Categories
AGENDA NASIONAL

Polio: Kes terbaharu babitkan dua kanak-kanak warga asing

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Dua lagi kanak-kanak disahkan dijangkiti virus polio, pesakit kedua dan ketiga direkodkan di Sabah selepas seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kanak-kanak lelaki itu yang masing-masing berusia lapan dan 11 tahun merupakan warganegara asing.

“Kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang menetap di Sandakan tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Disember 2019, dia telah mengalami demam dan tiga hari kemudian tidak boleh berjalan.

“Seorang lagi kanak-kanak menetap di Kinabatangan tidak pernah mendapat sebarang imunisasi mengalami demam pada 17 November 2019 dan telah mendapatkan rawatan di klinik. Pada 1 Disember, dia dimasukkan ke hospital setelah mengadu sakit pada bahagian belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit kini boleh berjalan dengan bertongkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata semua pesakit masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Dr Noor Hisham berkata ujian makmal World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia mendapati virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga pesakit itu mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Katanya, siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu ini sebaik sahaja ia dikenal pasti sebagai survelan acute flaccid paralysis (AFP).

Sehingga kini, seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak itu telah diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan.

“Seramai 65 kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio dalam kawasan tempat tinggal kes-kes terbabit dan telah diberi suntikan vaksin polio menggunakan vaksin kombinasi lima serangkai (DTaP-IPV//HiB),” katanya.

Beliau berkata aktiviti kawalan wabak polio di seluruh Sabah juga sedang giat dilaksanakan manakala Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah juga telah dimulakan pada 27 Disember lepas.

Kementerian Kesihatan menyeru penduduk Sabah terutama ibu bapa supaya memberi perhatian khusus dalam beberapa perkara termasuk memastikan anak-anak berumur bawah lima tahun menerima dua dos vaksin polio secara titis (OPV) semasa kempen itu dijalankan, meneruskan imunisasi rutin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan mengikut jadual yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri termasuk mandi menggunakan air terawat, mencuci tangan selepas ke tandas dan sebelum makan serta sebelum menyediakan makanan untuk kanak-kanak.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk segera mendapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan sekiranya terdapat tanda-tanda dan gejala penyakit polio, sentiasa mengambil langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan serta sentiasa memberikan kerjasama dalam semua aktiviti yang dilaksanakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polio: 75 peratus tidak tunjuk gejala jangkitan

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Hampir 75 peratus daripada mereka yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda gejala tersebut, kata Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Dr Rohani Jahis.

Menurut Dr Rohani, sebaliknya hanya seorang daripada empat orang dengan jangkitan virus polio, yang akan menunjukkan gejala, kebiasaanya seperti demam selesema.

“Hanya 0.5 peratus individu yang dijangkiti virus ini mengalami kelumpuhan. Maksudnya tidak semua orang lumpuh. Tapi apabila kita dijangkiti virus ini, ia (virus) tetap akan dikeluarkan dalam najis, jadi risiko untuk menjangkiti orang lain itu ada, apabila ia (virus) dikeluarkan dalam persekitaran,” katanya ketika menjadi tetamu Ruang Bicara: Bahaya Polio di Bernama TV semalam.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan seorang bayi tiga bulan disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital pada 6 Disember lepas.

Kes polio ini merupakan yang pertama, setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lalu.

Beliau berkata, virus polio sebenarnya belum lagi ‘dibasmi’ di dunia ini, dan ketika ini terdapat tiga lagi negara yang masih lagi endemik dengan virus tersebut, iaitu Nigeria, Afghanistan dan Pakistan.

“Jadi kemungkinan (virus) datang daripada negara lain boleh berlaku, sekiranya kanak-kanak atau penduduk di negara ini tidak dilindungi dengan vaksin (pelalian), jadi risiko untuk dapat jangkitan itu ada,” katanya.

Dr Rohani berkata sekiranya seseorang itu dijangkiti virus polio, tiada rawatan khusus untuk membunuh virus tersebut, sebaliknya rawatan adalah bersifat ‘supportive’ seperti ubat demam (sekiranya demam) dan fisioterapi sekiranya mengalami kelumpuhan kaki.

Beliau menegaskan langkah terbaik yang boleh diambil ketika ini ialah, memastikan anak-anak menerima imunisasi yang secukupnya dan pada masa sama, memastikan komuniti turut dilindungi dengan imunisasi.

“Apabila dalam komuniti ramai yang telah menerima pelalian, apabila ada virus polio yang datang ke komuniti, virus itu tidak boleh nak ‘survived’ dalam komuniti, sebab semua orang telah diberi imuniti.

“Isunya apabila tidak ada ataupun imuniti dalam populasi itu rendah, jadi virus ini boleh ‘survived’ dan merebak dalam komuniti menyebabkan masalah,” katanya.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Virus Polio mungkin dari luar

PUTRAJAYA, 9 DIS: Punca jangkitan virus polio seorang bayi lelaki berumur tiga bulan warga Malaysia dari Tuaran, Sabah, disyaki datang dari luar negeri itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya terdapat dua kemungkinan virus polio yang berjaya dihapuskan sejak 27 tahun lalu muncul semula di negara ini iaitu sama ada datang dari Filipina atau pun keluarga bayi berkenaan ada melakukan perjalanan ke luar negara.

