Categories
AGENDA NASIONAL

KKM guna kaedah 5P dalam pengurusan pemerolehan vaksin Covid-19

PUTRAJAYA, 27 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi fokus kepada lima aspek (5P) dalam menguruskan pemerolehan dan penggunaan vaksin Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelima-lima aspek itu adalah pendaftaran keselamatan, pembekalan, pemberian vaksin, pemantauan kesan sampingan dan penilaian keberkesanan vaksinasi atau ringkasnya 5P.

Bercakap pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM hari ini, beliau berkata pendaftaran vaksin Covid-19 merupakan aspek utama yang akan dilakukan KKM dalam memastikan vaksin yang diterima berkesan dan selamat.

”Vaksin itu perlu didaftarkan dengan FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan) Amerika Syarikat dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara, KKM.

“Misalnya, jika syarikat farmasi Pfizer gagal mendaftar di bawah FDA, maka segala persetujuan akan terbatal,” kata Dr Noor Hisham merujuk kepada perjanjian yang dipersetujui dengan syarikat farmasi untuk membekalkan vaksin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengenai Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini tahun depan.

Mengenai 6.4 juta rakyat Malaysia negara ini yang akan menerima vaksin itu, Dr Noor Hisham berkata vaksin itu akan diberikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas dengan keutamaan untuk petugas kesihatan, petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai imuniti rendah.

Beliau berkata, pada masa ini 12 vaksin sudah diuji pada peringkat penyelidikan fasa ketiga klinikal namun masih belum ada laporan lengkap mengenai satu vaksin pun.

Dr Noor Hisham berkata buat masa ini KKM hanya memperoleh laporan keberkesanan mengenai satu-satu vaksin daripada media dan media sosial.

“Bila KKM lihat laporan, kita (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menilai keberkesanan, kesan sampingan (vaksin) dan sebagainya.

“Ini penting sebelum vaksin dapat didaftarkan. Kalau vaksin tidak dapat daftar, mungkin ada isu-isu keselamatan dan sebagainya, maka kita (KKM) tidak pakai vaksin itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas kebimbangan orang awam mengenai kemungkinan berlakunya jangkitan virus Covid-19 daripada produk sarung tangan keluaran kilang Top Glove, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada laporan diterima berhubung perkara itu.

“Setakat ini, tiada laporan jangkitan dari sarung tangan. Sarung tangan perlu melalui proses tertentu dan kini belum ada laporan dibuat secara rasmi mengenai jangkitan (dari sarung tangan),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19 diberikan percuma kepada rakyat

PUTRAJAYA, 27 NOV: Vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata pada masa yang sama, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu dan ia hanya akan diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

“Saya dengar banyak pihak di luar sana sedang menunggu-nunggu untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 ini dan mereka hendak hidup seperti normal, tidak mudah dijangkiti dengan apa-apa penyakit.

“Pastinya kita harap dengan langkah yang kerajaan ambil untuk membekalkan vaksin ini nanti, maka lebih ramai rakyat dapat kita selamatkan daripada wabak ini pada masa depan,” katanya pada sidang media secara maya di sini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Menurut Muhyiddin, dalam kajian terbaru syarikat penyelidikan global berpangkalan di United Kingdom (UK), YouGov, seramai 82 peratus rakyat Malaysia bersedia untuk divaksinasi dan beliau berharap jumlah itu kelak akan mencapai 100 peratus.

Mengulas kriteria pemilihan vaksin yang bakal dibekalkan nanti, katanya, keutamaan diberikan kepada vaksin berkualiti tinggi, selamat digunakan selain keberkesanannya berdasarkan hasil ujian klinikal yang dilakukan oleh syarikat terlibat.

“Selain itu harga dan kos sampingan seperti keperluan peralatan dan bahan pakai buang akan diambil kira dalam pertimbangan itu.

“Cumanya dalam peringkat awal ini, vaksin yang bakal dipasarkan nanti, tentulah harganya agak tinggi sedikit dan ada perbezaan antara satu pengeluar dengan pengeluar lain.

“Jika ada peluang untuk berunding bagi mendapat harga berpatutan, kita akan lakukan untuk dapatkan kos mampu milik untuk dibiayai bukan sahaja kerajaan tetapi juga pihak swasta di negara ini,” katanya.

Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini tahun depan.

Sementara itu bagi menangani gerakan kumpulan antivaksin termasuk vaksin Covid-19, Muhyiddin berkata kerajaan mengatur strategi menanganinya di peringkat kebangsaan dan negeri dengan memperkukuhkan advokasi tentang pentingnya untuk mengambil imunisasi itu.

