Categories
NASIONAL

Suami Shahrizat Dibebas Walau Pernah Arah Sogok Polis

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Pembebasan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail daripada tuduhan rasuah menimbulkan persepsi bahawa beliau dilindungi oleh kerajaan, Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Ini terjadi apabila Datuk Shamsul Bahrin Ismail yang menghadapi 17 tuduhan di Mahkamah Tinggi berhubung isu NFC mengakui beliau diarahkan oleh Mohamad Salleh agar menyogok polis supaya menutup kes NFC ketika siasatan sedang dijalankan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Zuraida, keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Shamsul agar kes beliau diketepikan akan memberi kesan terhadap kes NFC yang lain termasuk kes saman RM100 juta yang difailkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadap beliau dan Pengarah Startegi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

“Lebih menghairankan lagi, melalui bukti yang telah diberikan kepada SPRM jelas menunjukkan Mohamad Salleh suami kepada Shahrizat adalah individu yang telah merancang serta menyuruh Shamsul untuk menyogok pihak polis bagi menutup kes NFC yang ketika itu sedang disiasat.

“Cukuplah pihak tertentu cuba melindungi suami Shahrizat kerana rakyat yang mengikuti kes ini faham dan maklum bahawa kes berprofil tinggi dan keputusan hakim dalam kes ini akan memberi implikasi besar pada kes perbicaraan saman RM100 juta sekiranya kes Shamsul diketepikan ataupun Salleh dihadapkan ke mahkamah,” ujar Zuraida.

Sementara itu, Shamsul dalam sidang media sama, kecewa terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan beliau memberitahu, hakim membuat keputusan tanpa meneliti dokumen yang diberikan kepada mahkamah.

“Dokumen banyak, tetapi keputusan dibuat tak sampai sepuluh minit, sekurang-kurangnya hakim telitilah dulu dokumen,” ujar beliau.

Shamsul turut mempertikaikan tiada tindakan diambil terhadap Mohamad Salleh walaupun beliau merupakan individu yang mengarahkan ‘rundingan’ denganpolis dijalankan.

Categories
NASIONAL

Bank Negara Didakwa Tunduk Pada Tekanan Pengarah NFC

PETALING JAYA, 14 MEI: PKR akan memberi bantuan guaman kepada seorang bekas kerani bank yang disiasat oleh Bank Negara setelah beliau terlibat di dalam pemberian maklumat berkenaan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Johari Mohamad, bekas kerani Public Bank cawangan Jinjang, di dakwa menolong PKR di dalam pencarian maklumat berkenaan transaksi akaun kepunyaan pengarah NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Dalam mengecam siasatan Bank Negara itu, Rafizi berkata agensi itu tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan politik dan mengambil tindakan terhadap orang awam semata-mata untuk menutup penyelewengan.

Rafizi juga mendakwa Mohamad Salleh menggunakan agensi kerajaan demi menjejaki individu yang tidak bersalah dalam skandal yang dihadapi beliau.

Katanya, tindakan ini nyata menjejaskan periuk nasi Johari sehingga beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan.

“Tindakan bersifat dendam kesumat ini sudah tentu mendapat restu Datuk Seri Shahrizat Jalil selaku Ketua Wanita Umno.

?Sebelum ini apabila ditanya apakah tindakan yang bakal diambil terhadap mereka yang mendedahkan penyelewengan NFC, Salleh sendiri mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan keluarga.

“Tindakan dendam ini juga bertentangan dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa beliau tidak berdendam dengan sesiapa kecuali saya.

?Dan beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa kecuali saya,” Rafizi berkata di dalam satu sidang media di ibupejabat PKR di sini.

Mohamad Salleh sedang menghadapi kes di mahkamah seksyen atas tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 million dalam pembelian dua unit kondominium.

Projek NFC yang mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta daripada kerajaan pusat didakwa tidak mencapai sasarannya untuk membekal daging lembu kepada pasaran tempatan.

Sebaliknya, wang itu didakwa digunakan untuk membeli kondo mewah di Kuala Lumpur dan Singapura.

Johari yang hadir pada sidang media itu berkata beliau telah disiasat di bawah Akta Bank Negara dan Institusi Kewangan (BAFIA) dan diminta melaporkan diri kepada Bank Negara pada jam 2.00 petang ini.

Johari menerima surat daripada majikannya pada 24 April 2012 kerana didakwa melanggar tatacara disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang telah dibuat oleh Mohamad Salleh.

“Saya telah melalui satu proses perbicaraan disiplin di Public Bank. Akibat daripada tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

“Saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Salleh,” katanya.

Satu notis daripada Public Bank menyatakan, diantara 9.25 pagi dan 9.45 pagi pada 16 Febuari 2012, beliau telah mengakses sistem data bank pada komputer tempat kerja JJGWSSCN002.

Ini bagi menyemak dan mencetak penyata baki dan menyerahkan kepada pihak ketiga.

