Categories
AGENSI SELANGOR

Beri kelonggaran pelajar pilih PPV berhampiran rumah

KUALA SELANGOR, 29 SEPT: Kerajaan persekutuan disaran permudah lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) kepada golongan remaja.

Ahidah Md Din,50, berkata PPV yang ditetapkan dalam program vaksin remaja ketika ini agak jauh dari alamat rumah pelajar.

“Saya tinggal di Ampang tetapi perlu membawa anak ke PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

“Sepatutnya pelajar boleh memilih PPV berhampiran rumah masing-masing. Jadual ditetapkan perlu lebih sistematik dan memudahkan ibu bapa membawa anak,” katanya kepada SelangorKini.

Ahidah Md Din, 50. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ahidah berkata pemberian vaksin kepada golongan remaja perlu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Golongan remaja juga terdedah dengan jangkitan dan risau apabila sekolah dibuka tidak lama lagi.

“Malah dengan menerima suntikan kuliah dapat dijalankan secara bersemuka supaya pelajar lebih fokus,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri bantu selaras vaksin remaja, elak tercicir

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Negeri menjadi pemudah cara bagi melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja untuk menyuntik vaksin Covid-19 kepada seramai mungkin individu.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya berperanan menyelaras pelaksanaan program itu sekiranya membabitkan agensi negeri seperti pelajar sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Ahli Dewan Negeri kita juga bantu menyediakan pengangkutan kepada remaja dari keluarga kurang berkemampuan kerana ada juga pusat pemberian vaksin terletak jauh, kita tidak mahu ada remaja tercicir.

“Walaupun Kerajaan Negeri tidak terbabit secara langsung seperti progran Vaksin Selangor (Selvax) namun kita tetap bantu memainkan peranan mengikut bidang kuasa supaya lebih ramai dapat vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 23 September Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dilaporkan berkata sebanyak 399 sekolah di negeri ini terlibat dalam program PICK remaja bermula 20 September lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Kerajaan menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Program vaksin remaja Kuala Selangor sehingga Rabu depan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Program vaksin Covid-19 remaja berumur 16 dan 17 tahun bermula 23 sehingga 29 September ini di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor menerusi Facebook memaklumkan program itu diadakan bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang.

Peserta perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga, membawa kad pengenalan diri, borang persetujuan suntikan vaksin dan tidak dibenarkan hadir tanpa janji temu.

Menerusi lampiran poster PKD, peserta perlu mengikut janji temu seperti yang ditetapkan sekolah masing-masing.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Bilik Gerakan Vaksin Covid-19 menerusi talian 03-328 12309 atau 013-891 0041.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.

Berikut sekolah terlibat dan tarikh janji temu: