Categories
GLOBAL

Rusia gesa penyelesaian politik untuk konflik Syria

BEIRUT, 20 JUN: Utusan khas Presiden Rusia Vladimir Putin bagi Syria pada Rabu berkata masanya telah tiba untuk semua pihak yang terlibat dalam konflik Syria membenarkan penyelesaian politik bagi menghentikan krisis itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Kami sedia bekerjasama dengan rakan-rakan Lubnan kami dalam konteks laluan Astana, dan kami bertekad untuk melakukan lebih banyak usaha dan menyelaras dengan rakan kongsi antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara serantau,” kata Alexander Lavrentiev dalam satu sidang akhbar di Beirut susulan pertemuannya dengan Perdana Menteri Saad al-Hariri.

Beliau berkata penyelesaian politik adalah penting untuk mencapai keputusan konkrit di Syria.

“Kami juga membincangkan satu isu khusus yang membimbangkan Lubnan, iaitu berkaitan pelarian, dan bersetuju melakukan usaha yang lebih bersama bagi mempercepat kepulangan pelarian Syria ke tanah air mereka.

“Persetujuan bersama kami membolehkan kami mempercepat penyelesaian masalah ini kerana kehadiran pelarian dalam negara rakyat Syria menyebabkan masalah ini bertambah rumit,” katanya.

Kementerian Luar Lubnan turut mengeluarkan satu kenyataan yang menyebut bahawa Lavrentiev telah bertemu menteri luar negara itu, Gebran Bassil, dan membincangkan hubungan politik serta ekonomi antara Beirut dan Moscow.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak membincangkan situasi di Timur Tengah dan ketegangan antara negara-negara Teluk, dan berkata mereka memfokus kepada pembentukan satu jawatankuasa perlembagaan di Syria.

Syria telah terjerumus dalam kancah peperangan saudara yang sengit sejak awal 2011 apabila rejim Bashar al-Assad mengambil tindakan keras terhadap tunjuk perasaan pro-demokrasi.

Sejak itu, beratus-ratus ribu orang telah terbunuh dan lebih 10 juta lagi menjadi pelarian dalam negara, menurut para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump-Putin setuju gesa genjatan senjata

WASHINGTON, 4 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin bersetuju menggesa gencatan senjata bagi menghentikan perang di Syria.

Kedua-dua pemimpin itu bercakap melalui telefon buat kali pertama sejak Washington melancarkan serangan udara terhadap Syria hampir sebulan lalu.

Rumah Putih dalam satu kenyataan memberitahu, Trump dan Putin setuju bahawa penderitaan melanda Syria berlangsung terlalu lama dan semua pihak perlu berusaha menamatkan keganasan di negara itu.

“Perbualan berjalan dengan baik dan ia termasuk perbincangan untuk mencapai keamanan yang berkekalan terhadap kemanusiaan.

syria“Tujuannya juga adalah untuk mewujudkan keadaan bagi melancarkan proses penyelesaian sebenar di Syria,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, Trump mengarahkan serangan peluru berpandu di pangkalan udara kerajaan Syria susulan kematian lebih 80 orang disyaki akibat senjata kimia di bandar Khan Sheikhoun, 4 April lalu.