Empat akaun yang disyakki telah diakses adalah milik Datuk Seri Salleh Ismail, Agroscience Industries Sdn Bhd, National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Rafizi berkata PKR akan menyediakan bantuan guaman kepada Johari yang melibatkan peguam N. Surendran, Lateefa Koya dan Fadiah Nadwa Fikri.

Categories
NASIONAL

Zuraida : Mengapa Salleh Dibenarkan Kendali Perniagaan NFC?

KUALA LUMPUR, 17 APR : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan pusat memperjelaskan bagaimana Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC),

Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dibenarkan mengadakan lawatan perniagaan ke luar negara.

Ini kerana menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, akaun syarikat bermasalah itu telah dibekukan dan perniagaan dihentikan sementara siasatan dijalankan.

Menurut MP Ampang Zuraida Kamaruddin, Mahkamah Tinggi membenarkan Mohamad Salleh menggunakan pasportnya bagi tujuan perjalanan perniagaan sebelum ia dipulangkan semula kepada mahkamah pada 16 Mei depan.

Laporan The Star dan New Straits Times pada Sabtu lalu menyatakan Mohamad Salleh perlu ke luar negara bagi tujuan memastikan perjalanan perniagaan di Singapura berjalan lancar pada 23 hingga 26 Mei depan.

Beliau juga akan mengerjakan umrah (18 April hingga 5 Mei) dan melawat Kazakhtan bagi mencari lokasi untuk membuka ladang baru  (5 hingga 11 Mei).

Mohamad Salleh juga dijangka melawat anak perempuannya, Wan Izzana Fatimah Zabedah yang belajar di Imperial College Business School, London (11 hingga 15 Mei).

“Kita tidak faham kenapa seolah-olah Datuk Seri Mohamad Salleh masih menjalankan perniagaan berurusan dengan projek lembu negara ini di bawah NFC?

Manakala dalam sidang Dewan Rakyat pada 27 Mac lalu, jelas Zuraida, Noh memaklumkan projek itu akan ditender semula bagi memastikannya diteruskan dan akaun syarikat dibekukan.

Zuraida bertanya mengapa pula Mohamad Salleh dibenarkan ke Singapura dan Kazakhtan bagi tujuan lawatan perniagaan bagaikan operasi perniagaan berjalan seperti biasa?

Beliau juga berkata, sasaran projek itu adalah bagi mengurangkan kebergantungan daging import tetapi mengapa NFC meneruskan kerjasama dan pembukaan ladang di Kazahktan.

Seterusnya persoalan yang timbul adakah juga Wan Izzana Fatimah Zabedah yang meneruskan pengajian di London masih menerima bayaran gaji sebagai Pengarah Syarikat di NFC? soalnya.

Categories
NASIONAL

Nizar : Skandal NFC Buah Mulut Orang Kampung

SHAH ALAM, 12 APR : Skandal projek lembu gergasi Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) bukan sahaja mendapat perhatian golongan kelas menengah tetapi sudah menjadi buat mulut orang kampung di Perak.

Menurut bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin isu hutang dan penyalahgunaan dana NFC oleh keluarga bekas menteri Umno telah membuatkan ahli Umno-BN Perak malu untuk berdepan dengan orang kampung.

Tambahnya, Kes lembu NFC begitu mendalam kesannya kepada penduduk kampung seperti di Senggang, Sayong dan Malong di Perak.
Malah, kata Mohammad Nizar, kes NFC dan hubungannya dengan bekas Menteri Kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya akan mempengaruhi sentimen orang Perak di dalam pilihanraya akan datang.

“Kes Shahrizat ini begitu dekat dengan orang kampung kerana melibatkan lembu dan peruntukan yang begitu besar,” ujar beliau di dalam ucapannya di Pidato Wacana Pendidikan Percuma di sini semalam.

Sebelum ini, Shahrizat terpaksa letak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kommuniti ekoran dari skandal NFC yang mula di dedahkan oleh Ketua Audit Negara pada November tahun lepas dan diulas oleh Parti Keadilan Rakyat.

Suami Shahrizat pula, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur pada Mac 12 di atas dua caj pecah amanah bersabit pembelian dua unit condo bernilai RM 49.7 juta.

Nizar turut berseloroh dengan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak perlu bersusah payah untuk menawan Perak kembali kerana penyelewengan Umno-BN telah diketahui hampir segenap pelusuk rakyat di Perak.

“Kita tidak perlu bersusah payah untuk menawan Perak kerana kita sebut lembu Shahrizat dan cincin Rosmah, Perak kita dapat tawan kembali,” guraunya.

Selain itu, kegusaran Umno-BN terhadap Pakatan di Perak telah membuatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib datang ke Perak enam kali.

?Najib memberikan habuan wang ringgit kerana mereka takut kehilangan negeri ini dalam pilihanraya nanti,” kata Nizar.

Beliau menambah pimpinan Umno sendiri tidak menerima idea 1Malaysia yang dibawa Najib.

