan yang tidak berkesudahan.

Beroperasi sejak 14 tahun lalu, KL Hop-On Hop-Off (HOHO) dengan bumbung yang terbuka memberikan peluang kepada penumpang mengambil gambar pemandangan serta memerhati gelagat penghuni kota dari sudut 360 darjah.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati udara segar dan pemandangan malam dari bas KL Hop-On Hop-Off (HOHO) dengan bumbung yang terbuka menjadi pengangkutan popular bagi pelancong bersiar-siar dan melawat tempat menarik sekitar bandaraya Kuala Lumpur ketika sesi lawatan menggunakan bas tersebut baru-baru ini. Foto: BERNAMA

Bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dua kali dilaksanakan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini awal tahun lepas, telah merencatkan sektor pelancongan sekali gus tempiasnya turut menjejaskan operasi bas yang dikendalikan oleh Elang Wah Sdn Bhd ini.

Pengarah urusannya, Syed Azhar Syed Nadzir berkata sebelum ini operasi bas itu terpaksa dihentikan sementara ekoran pelaksanaan PKP, namun ia kembali dibuka sejak 1 Mac lalu dengan tumpuan kali ini lebih diberikan kepada pelancong tempatan ekoran sempadan negara yang masih ditutup.

“Kali ini kami menumpukan promosi perjalanan pada waktu malam kerana suhu lebih nyaman dan pemandangan lebih menarik berikutan faktor cuaca panas ketika ini selain kekangan kerja pada waktu siang.

“Antara tempat bersejarah dan menarik yang dilawati ialah Pintasan Saloma, Menara Kuala Lumpur, River of Life, Istana Negara, Dataran Merdeka, Little India, Petaling Street dan Pasar Seni,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya inilah waktu yang paling sesuai untuk pelancong tempatan menggunakan perkhidmatan itu memandangkan sebelum ini bas itu sentiasa dipenuhi oleh pelancong asing.

Syed Azhar berkata selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan penularan jangkitan Covid-19, pihaknya turut mengambil langkah melakukan operasi sanitasi setiap ruang dalam bas, menyediakan pengimbas suhu dan penumpang harus memakai pelitup muka sepanjang menggunakan perkhidmatan itu.

Bas HOHO beropoerasi sepanjang hari dengan mengenakan bayaran RM25 bagi dewasa, RM15 bagi kanak-kanak untuk perjalanan pada waktu siang, manakala RM30 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak untuk perjalanan waktu malam.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Akibat wabak, ketibaan pelancong luar merudum 83.4 peratus

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke dalam negara merudum 83.4 peratus kepada 4,332,722 tahun lepas, berbanding 26,100,784 pada 2019 disebabkan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac 2020 bagi menyekat penularan pandemik Covid-19.

Tourism Malaysia berkata perolehan daripada pelancongan tahun lepas juga turun 85.3 peratus daripada RM86.14 bilion pada tahun 2019 kepada RM12.69 bilion tahun lepas.

Menurutnya purata perbelanjaan perkapita bagi tahun 2020 turun 11.3 peratus, daripada RM3,300 pada tahun 2019 kepada RM2,928 pada tahun 2020.

“Pertumbuhan negatif dilihat bagi pelancong dari setiap pasaran, yakni pasaran jarak dekat (-83.5 peratus), pasaran jarak sederhana (-84.7 peratus), dan pasaran jarak jauh (-79.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tourism Malaysia berkata menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO), Malaysia tidak bersendirian dalam perkara ini, kerana seluruh rantau Asia Pasifik merekodkan penurunan ketibaan pelancong sebanyak 84 peratus.

Lain-lain negara ASEAN turut menyaksikan penurunan ketara dalam jumlah kehadiran pelancong, termasuk Thailand (-83.2 peratus), Singapura (-85.7 peratus), Vietnam (-78.7 peratus) dan Indonesia (-75 peratus), katanya dengan merujuk kepada data daripada Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan Pertubuhan Pelancongan Nasional (NTO).

