Categories
AGENDA NASIONAL

WHO isytihar wabak polio di Malaysia tamat – Khairy

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Wabak polio di Malaysia diisytiharkan tamat susulan perutusan rasmi Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura kepada Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pengisytiharan ini dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang telah melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan di Malaysia.

“Berdasarkan penilaian tersebut, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak tersebut telah diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularan wabak polio,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

Khairy berkata susulan kejayaan menamatkan wabak polio di Malaysia, masyarakat perlu terus berwaspada kerana masih terdapat negara di dunia yang belum bebas daripada jangkitan polio.

“Kita perlu pastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio dan seterusnya Malaysia terhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang. Selain daripada itu, KKM akan mempastikan survelan ‘Acute Flaccid Paralysis’ (AFP) dan survelan persekitaran yang berkualiti terus dilaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan,” katanya.

Khairy berkata pada penghujung 2019, Malaysia dikejutkan dengan pengesahan satu kes polio yang dikesan di Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada kes polio.

Susulan pengesahan kes polio tersebut, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan, dan masih diteruskan walaupun negara turut dilanda pandemik Covid-19, katanya.

Beliau berkata KKM telah mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan AFP di seluruh negara.

AFP ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio dan dalam pelaksanaan survelan ini, setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun diambil sampel najis untuk mengesan virus polio.

Khairy berkata dari 1 Jan 2019 hingga 9 Sept 2021, sebanyak 426 kes AFP telah dilaporkan di seluruh negara dan empat daripadanya telah disahkan dijangkiti polio, kesemuanya dilaporkan di Sabah yang masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun, sementara kes yang terakhir telah mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Jan tahun lepas.

Katanya kes yang disahkan polio ini didapati tiada atau tidak lengkap imunisasi polio.

Khairy berkata tindakan pencegahan dan kawalan wabak polio oleh KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio.

Beliau berkata Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS) telah dilaksanakan secara berperingkat semenjak 27 Disember 2019 sehingga 20 Januari 2021 melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di negeri itu.

Katanya sebanyak dua dos vaksin “bivalent oral polio” jenis 1 dan 3 (bOPV) dan dua dos vaksin “monovalent oral polio” jenis 2 (mOPV2) diberikan secara titisan ke dalam mulut.

“Melalui kempen imunisasi polio ini, seramai 809,261 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV, manakala 784,062 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin mOPV2.

Di Labuan pula, Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL) telah dijalankan dari 11 Jun 2020 hingga 6 November 2020 melibatkan pemberian dua dos vaksin ‘bivalent oral polio’ jenis 1 dan 3 (bOPV) dengan menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun. Seramai 24,297 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin bOPV di Labuan,” katanya.

Di samping itu, Khairy berkata imunisasi polio melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) diteruskan di seluruh negara bagi bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan polio.

Imunisasi polio ini diberikan melalui suntikan vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen polio, difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol) dan Haemophilus influenzae type b kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan, katanya.

Beliau berkata pada penghujung 2020 berlaku sedikit perubahan dalam jadual PIK dan vaksin lima serangkai ini ditukar kepada vaksin enam serangkai (DTaP-IPV/HepB/Hib) dengan tambahan antigen untuk penyakit Hepatitis B.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga KKM terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Labuan.

“Mereka ini adalah wira barisan hadapan yang menjayakan usaha untuk menamatkan wabak polio walaupun pada masa yang sama turut berjuang untuk mengawal pandemik COVID-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

WHO puji keupayaan Malaysia urus Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Keupayaan besar Malaysia dalam kesiapsiagaan dan tindak balas mendepani wabak membantu mewujudkan asas yang stabil bagi tindak balas terhadap pandemik Covid-19 setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo berkata infrastruktur dan tenaga kerja terlatih untuk menawarkan jagaan kesihatan berkualiti tinggi yang dimiliki negara ini turut menyumbang kepada perkara itu.

Dalam ruangan komentar laman sesawang WHO bertajuk “Sebuah negara bersatu mendepani pandemik”, beliau berkata pada tahun-tahun sebelum pandemik, kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah untuk memperkukuh jaminan kesihatan Malaysia serta keupayaan tindak balas pelbagai sektor bagi kecemasan kesihatan dan kesediaan menghadapi bencana.

