Categories
NASIONAL

Zuraida : Mengapa Salleh Dibenarkan Kendali Perniagaan NFC?

KUALA LUMPUR, 17 APR : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan pusat memperjelaskan bagaimana Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC),

Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dibenarkan mengadakan lawatan perniagaan ke luar negara.

Ini kerana menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, akaun syarikat bermasalah itu telah dibekukan dan perniagaan dihentikan sementara siasatan dijalankan.

Menurut MP Ampang Zuraida Kamaruddin, Mahkamah Tinggi membenarkan Mohamad Salleh menggunakan pasportnya bagi tujuan perjalanan perniagaan sebelum ia dipulangkan semula kepada mahkamah pada 16 Mei depan.

Laporan The Star dan New Straits Times pada Sabtu lalu menyatakan Mohamad Salleh perlu ke luar negara bagi tujuan memastikan perjalanan perniagaan di Singapura berjalan lancar pada 23 hingga 26 Mei depan.

Beliau juga akan mengerjakan umrah (18 April hingga 5 Mei) dan melawat Kazakhtan bagi mencari lokasi untuk membuka ladang baru  (5 hingga 11 Mei).

Mohamad Salleh juga dijangka melawat anak perempuannya, Wan Izzana Fatimah Zabedah yang belajar di Imperial College Business School, London (11 hingga 15 Mei).

“Kita tidak faham kenapa seolah-olah Datuk Seri Mohamad Salleh masih menjalankan perniagaan berurusan dengan projek lembu negara ini di bawah NFC?

Manakala dalam sidang Dewan Rakyat pada 27 Mac lalu, jelas Zuraida, Noh memaklumkan projek itu akan ditender semula bagi memastikannya diteruskan dan akaun syarikat dibekukan.

Zuraida bertanya mengapa pula Mohamad Salleh dibenarkan ke Singapura dan Kazakhtan bagi tujuan lawatan perniagaan bagaikan operasi perniagaan berjalan seperti biasa?

Beliau juga berkata, sasaran projek itu adalah bagi mengurangkan kebergantungan daging import tetapi mengapa NFC meneruskan kerjasama dan pembukaan ladang di Kazahktan.

Seterusnya persoalan yang timbul adakah juga Wan Izzana Fatimah Zabedah yang meneruskan pengajian di London masih menerima bayaran gaji sebagai Pengarah Syarikat di NFC? soalnya.