Sementara itu negara-negara ASEAN, atau pasaran jarak dekat kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada Malaysia dengan 68.1 peratus ketibaan pelancong (2,949,363) diikuti oleh pasaran jarak sederhana yang termasuk dari negara Asia Timur dan Asia Selatan (20.1 peratus atau 870,314).

Pasaran jarak jauh mencatatkan kadar 11.8 peratu dengan ketibaan 512,484 pelancong dari Asia Barat, Timur Tengah, Amerika, Oceania, Eropah dan Afrika.

Ketibaan pelancong antarabangsa dari 10 negara tertinggi ke Malaysia pada tahun 2020 adalah dari negara Singapura (1,545,255), Indonesia (711,723), China (405,149), Thailand (394,413), India (155,883), Brunei (136,020), Korea Selatan (119,750), Jepun (74,383), Australia (72,680) dan Vietnam (64,184).

Lima negara penyumbang tertingi dari segi perbelanjaan pelancong secara keseluruhan adalah dari negara Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Subang Jaya catat 1.8 juta pelancong, tertinggi pada 2019

SHAH ALAM, 4 NOV: Subang Jaya yang memiliki pelbagai kemudahan merekodkan seramai 1.8 juta pelancong tahun lalu, tertinggi di negeri ini.

Tourism Selangor berkata faktor itu didorong penyediaan pengangkutan awam yang baik, pusat membeli-belah dan komersial, hospital serta kawasan hiburan.

“Subang Jaya bukan sahaja moden dan pesat membangun, malah berusaha mengekalkan kawasan persekitaran yang harmoni serta bersih.

Pengunjung beriadah di Kolam Terbesar Taman Tema Sunway Lagoon ketika tinjauan pada 4 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Kemajuan itu sekali gus melayakkan Subang Jaya meraih status bandar raya pada 20 Oktober lalu,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan seramai 7.62 juta pelancong tahun lalu.

Berikut merupakan lokasi menarik di kawasan Subang Jaya:

1. Bandar Mines (The Mines Golf Club and Resort, The Mines Beach Resort & Spa, The Mines Shopping Fair dan The Mines Waterfront Business Park)

2. Bandar Sunway (Sunway Lagoon, Hotel Sunway Pyramid, Hotel Sunway Clio, Sunway Medical Centre)

3. Bandar Puchong (IOI Mall Puchong, Setiawalk Puchong, Uptown Puchong Night Bazaar)

4. Institusi pengajian tinggi (Kolej Universiti Taylor’s, Universiti Sunway, Kolej Inti)

5. Perubatan dan kesihatan (Pusat Perubatan Sunway, Pusat Perubatan QHC)

6. SS15 (Rojak dan Cendol SS15, Restoran Jibril, Nasi Lemak Warisan Sambal Opah, Gold Chilli)

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong UK terkandas hargai cara Malaysia tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Di sebalik tuduhan negatif terhadap pihak berkuasa Malaysia kononnya menganiaya rakyat asing semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memutuskan rantaian Covid-19, beberapa warga asing melihat sisi positif dan memuji tindakan pihak berkuasa membendung virus maut itu.

Seorang daripadanya, usahawan dalam talian dan YouTuber dari United Kingdom (UK) Darren Cronian melalui salurannya (Remote Darren) memberikan komen mengenai inisiatif Malaysia dan kerajaan, dalam menangani krisis itu.

Menerusi video lapan minit yang dimuat naik, Cronian berkongsi pengalamannya ketika terkandas di Malaysia hampir 11 minggu, bersendirian dalam apartmennya berdepan pandemik itu di negara asing.

Video Cronian mencatat hampir 13,000 tontonan dalam tempoh enam jam sejak dia memuat naik di YouTube. Videonya turut dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini.

Menurut lelaki Inggeris berusia 46 tahun itu, beliau kagum bagaimana pihak berkuasa tempatan mengendalikan situasi itu dengan melaksanakan PKP di negeri berbeza dan mengurangkan pergerakan rakyat.