“Langkah-langkah ini termasuk persiapan dan penyertaan dalam Penilaian Luaran Bersama mengenai keupayaan teras Peraturan Kesihatan Antarabangsa dengan WHO pada penghujung 2019 bagi membantu mengenal pasti jurang paling kritikal di antara sistem kesihatan manusia dan haiwan serta pembendungann bahaya alam sekitar

“Pengenalpastian jurang membolehkan penyusunan keutamaan keperluan dan peluang bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas. Kesemua komponen ini memainkan peranan penting dalam tindak balas awal Malaysia terhadap pandemik,” katanya.

Dr Lo berkata pada peringkat awal penularan wabak pada Februari 2020, Malaysia meningkatkan akses kepada pengujian berkualiti, jumlah katil bagi jagaan kritikal dan ventilator.

Perkhidmatan kesihatan dipertingkat dengan pantas bagi memenuhi permintaan baharu dan yang dijangka sambil pada masa sama kerajaan mengoperasikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di peringkat nasional dan negeri, serta menggerakkan pengambilan dan penghantaran petugas kesihatan berdasarkan kawasan yang mempunyai beban kerja yang tinggi.

Beliau berkata Malaysia juga mengambil langkah segera untuk mengekang penularan virus termasuk dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan serta beberapa fasa dan lelarannya yang berjaya mengurangkan bilangan kes Covid-19 kepada separuh pada April.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 100,000 kanak-kanak di Sabah terima suntikan vaksin polio

SHAH ALAM, 27 JAN: Seramai 109,232 daripada 391,040 kanak-kanak berusia hingga lima tahun di 25 daerah Sabah diberikan vaksin polio secara titisan ke mulut (OPV) Dos 1 setakat 25 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata aktiviti imunisasi tambahan (SIA) merupakan fasa kedua tindakan kawalan dan pencegahan wabak di sana.

“Hari ini genap sebulan sejak Kempen Imunisasi Polio Sabah dilancarkan pada 27 Disember 2019.

“Imunisasi polio dos 1 menggunakan vaksin polio diberi secara titisan ke mulut (Oral Polio) kepada semua kanak-kanak bawah lima tahun di Sabah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut mengakui pelaksanaan SIA di beberapa daerah amat mencabar daripada segi logistik dan keselamatan kakitangan kesihatan.

“Mereka (petugas) perlu menaiki bot atau perahu, meredah air serta berjalan sejauh tiga kilometer untuk sampai ke kampung yang dituju.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas kesihatan dan sukarelawan di lapangan yang sedang bertungkus-lumus menyelamatkan negara daripada polio.

“Mereka ini bukan selebriti. Mereka adalah wira yang tidak didendang oleh masyarakat umum dan media. Hargailah jasa petugas kesihatan tatkala perkhidmatan ini masih ada,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polio: Lebih 100,000 kanak-kanak di Sabah bakal divaksin

SUNGAI SIPUT, 11 JAN: Lebih 100,000 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di Sabah akan diberi suntikan vaksin polio bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kesemua kanak-kanak tidak kira sama ada warganegara atau bukan akan disuntik secepat mungkin setelah bekalan vaksin tersebut diperoleh minggu ini.

“Mengikut data, tahap pelalian kanak-kanak tempatan di Sabah melebihi 95 peratus, oleh kerana negeri itu mempunyai masalah pendatang asing khususnya mereka yang tidak mempunyai dokumen (pengenalan diri) dan kebanyakannya dari Filipina, jadi ramai kalangan mereka (kanak-kanak) tidak menerima pelalian vaksin.

“Kami akan bekerjasama dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta kerajaan Filipina supaya keadaan (wabak polio) boleh dikawal daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Jamuan Makan Malam Jawatankuasa Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shing Chung di sini, malam ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua lagi kanak-kanak disahkan dijangkiti polio, pesakit kedua dan ketiga direkodkan di Sabah selepas seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran disahkan dijangkiti virus itu.

Katanya dua kanak-kanak lelaki itu yang masing-masing berusia lapan dan 11 tahun merupakan warganegara asing.

Pada 6 Disember lalu, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), kes polio pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polio: Kanak-kanak bawah lima tahun diberi imunisasi tambahan

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah akan diberi imunisasi tambahan yang akan dibuat secara berperingkat bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan.