Katanya, ia dilakukan secara komprehensif termasuk menerusi kenyataan kepada media, laporan media, penerbitan, tv dan radio serta media sosial selain mengadakan lebih banyak seminar kesihatan, sambutan Hari Imunisasi Sedunia dan Minggu Imunisasi Sedunia.

Menurutnya untuk peringkat komuniti dan klinik kesihatan pula, langkah bersesuaian juga diambil untuk memberitahu kepada masyarakat dan pemimpin dalam komuniti tentang pentingnya rakyat perlu terlibat dalam program imunisasi itu.

Bagaimanapun, jelas perdana menteri, setakat ini program imunisasi itu tidak akan melibatkan pelajar sekolah.

Sebelum ini, Khairy ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa ketika ini pembangunan vaksin Covid-19 hanya tertumpu kepada golongan dewasa sahaja.

Tambah Khairy, mana-mana vaksin Covid-19 yang dibangunkan setakat ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Sasaran 70 peratus suku pertama 2021, tumpu golongan dewasa

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Sasaran 70 peratus rakyat Malaysia yang menerima vaksin Covid-19 pada suku pertama 2021 tertumpu kepada golongan dewasa untuk negara mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini kerana apabila imuniti kelompok berjaya dicapai, individu tidak menerima vaksin sukar mendapat jangkitan Covid-19.

“Akan ada mereka yang tidak akan dapat divaksin kerana kebanyakan vaksin Covid-19 yang dibangunkan ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, jadi mereka sudah pasti tidak dapat menerima vaksin yang pertama tahun depan.

Jadi ini mungkin peratusan yang tidak akan mendapat vaksin, kita akan tumpukan kepada dewasa untuk kita mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan akan memperoleh maklumat awal serta maklumat interim berkenaan keselamatan vaksin itu agar tidak ada rakyat Malaysia menjadi ‘tikus makmal’.

Katanya, kerajaan meneliti data klinikal disediakan oleh syarikat vaksin terutama syarikat yang memberi perolehan bagi vaksin itu.

“Saya jangkakan mengikut perancangan sekarang, suku tahun pertama tahun depan kita akan dapat perolehan (vaksin) yang pertama dan satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Menjawab celahan Lim Lip Eng (PAKATAN-Kepong) mengenai kriteria pemilihan negara dalam perolehan vaksin Covid-19, Khairy berkata kementerian sedang berbincang dengan syarikat dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China untuk menentukan bilangan atau portfolio vaksin terbaik untuk Malaysia.

Beliau berkata sebelum kerajaan membuat perolehan vaksin, penelitian turut dibuat mengenai sama ada vaksin itu memberikan “sterilizing immunity” iaitu menghentikan jangkitan atau hanya bertindak menghentikan jangkitan daripada menjadi gejala yang serius.

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menilai vaksin COVID-19 ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 yang dipengerusikan pakar epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan disertai sembilan anggota lain dengan kepakaran seperti virologi, imunologi molekular dan penyakit berjangkit.

“Kita ambil pendekatan ini supaya penentuan bagi vaksin ini tidak dibuat oleh mana-mana kementerian tetapi mendapat rujukan kepakaran secara bebas.

Perkara ini kita akan perluaskan kepada pakar lain supaya apabila kita menentukan strategi vaksinasi kebangsaan bagi Covid-19, kita akan mendapat pandangan daripada pelbagai pakar dan tidak terhad kepada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya bagi menjawab celahan Dr Dzulkefly Ahmad (PAKATAN-Kuala Selangor) yang bertanyakan keterlibatan pakar selain kementerian terlibat dalam perolehan vaksin itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Ujian vaksin Covid-19 masuk fasa tiga

SHAH ALAM, 20 NOV: Ujian keberkesanan 10 vaksin Covid-19 yang bakal digunakan di negara ini sudah memasuki fasa tiga, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian itu menerusi Facebook berkata analisis melibatkan empat jenis ‘Viral Vector Vaccine’, ‘Inactivated Virus Vaccine’ (tiga), ‘RNA Based Vaccine’ (dua) dan ‘Virus Like Particle Vaccine’ (satu).

“KKM akan menganalisis untuk melihat aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin tersebut sebelum diluluskan penggunaannya,” katanya.

Pada 6 November Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Kerajaan Persekutuan memperuntuk sejumlah RM3 bilion bagi kos pembelian vaksin bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Categories
AGENDA GLOBAL NASIONAL

KKM, Gavi muktamad tarikh tandatangani Covax, jamin bekalan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) dan ‘The Global Alliance for Vaccine and Immunisation’ (Gavi) sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’ bagi menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 vaccine global access (Covax).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu bersetuju supaya Malaysia menyertai fasiliti Covax, yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi negara ini.