“Apabila saya melihat Malaysia melaksanakan tindakan, sedangkan UK perniagaannya masih dibuka, saya buat keputusan, saya kuatkan semangat (komited) tinggal di sini untuk menempuhnya, tanpa mengira berapa lama masa yang diambil.

“Saya katakan, saya amat kagum bagaimana Malaysia mengendalikan Covid-19 apabila terus melaksanakan tindakan, menguatkuasakan PKP, memastikan orang ramai tidak membuat pergerakan dan hanya boleh keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan,” katanya.

Cronian juga mengakui tidak bagus untuk melihat imej sesetengah kawasan kejiranan dikelilingi dawai berduri tetapi ia perlu dilakukan, kerana Malaysia mempunyai kepimpinan yang baik dan Kementerian Kesihatan telah mengendalikan masalah itu dengan sangat baik.

Beliau berkata dia tidak memberi tumpuan dari sudut politik atau agama tetapi berfikiran positif dan merasakan apa yang dilakukan oleh Malaysia, adalah model yang harus diikuti seluruh dunia.

“Bagaimana Malaysia uruskan pandemik ini sangat mengagumkan, ketika dikuarantin selama 11 minggu, saya lakukan tinju bayang berlatarkan lagu tema Rocky, angkat berat gunakan botol air dan banyak habiskan masa melihat luar tingkap,” katanya.

Beliau berkata bersendirian dan suasana yang sepi hampir menyebabkannya hilang akal, tetapi dia bersyukur apabila individu di Malaysia menghubunginya dan bertanya bagaimana keadaannya atau adakah dia memerlukan apa-apa, dan ini menyebabkan dia berasa bertambah baik bahawa ada orang yang mengambil berat tentang dirinya.

Selain itu, Cronian berkata ketika dia pergi ke pejabat Imigresen untuk melanjutkan visanya dan mendapati ia ditutup, beliau kemudian menyedari rakyat di negara ini memandang serius pandemik ini.

“Rakyat di negara ini adalah sebahagian daripada sebab kenapa pandemik ini tidak seburuk yang terjadi di negara lain di seluruh dunia.

“Apabila anda lihat angka setakat ini berbanding UK atau negara Eropah yang lain, banyak yang berkaitan dengan kerjasama rakyat. Hanya dengan duduk di rumah, orang ramai dalam sekatan pergerakan, terima kasih kepada semua orang di sini, mungkin keadaannya jauh lebih teruk,” katanya.

Cronian mengakhiri videonya dengan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengambil berat mengenai dirinya dan menyediakan beliau rumah yang selamat dan beliau sangat menghargai rakyat Malaysia yang sentiasa berhubung dengannya sepanjang 11 minggu pelaksanaan PKP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia tidak bergantung kepada satu negara tarik pelancong

SHAH ALAM, 30 JAN: Malaysia tidak bergantung kepada satu negara sahaja untuk menarik kemasukan pengunjung bagi mencapai sasaran 30 juta, kata menteri pelancongan.

Mengambil contoh tahun lalu, Datuk Mohammadin Ketapi berkata pelancong dari Singapura mencatatkan kemasukan paling ramai, bukan dari China, lapor Berita Harian.

“Bukan sahaja Malaysia, sebaliknya semua negara tidak bergantung kepada satu negara sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis bersama usahawan sempena Festival Kraf di Dataran Muhammadi di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, beliau berkata masih terlalu awal untuk kerajaan mengukur prestasi kemasukan pelancong ke Malaysia susulan penularan wabak koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Mohammadin berkata ia berikutan penularan virus berkenaan berlaku dalam tempoh kurang dari setengah bulan.

“Kalau kita melihat jangkitan 2019-nCoV yang menular, sebetulnya bukan Malaysia sahaja sebaliknya ia masalah dunia. Negara lain pun sama sahaja. Jadi, terlalu awal untuk kata industri pelancongan terjejas kerana virus itu tidak sampai setengah bulan berlaku,” katanya.