Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.3450/3550 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan baharu membabitkan vaksin Covid-19 walaupun sentimen positif terus mempengaruhi pasaran kewangan serantau, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 4.3450/3550 berbanding 4.3440/3510 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berikrar untuk terus menerajui usaha global menangani pandemik Covid-19 selepas Presiden AS Donald Trump mengugut untuk memotong sumbangan dana dan keluar daripada agensi dunia itu sekiranya enggan meminda prosedurnya dalam masa 30 hari.

Selain itu, pembeli India telah menyambung semula pembelian minyak sawit Malaysia selepas terbabit dalam pertikaian diplomatik dengan pembelian dipacu oleh penyusutan inventori domestik dan harga diskaun, kata sumber dagangan.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0685/0764 daripada 3.0648/0706 pada Selasa dan susut berbanding yen Jepun kepada 4.0625/0361 daripada 4.0387/0456.

Ringgit juga turun berbanding euro pada 4.7530/7652 daripada 4.7179/7283 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3291/3431 daripada 5.3166/3269 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Syarikat Taiwan, Amerika Syarikat jalin kerjasama bangunkan vaksin Covid-19

TAIPEI, 17 FEB: Medigen Vaccine Biologics Corp (MVC), berpangkalan di Taiwan pada Isnin mengumumkan kerjasama dengan Institut Kesihatan Negara (NIH) Amerika Syarikat untuk membangunkan vaksin COVID-19, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Menurut MVC, pihaknya memeterai perjanjian dengan NIH pada Ahad, untuk mendapatkan vaksin cubaan dan bahan berkaitan yang dibangunkan institut kesihatan Amerika itu.

Syarikat itu berkata ujian terhadap haiwan akan dilakukan di Taiwan, hasilnya akan digunakan untuk ujian klinikal ke atas manusia dan membangunkan vaksin generasi baharu.

Ia kerjasama kedua antara MVC dengan NIH sejak 2015, menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama membangunkan vaksin demam denggi.

Jika semua berjalan lancar, MVC berkata ia akan memperkenalkan vaksin cubaan virus berkenaan dan bahan berkaitan untuk ujian lanjutan terhadap manusia sebelum menghasilkan vaksin efektif bagi menangani wabak itu.

Pada 12 Februari MVC memohon kebenaran dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Taiwan untuk ujian transkripsi balik- tindak balas rantai polimerase (RT-PCR) yang dibangunkan untuk memerangi COVID-19, pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China, pada Disember lalu.

– BERNAMA