Categories
NASIONAL

PKR Bongkar 4 Lagi Hartanah Milik NFC


SHAH ALAM 24 APRIL : PKR berjaya membongkar satu lagi aset Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang didakwa menggunakan dana rakyat untuk membeli dua unit hartanah di Mont Kiara.

Berdasarkan carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata dua premis utama itu ialah pejabat di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

Difahamkan, empat unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran.

Manakala salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Mohamad Salleh yang dibeli pada harga RM814,550.

Jelasnya, semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC menunjukkan bahawa setiap bulan NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat itu sebanyak RM28,000 kepada Wan Shahinur Izran dan RM8,240 kepada Mohamad Salleh.

Tambah Rafizi, hal ini menimbulkan beberapa kesimpulan dan persoalan besar.

Antaranya dua orang pengarah NFC itu menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat.

Bayaran sewa yang dikutip oleh Mohamad Salleh iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi.

“Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan. Ini bermakna Dato? Seri Salleh Ismail membuat keuntungan 72% setiap bulan iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat.

“Jika ini keadaannya dengan unit L-3A-3A yang dimiliki oleh Mohamad Salleh, sudah tentu kadar keuntungan serupa juga dibayar oleh NFC kepada Wan Shahinur Izran bagi ruang-ruang pejabat lain yang dimiliki beliau,” katanya.

Jelas Rafizi kaedah membeli hartanah atas milikan peribadi dan dibiayai oleh bayaran sewa oleh NFC dan syarikat bersekutu turut digunapakai dalam hartanah-hartanah lain.

“Carian rasmi di JPPH menunjukkan beliau mempunyai dua ruang kedai iaitu unit 2 dan 3. Unit 2 berharga RM8.4 juta sementara unit 2 berharga RM5.7 juta.

“Ruang ini disewakan kepada NFC yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250 juta yang dibiayai oleh rakyat.

“Adakah urusniaga pembelian hartanah atas nama peribadi tetapi dibayar menggunakan kutipan sewa dari NFC dan syarikat bersekutu ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah? Jika tidak, Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran perlu disiasat atas kemungkinan pecah amanah wang syarikat,” katanya.

Katanya, walaupun beliau tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi syarikat-syarikat bersekutu yang lain, beliau percaya Wan Shahinur Izran turut mendapat bayaran sewa yang lumayan dari dua ruang restoran yang dimilikinya.

“Di anggarkan  beliau memperolehi pendapatan sewa RM150,000 sebulan dari dua unit hartanah bernilai RM14.1 juta ini, mengambil kira kadar keuntungan sama yang diperolehi Mohamad Salleh,” katanya.

Justeru katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan penyelewengan wang rakyat walaupun pelbagai pendedahan dibuat dalam skandal NFC yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Katanya, Najib hanya berharap dengan pengunduran sementara Shahrizat dari jawatan kabinet, skandal ini akan reda sementara, sedangkan beliau membiarkan keluarga  Shahrizat terus bermewah dengan wang rakyat sebanyak RM250 juta.

“Walaupun Najib mengumumkan bahawa aset NFC dibekukan, hakikatnya keluarga Shahrizat masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan dari harta-harta yang dibeli menggunakan dana NFC.

“Selain dari pelbagai kondominium yang didedahkan, kini keluarga Shahrizat juga mendapat kutipan sewa dari hartanah-hartanah yang dibeli dengan dana NFC serta kemudiannya disewakan kembali kepada NFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedahan ini agar Wan Shahinur Izran dan Mohamad Salleh disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah-hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Mont Kiara.

Categories
NASIONAL

Suami Shahrizat Patut Didakwa Lebih Awal

SHAH ALAM, 26 FEB : Peguam Negara dan pihak polis seharusnya menjadikan Pengerusi Eksekitif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail sebagai orang pertama yang seharusnya di siasat dan didakwa berhubung pecah amanah yang membabitkan dana rakyat bernilai RM250 juta tersebut.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, cadangan polis supaya Peguam Negara hanya mendakwa Mohamed Salleh menggambarkan wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat pihak berkuasa tersebut.

“Masih lagi wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat. Kita melihat bahawa ia hanya difokuskan kepada Pengerusi Eksekutif NFC sahaja,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Aktivis masyarakat itu menambah, polis sepatutnya menyiasat secara keseluruhan dan semua pengurusan tertinggi NFC kerana semua pihak itu diyakini turut sama melakukan penyelewengan dan pecah amanah.

Malah laporan yang dibuat badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, tegasnya, turut menyatakan penglibatan ketiga-tiga anak Mohamed Salleh sebagai pengurusan tertingginya iaitu Wan Shahinur Izmir selaku Pengarah Eksekutif, Wan Shahinur Izran (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Wan Izzana Fatimah (Pengarah).

“Maknanya kertas siasatan itu yang dihantar kepada Peguam Negara seharusnya turut melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC.

“Ini kerana segala laporan yang kita buat sebelum ini bukan sahaja melibatkan Mohamed Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC tetapi turut sama melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC iaitu Pengarah Eksekutifnya, Wan Shahinur Izmir dan termasuk Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah,” ujarnya.

Fariz seterusnya berkata, Jingga 13 mempercayai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut terlibat dan mengetahui segala-galanya disebabkan isu itu melibatkan anak dan suaminya.

“Dalam perkara ini kita melihat Shahrizat cuba mengelak diri seolah-olah dia tidak terlibat langsung tetapi kita yakin dan percaya bahawa Shahrizat mengetahui segala aktiviti yang dilakukan oleh suami dan anak-anaknya kerana ia melibatkan pembelian kondominium, hartanah, kenderaan mewah dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap polis dan Peguam Negara bersikap profesional dalam perkara itu dan tidak tunduk kepada pihak tertentu demi kepentingan politik.

Januari lalu, seorang Ahli Perniagaan Shamsulbahrin Ismail (46) ditangkap polis dan dijadikan kambing hitam bagi menutup pembabitan dakwaan penyelewengan yang membabitkan keluarga Shahrizat.