“Perancangan rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan itu akan dijalankan secepat mungkin,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini aktiviti pemberian imunisasi untuk kanak-kanak yang tercicir imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dan kawasan berhampiran telah dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan.

Sehingga 14 Disember 2019, seramai 59 kanak-kanak berumur dua bulan hingga 15 tahun di kawasan yang tercicir imunisasi itu telah diberikan vaksin polio. Kesemua mereka ini adalah kanak-kanak bukan warganegara, katanya.

Pada 8 Disember lalu, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Dr Noor Hisham berkata penyakit berjangkit seperti polio tidak mengenali sempadan dan cara terbaik untuk mencegahnya ialah melalui imunisasi.

“Oleh itu, ibu bapa diseru untuk memastikan anak yang tercicir imunisasi dibawa ke Klinik Kesihatan yang berhampiran. Penjadualan semula imunisasi bagi kanak-kanak cicir imunisasi akan dibuat mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga terus berhubung dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mendapatkan maklumat terkini situasi polio secara global dan sedang memperhalusi kerjasama dengan pihak United Nations Children’s Fund (UNICEF) bagi mendapatkan bekalan vaksin pada kos yang rendah (disubsidi oleh UNICEF) untuk program imunisasi bukan warganegara di Sabah.

Pemberian vaksinasi itu akan dilaksanakan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih, katanya.

Beliau berkata aktiviti pengesanan kes-kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis (iaitu proksi kepada penyakit poliomyelitis) di kawasan sekitar tempat tinggal bayi berkenaan kini diperluaskan ke kawasan berhampiran dan kawasan berisiko.

Seramai 1,553 orang telah diperiksa, dan tiada yang bergejala AFP dikesan, katanya sambil memberitahu bahawa pengambilan sampel najis daripada 20 orang kontak rapat bayi itu telah dijalankan untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polio: 75 peratus tidak tunjuk gejala jangkitan

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Hampir 75 peratus daripada mereka yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda gejala tersebut, kata Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Dr Rohani Jahis.

Menurut Dr Rohani, sebaliknya hanya seorang daripada empat orang dengan jangkitan virus polio, yang akan menunjukkan gejala, kebiasaanya seperti demam selesema.

“Hanya 0.5 peratus individu yang dijangkiti virus ini mengalami kelumpuhan. Maksudnya tidak semua orang lumpuh. Tapi apabila kita dijangkiti virus ini, ia (virus) tetap akan dikeluarkan dalam najis, jadi risiko untuk menjangkiti orang lain itu ada, apabila ia (virus) dikeluarkan dalam persekitaran,” katanya ketika menjadi tetamu Ruang Bicara: Bahaya Polio di Bernama TV semalam.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan seorang bayi tiga bulan disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital pada 6 Disember lepas.

Kes polio ini merupakan yang pertama, setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lalu.

Beliau berkata, virus polio sebenarnya belum lagi ‘dibasmi’ di dunia ini, dan ketika ini terdapat tiga lagi negara yang masih lagi endemik dengan virus tersebut, iaitu Nigeria, Afghanistan dan Pakistan.

“Jadi kemungkinan (virus) datang daripada negara lain boleh berlaku, sekiranya kanak-kanak atau penduduk di negara ini tidak dilindungi dengan vaksin (pelalian), jadi risiko untuk dapat jangkitan itu ada,” katanya.

Dr Rohani berkata sekiranya seseorang itu dijangkiti virus polio, tiada rawatan khusus untuk membunuh virus tersebut, sebaliknya rawatan adalah bersifat ‘supportive’ seperti ubat demam (sekiranya demam) dan fisioterapi sekiranya mengalami kelumpuhan kaki.

Beliau menegaskan langkah terbaik yang boleh diambil ketika ini ialah, memastikan anak-anak menerima imunisasi yang secukupnya dan pada masa sama, memastikan komuniti turut dilindungi dengan imunisasi.

“Apabila dalam komuniti ramai yang telah menerima pelalian, apabila ada virus polio yang datang ke komuniti, virus itu tidak boleh nak ‘survived’ dalam komuniti, sebab semua orang telah diberi imuniti.

“Isunya apabila tidak ada ataupun imuniti dalam populasi itu rendah, jadi virus ini boleh ‘survived’ dan merebak dalam komuniti menyebabkan masalah,” katanya.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

-BERNAMA