“Tunku Razaleigh sendiri memberitahu saya, pemimpin Umno sendiri tidak menerima idea 1Malaysia yang berhempas pulas di lakukan oleh Najib,” jelas Nizar.

Categories
NASIONAL

Cagar Harta Keluarga Shahrizat Untuk Bayar Balik Pinjaman NFC

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: PKR mendesak Kerajaan Malaysia agar mencagarkan harta keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai timbal balik pembayaran bagi pinjaman RM 250 juta untuk Projek Fidlot Nasional (NFC).

Cara tersebut adalah yang paling berkesan bagi memastikan yang NFC Corp, syarikat yang mengendalikan NFC, dapat membayar balik pinjaman tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata tanggungjawab bagi mendapatkan semula wang tersebut terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Menurut beliau, memandangkan operasi dan prestasi kewangan NFCorp tidak memungkinkan syarikat itu membayar balik pinjaman, maka tindakan paling wajar ialah mengenakan syarat ‘jaminan peribadi’ ke atas keluarga beliau.

“Jika NFCorp gagal membayar jumlah pinjaman pertama dalam tempoh dua minggu maka Najib perlulah mengambil tindakan melelong harta-harta tersebut untuk mendapatkan kembali dana rakyat,” katanya.

Tegas Rafizi, jika cagaran harta peribadi tidak berlaku dalam seminggu, PKR akan mendedahkan harta-harta lain yang telah diperoleh keluarga Shahrizat dan penyelewengan lain yang bersabit NFCorp.

Sebelum ini, skandal NFC Corp, syarikat yang dikendalikan oleh suami dan anak lelaki Shahrizat, memaksa beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kommuniti.

Pada March 12, suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur di atas dua caj pecah amanah bersabit pembelian dua unit condo bernilai    RM 49.7 juta.

Mohammad Salleh mengaku tidak bersalah.

Categories
NASIONAL

Jingga 13: Muhyiddin Juga Perlu Di Siasat

SHAH ALAM, 14 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi fokus utama berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang kini berada  dalam proses pembicaraan di mahkamah.

Setakat ini hanya Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan suami, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang menjadi fokus utama berhubung kes ini.

Menurut Koordinator Jingga-13, Fariz Musa, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Pertanian ketika itu perlu diseret dan disiasat.

Katanya, ini memandangkan Muhyiddin adalah menteri yang bertanggungjawab memberikan projek tersebut kepada suami Ketua Wanita Umno tersebut serta boleh mengundang pelbagai persepsi.

“Pendedahan yang dilakukan sehingga Shahrizat menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri pada tempoh akhir menjawat jawatan Senator pada 8 April bererti dakwaan membabitkan NFC yang turut melibatkan ahli keluarganya mempunyai asas kebenarannya.

“Kalau tidak masakan Shahrizat akan meletak jawatan. Maka selepas ini Muhyiddin juga harus diheret untuk disiasat.” jelas beliau.

Beliau turut mengulangi pendiriannya agar satu pemantauan menyeluruh akan dilakukan oleh pihaknya bagi memastikan segala

maklumat dapat dibekalkan kepada mahkamah sekiranya diperlukan.

“Pokok utama besar adalah orang yang terlibat secara langsung bagi memastikan projek ini berjalan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau juga harus mengambil sikap yang sama seperti Shahrizat untuk berundur kerana beliau harus bertanggungjawab terhadap pengagihan dana RM250 juta projek ini.

“Kita juga mempertikaikan mengapa Pengerusi NFC sahaja yang dikenakan tindakkan sedangkan laporan yang dibuat oleh Jingga-13 termasuk mengenai kondo dan sebagainya melibatkan secara keseluruhan pihak pengurusan NFC. Muhyiddin harus diheret bersama kerana isunya bermula awal lagi melibatkan Tan Sri Muhyiddin.

“Jadi tindakan yang diambil seolah-olah ‘mengkambing hitamkan’ Shahrizat dan Muhyiddin terus menyembunyikan segala fakta seolah-olah dia tidak terlibat. Kita yakin dan percaya bahawa tindakan dibuat untuk cuba menyembunyikan kejahatan yang dibuat oleh Muhyiddin yang terlibat secara langsung dalam kes ini,” katanya.

Berhubung penolakkan usul bagi membincangkan perkara ini di Dewan Rakyat ujar beliau kes ini baru berada di peringkat sebutan dan pendakwaan baru sahaja dibuat.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang dikemukakan pembangkang bagi bincangkan isu NFC kerana ianya sudah menjadi kes mahkamah.

“Bila tindakan Speaker menolak isu ini untuk dibahaskan kita lihat bahawa ini menjadi satu fenomena kepada Umno-BN untuk berdepan dengan ahli yang berhormat daripada PR (Pakatan) bagi membahaskan isu ini dengan lebih terperinci kerana takut segalanya dapat dibongkarkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya Faris lagi