Categories
GLOBAL

Ebola mula merebak ke kawasan bandar di Congo

KINSHASA, 11 DIS: Congo kini dilanda penularan wabak Ebola yang mula merebak ke beberapa bandar utama, menurut pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Medecins Sans Frontieres (MSF), lapor Xinhua.

MSF berkata bandar Butembo, di timur laut Congo yang mempunyai penduduk hampir sejuta merupakan bandar terbaharu yang dilanda wabak berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Khamis, 35 kes baharu dilaporkan sejak Selasa, dua kes di Butembo, lapan di Katwa dan dua di Kalunguta.

“Keadaan itu amat membimbangkan dan kami sedang berusaha untuk mengawalnya,” kata penyelaras projek MSF di Butembo, John Johnson.

Sehingga Jumaat, data dikeluarkan WHO menunjukkan jumlah kes Ebola mencapai 489 kes dengan 441 daripanya disahkan Ebola dan 232 kematian.

Congo mengisytiharkan wabak terkini Ebola di Wilayah Utara Kivu pada Ogos, wabak ke-10 dalam tempoh 40 tahun dan negara yang terbesar pernah tejadi.

Kadar kematian Ebola, menurut WHO, sangat tinggi, dengan kes kematian dari 50 peratus hingga 89 peratus, bergantung kepada jenis virus.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Virus Ebola ragut 33 nyawa di Congo

KINSHASA 5 OGOS: Penularan terbaru virus Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DRC) dipercayai telah meragut 33 nyawa.

Kementerian Kesihatan dalam buletin semalam berkata, 13 kes terbaru virus maut itu dikesan sejak penularan wabak berkenaan diisytiharkan pihak berkuasa pada 1 Ogos lalu di wilayah Utara Kivu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan walaupun hanya tiga kematian dicatatkan dari 13 kes itu, namun jumlah pesakit yang maut setakat ini telah meningkat kepada 33 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan Jumaat lalu berkata, usaha mengekang penularan wabak berkenaan di zon perang seperti negara itu adalah cabaran yang amat sukar.

Ketua Unit Kecemasan WHO, Peter Salama berkata, pekerja kesihatan di Utara Kivu di timur DRC perlu memberikan tumpuan kepada lebih 100 kumpulan bersenjata dengan 20 daripadanya dikategorikan sebagai sangat aktif.

Penyebaran wabak di Utara Kivu diisytiharkan seminggu selepas WHO dan kerajaan Kinshasa meraikan kejayaan menghapuskan gelombang pertama Ebola di barat laut wilayah Equateur.

Kes terbaru virus Ebola itu ialah yang ke-10 di DRC sejak tahun 1976 selepas kali pertama dikesan di utara negara terbabit, ketika itu dikenali sebagai Zaire.

Sementara itu di Geneva, WHO berkata kebanyakan kes terbaru dicatatkan di daerah Mangina, 30 kilometer dari bandar Beni.

SUMBER: AFP