Menurutnya, Jemaah Menteri juga bersetuju agar KKM mewakili kerajaan bagi memuktamadkan perjanjian penyertaan Malaysia ke dalam Covax bersama pihak Gavi, dan Jabatan Peguam Negara turut ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat perjanjian ditetapkan Gavi.

“Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan melibatkan kos merangkumi bayaran pendahuluan dan ‘risk sharing guarantee’ berjumlah US$22,656,200.00 atau secara anggarannya RM94.08 juta,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PAKATAN-Bagan) yang ingin tahu sama ada Malaysia menyertai inisatif COVAX disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang membolehkan 20 peratus daripada penduduk sesebuah negara menerima dos vaksin Covid-19 dengan vaksin dihantar sebaik sahaja tersedia dan membantu membina semula ekonomi, serta kos penyertaannya.

Khairy berkata jaminan akses awal bekalan vaksin Covid-19 penting untuk melindungi rakyat daripada penularan wabak itu dan seterusnya membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.

Penyertaan Malaysia fasiliti Covax merupakan pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan, serta mengurangkan risiko daripada memberikan tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam pemerolehan vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia letak harapan tinggi terhadap pengeluar vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadap pengeluar-pengeluar vaksin untuk memperoleh vaksin Covid-19 yang dijangka boleh digunakan seawal suku pertama tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata berdasarkan laporan terkini, terdapat 10 calon syarikat terkemuka pengeluar vaksin telahpun melepasi ujian klinikal fasa ketiga dalam membangunkan vaksin Covid-19.

“Seperti kita diberitahu, Pfizer Inc BioNTech SE didakwa mempunyai keberkesanan 90 peratus. Ini satu perkembangan yang sihat dan baik. Kita yakin banyak lagi ‘leading candidates’ dalam dunia seperti Gamaleya Research Institute yang mengeluarkan vaksin juga telah melepasi (ujian klinikal) fasa ketiga yang boleh kita lihat sebagai peluang untuk kita berikan pelalian atau vaksin kepada rakyat kita.

“Bagaimanapun, vaksin dari China masih belum dapat kita ketahui hasil (ujian klinikal) fasa ketiga vaksin mereka…kita masih belum selesai berunding,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Namun, Datuk Seri Dr Adham berkata perolehan vaksin Covid-19 di negara ini bergantung kepada penelitian terperinci terhadap kualiti, keselamatan, implikasi dan pendaftaran yang dilaksanakan di negara tersebut untuk vaksin yang dikeluarkan.

Sementara itu, menjawab sama ada bekas pesakit Covid-19 boleh dijangkiti semula virus itu, Dr Adham berkata peluang adalah rendah berbanding mereka yang tidak pernah dijangkiti.

Beliau berkata kadar penyembuhan Covid-19 turut menunjukkan peningkatan dengan 73 peratus direkodkan semalam berbanding 65 peratus pada dua minggu lepas, sekali gus membuktikan protokol dan rejim rawatan yang dilaksanakan di hospital serta pusat rawatan di negara ini bertepatan dengan pendekatan kesihatan awam.

Mengulas mengenai peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Lembah Klang, beliau berkata peningkatan kes itu adalah berkaitan dengan kluster tempat kerja dan tapak pembinaan dengan tahap kebolehjangkitan di kawasan tersebut adalah tinggi kerana ada pergerakan selain kurang pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP).

“Dengan adanya peningkatan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ini menunjukkan bahawa kita perlu lebih memperketatkan tindakan dan pematuhan, penguatkuasaan serta pemantauan. Hendaklah kita meneruskan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, teruskan pematuhan SOP dan pembudayaan norma baharu.

“Ini tanggungjawab semua, tidak kira siapa. Bagi kluster tempat kerja, tanggungjawab pekerja dan majikan yang paling penting. Untuk itu majikan berperanan penting memastikan anak buah mereka atau pekerja mereka sentiasa dilindungi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan berhubung dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 – menteri

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 melibatkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus, manakala dua lagi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata ini susulan makluman daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa terdapat 11 calon vaksin Covid-19 yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa 3 setakat 13 November lepas.

Katanya terdapat beberapa rundingan yang berada pada fasa akhir dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila perjanjian dimeterai tidak lama lagi.

“Rundingan itu meliputi aspek kerjasama dalam pelbagai peringkat pembangunan vaksin seperti R&D, pertukaran saintis, pembangunan fill and finish (pemindahan teknologi, logistik, cold chain), termasuk pembelian vaksin (produk akhir) sebagai jaminan akses bekalan vaksin untuk negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin tahu sama ada kementerian itu telah membuat sebarang pesanan untuk mengimport vaksin daripada firma negara China seperti Cansino, Sinovac dan Sinopharm atau firma United Kingdom seperti AstraZeneca dan adakah kementerian bercadang menetapkan susunan keutamaan vaksinasi Covid-19 seperti yang dilakukan di Indonesia.

Khairy berkata menerusi penyertaan dalam COVAX, Malaysia akan mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 10 peratus daripada populasi negara dan kerajaan sedang berusaha mendapatkan 60 peratus lagi untuk mencukupkan sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok hingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Beliau berkata kerajaan juga sedang berusaha mendapatkan akses vaksin seawal suku pertama atau suku kedua tahun depan bergantung pada kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya, NPRA akan memastikan sesuatu vaksin melepasi syarat ketat yang ditetapkan merangkumi soal keselamatan dan keberkesanan menerusi data ujian klinikal yang telah dijalankan dan hanya selepas melalui proses itu, sesuatu vaksin akan diluluskan dan keputusan untuk tempahan akan dibuat.

Sementara itu, mengenai senarai keutamaan imunisasi, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan pada 14 Oktober lepas bersetuju membahagikan kepada tiga fasa keutamaan iaitu kumpulan barisan hadapan melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi bukan KKM seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan lain-lain.

Kedua ialah untuk kumpulan berisiko tinggi seperti individu yang mempunyai co-mobid dan warga emas serta kumpulan ketiga melibatkan populasi dewasa yang lain dan perincian lanjut kumpulan-kumpulan itu sedang dibuat dan dijangka diumumkan seawal suku pertama tahun depan, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tempahan awal vaksin selepas dapat kelulusan KKM

SEREMBAN, 7 NOV: Kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin Covid-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pihaknya yakin peruntukan itu mencukupi bagi membuat tempahan awal vaksin berkenaan yang dianggarkan diperoleh suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita akan mula buat tempahan awal kepada vaksin yang sedang dibangunkan itu. Saya jangka dalam tempoh sebulan dua ini kita akan dapatkan maklumat keberkesanan vaksin itu daripada KKM,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas banjir di sini, hari ini.

Khairy merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 semalam berkata kerajaan komited mendapatkan sumber vaksin Covid-19 antaranya melalui penyertaan Program Covid-19 Vaccine Global Access (COVAX) dengan jangkaan kos bekalan vaksin melebihi RM3 billion.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia rancang hasilkan vaksin Covid-19

JAKARTA, 3 SEPT: Presiden Joko Widodo berkata Indonesia merancang untuk mengeluarkan vaksinnya sendiri menjelang pertengahan 2021, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Syarikat tempatan ditugaskan untuk membangunkan vaksin Covid-19 secara usaha sama dan setakat ini perkembangannya sudah mencapai tahap 30 hingga 40 peratus, kata Widodo pada mesyuarat kabinet, Selasa.

Beliau berharap ujian klinikal dapat dimulakan seawal tahun 2021 sebelum pengeluaran secara komersial bermula pertengahan tahun depan.

Di kenali sebagai vaksin Merah Putih, ia sedang dibangunkan oleh Kementerian Penyelidikan dan Teknologi diketuai Institut Molekul Biologi Eijkman.

Sebelum ini, pengarah institut itu, Amin Soebandrio, berkata vaksin dijangka dapat memenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus permintaan dalam negara.

Selain membangunkan vaksin antivirus, Indonesia juga sudah menempah 290 juta dos vaksin Covid-19 dan akan dihantar ke negara ini sebelum akhir 2021.

Syarikat biofarmaseutikal China Sinovac Biotech – satu daripada dua pembekal vaksin Covid-19 di Indonesia – bekerjasama rapat dengan negara Asia Tenggara untuk membantu menghasikan vaksin sendiri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO bincang dengan Rusia mengenai vaksin Covid-19

GENEVA, 12 OGOS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang dalam perbincangan dengan Rusia mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin COVID-19 pertama di dunia, lapor agensi berita Xinhua, memetik jurucakap WHO pada Selasa.

“Kami kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan perbincangan masih berjalan mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin berkenaan oleh WHO,” kata jurucakap WHO Tarik Jasarevic dalam taklimat media secara maya.

“Pra kelayakan daripada mana-mana vaksin melibatkan tinjauan dan penilaian yang ketat terhadap semua data yang diperlukan untuk keselamatan dan keberkesanan” dalam ujian klinikal, kata Jasarevic, sambil menambah di peringkat WHO, proses ini adalah serupa bagi setiap calon vaksin.

“Setiap negara mempunyai badan pengawasan nasional yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya,” katanya.

“Pengilang memohon pra kelayakan WHO kerana ia membuktikan piawaian kualiti.”

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa berkata negaranya telah mendaftarkan vaksin melawan Covid-19 pertama di dunia.

Putin berkata beliau berharap pengeluaran massa vaksin yang telah didaftarkan di Rusia akan bermula dalam waktu terdekat, dan pemvaksinan tersedia untuk orang ramai di negara ini secara sukarela.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatyana Golikova berkata beliau berharap pengeluaran vaksin itu akan dimulakan pada akhir Ogos atau awal September dan pekerja kesihatan akan menjadi yang pertama diberi vaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Vaksin Covid-19 pertama didaftar, diberi nama Sputnik V

MOSCOW, 12 OGOS: Vaksin pertama di dunia yang didaftarkan untuk merawat Covid-19 serta dibangunkan oleh Rusia diberi nama Sputnik V, memetik laman web rasmi vaksin pada Selasa.

“Pada 1957, kejayaan pelancaran satelit buatan manusia pertama Kesatuan Soviet menjadi pemacu kepada penyelidikan ruang angkasa di seluruh dunia.

“Terima kasih atas perbandingan ini, vaksin berkenaan diberi nama Sputnik V,” jelas laman web itu.

Buat masa ini ada lebih 160 vaksin Covid-19 sedang dibangunkan di seluruh dunia, lapor Agensi Berita Rusia TASS.

Laman web berkenaan diwujudkan “untuk menyalurkan dan menyebarkan maklumat terperinci serta terkini mengenai vaksin berkenaan” dan “memerangi maklumat palsu mengenai vaksin yang dibuat oleh beberapa saluran berita antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pada Selasa ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) Kirill Dmitriev menyatakan terdapat “serangan maklumat terhadap vaksin Rusia.”

Presiden Vladimir Putin pada hari yang sama dilaporkan berkata Rusia negara pertama di dunia yang mendaftarkan vaksin Covid-19.

Ia berikutan kejayaan ujian klinikal yang dibuat pada Jun-Julai oleh Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya, Kementerian Kesihatan Rusia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ho Wah Genting sasar jadi syarikat pertama tawar vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Ho Wah Genting Bhd (HWGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, HWGB Biotech Sdn Bhd (HWGB Biotech), telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) firma berpangkalan di Amerika Syarikat, E-MO Biology Inc (EBI) bagi menjalankan penyelidikan permohonan paten berkaitan Covid-19.

Dalam kenyataan semalam, HWGB berkata pada 15 Jun lepas, EBI telah mengemukakan permohonan Percubaan Awal Ubat Baharu (IND) kepada Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) untuk menjalankan ujian klinikal fasa IV membabitkan cadangan penggunaan vaksin virus poliomyelitis sedia ada (vaksin polio) bagi mengelak Covid-19 yang kini dalam proses diluluskan.

Ketua Pegawai Eksekutif HWGB Datuk Lim Ooi Hong berkata cadangan kerjasama itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan HWGB apabila vaksin itu dikomersialkan kelak.

“Cadangan kerjasama itu menyaksikan HWGB melabur USD$1 juta (RM4.18 juta) ke dalam EBI, sekali gus membolehkannya meraih 40 peratus daripada jumlah keuntungan daripada pengkomersialan vaksin berkenaan.

“HWGB juga akan mendapat hak eksklusif bagi pengeluaran, pengedaran dan penjualan penggunaan semula vaksin berdasarkan vaksin polio bagi mengelak jangkitan Covid-19 di negara-negara Asia Tengara,” katanya.

Selain itu, HWGB juga mempunyai hak terhadap keuntungan vaksin selain lesen bebas royalti berserta pemberian sublesen bagi penggunaan tanda dagangan dan hak harta intelek lain berkaitan vaksin itu di negara-negara Asia Tenggara.

Sementara itu, Pengarah dan Pemegang Saham Tunggal EBI, Profesor Qiyi Xie berkata penyertaan HWGB Biotech itu akan memboleh syarikat itu menembusi negara-negara Asia Tenggara dalam masa terdekat ini apabila vaksin itu ditawarkan di pasaran.

– BERNAMA