Menurutnya siasatan awal mendapati keluarga bayi berkenaan tidak mempunyai sejarah ke luar negara sebelum ini.

“Jadi setakat ini yang paling munasabah ialah datang dari luar Sabah kerana mereka tidak mempunyai sejarah ke luar negara. Berkemungkinan virus yang dibawa orang luar yang datang ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan 2019, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata bayi malang itu mula menunjukkan simptom jangkitan virus berkenaan sebelum dia menerima suntikan vaksin yang kedua.

“Saya berharap ibu bapa dapat melengkapkan kesemua tiga dos suntikan vaksin yang disarankan supaya dapat menghindarkan anak masing-masing dijangkiti penyakit seumpama ini,” katanya.

Dr Zulkefly memberitahu antara langkah kawalan yang diambil pihak kementerian adalah pergi ke kawasan penempatan bayi berkenaan serta memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang berumur bawah 15 tahun.

“Selain itu, kita juga akan mengenal pasti kawasan yang berisiko untuk dijangkiti simptom ini. Buat masa ini hanya suntikan vaksin sahaja dapat membantu kerana tidak ada ubat dapat menyembuhkan jangkitan terbabit.

“Virus ini boleh meniru dan bermutasi, jadi kita kena berhati-hati terutamanya ibu bapa perlu memastikan yang anak-anak mereka mendapat suntikan vaksin,” katanya, sambil menambah langkah penjagaan kebersihan terutama ketika memegang bayi perlu diambil kerana virus itu mudah tersebar.

Dr Dzulkefly dalam pada itu menolak dakwaan bahawa Inactivated Polio Vaccine (IPV) menyebabkan vaccine-derived poliovirus (VDPV) kerana ia mengandungi virus Polio yang telah dimatikan (inactivated).

“KKM juga ingin menekankan bahawa VDPV yang dikesan pada kes kanak-kanak yang dilaporkan bukan disebabkan oleh vaksin IPV.

Sepanjang penggunaan vaksin oral polio di Malaysia, katanya lebih dari 80 juta dos telah diberikan, dan tiada sebarang kes VDPV dikesan.

“Kesemua kes poliomyelitis yang pernah dilaporkan di Malaysia sebelum ini merupakan kes akibat jangkitan virus polio liar (wild poliovirus, WPV) dengan kes terakhir dilaporkan pada 1992,”katanya.

Dr Dzulkefly turut meminta semua pihak untuk tidak memutar belit fakta mengenai VDPV, dengan mendapatkan maklumat yang sahih dari pihak KKM.

“Ibu bapa dan orang awam diseru untuk memberi kerjasama kepada pihak KKM bagi memastikan penularan jangkitan dapat dihentikan dan Malaysia kembali bebas polio,”katanya.

Ditanya adakah kementeriannya akan mewajibkan pengambilan vaksin, Dr Dzulkefly berkata kerajaan kini dalam usaha memastikan program imunisasi negara berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

“Kita akan melakukan perkara itu dahulu sebelum meletakkan kewajiban mandatori bagi vaksinasi dengan memperkukuh program imunisasi negara ke seluruh kawasan terutamanya kawasan Orang Asli terlebih dahulu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Virus polio jangkiti seorang bayi lelaki di Sabah

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) Jumaat lepas (6 Disember).

Menurut beliau, bayi itu masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus itu mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, virus yang dilemahkan itu dikumuhkan oleh badan melalui najis dan dalam persekitaran yang tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio serta ia terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus.

“Semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti itu, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus yang kembali aktif, dikenali sebagai vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis.

“Namun begitu, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit itu,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, sehingga 5 Disember lepas, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah itu mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) yang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

“Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio,” kata beliau.

Bagi memastikan negara terus bebas daripada penyakit polio, beliau berkata, KKM melalui semua Pejabat Kesihatan Daerah dan fasiliti kesihatan hendaklah antaranya memastikan pemantauan dan pengesanan AFP di semua fasiliti kesihatan diperkukuhkan.

Selain itu, pemantauan sampel persekitaran di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti kawasan penempatan warga asing dari negara yang sedang mengalami polio perlu diperluaskan selain memastikan liputan imunisasi polio melebihi 95 peratus di semua lokaliti di Malaysia pada setiap masa.

Bagi negeri Sabah yang paling hampir dengan negara Filipina, liputan imunisasi yang tinggi adalah penting untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan polio,” katanya.

Pada masa sama, menurutnya, KKM perlu meningkatkan aktiviti pemantauan kes cicir imunisasi serta meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio serta kepentingan imunisasi bagi mencegah polio dan menangani pengaruh antivaksin.

Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran selain mengamalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran yang berterusan,” katanya.

Untuk rekod, penyakit polio merupakan penyakit yang wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

– BERNAMA