Categories
NASIONAL SELANGOR

Penyelewengan Umno/BN Perlu Di Nilai Rakyat

SHAH ALAM 21 MAC : Rakyat di negara ini boleh menilai sejauh mana pencapaian ekonomi dan pembangunan sesuatu negeri di bawah pentadbiran Umno-BN melalui penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-BN dalam beberapa kes.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar berkata demikian di dalam dewan rakyat hari ini.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM2.71 billion kepada Umno Selangor untuk tujuan pembangunan tetapi dana rakyat itu sudah disalah gunakan untuk kepentingan politik.

“Banyak perkara atau kes yang boleh dilihat oleh rakyat antaranya Petronas diberi kepada kroninya, Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir sehingga beliau (Mokhzani) disenaraikan antara yang terkaya di Malaysia.

“Saya yakin rakyat juga tidak akan lupa atau menerima kes seperti skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta yang diterajui suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri NFC, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

“Begitu juga dengan penyelewengan wang zakat guaman oleh Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Penyenaraian saham Felda Global Venture Holding (FGVH) yang boleh mengugat tanah hak milik peneroka felda dan Skim Perumahan 1Malaysia yang dianggap hanya membebankan rakyat berpendapatan rendah kerana bank tidak mahu memberi pinjaman juga rasuah yang diamalkan oleh Menteri Besar terdahulu,” katanya.

Tambahnya, saham bumiputera juga merosot kepada RM2 billion berbanding RM54 billion.

“Kedudukan indeks rasuah negara yang juga menurun kepada tangga 60 berbanding tangga 47 semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Jelasnya, penyelewengan wang rakyat yang dilakukan oleh Kerajaan di bawah pentadbiran itu menunjukkan pentadbiran Pakatan Rakyat jauh lebih baik.

Ini kerana simpanan Kerajaan Negeri Selangor meningkat RM1.9 billion berbanding RM500 juta yang ditinggalkan oleh Umno-Bn pada tahun 2007.

Categories
NASIONAL

NFC: Guna Dana Sewa Pasaraya Mewah Di Singapura

SHAH ALAM, 29 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan pendedahan terbaru mengenai pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikatakan menggunakan sebahagian daripada dana awam berjumlah RM250 juta diperoleh bagi pelaburan dalam perniagaan pasaraya mewah di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, pelaburan dibuat pengurusan NFC menerusi syarikat Farmhouse Supermarkets Pte Ltd (Farmhouse Supermarkets) oleh NFC diyakini terdedah kepada risiko kerugian.

Sebelum ini, PKR turut mendedahkan pelaburan perniagaan dibuat pengurusan NFC ke atas tiga buah restoran mewah dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam tiga kondominium mewah di republik itu.

Mohd Rafizi selanjutnya menjelaskan, maklumat diperoleh sepertimana dalam laporan pihak berkuasa Singapura menyatakan pelaburan itu dikendali Farmhouse Supermarkets yang sahamnya dimiliki keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil iaitu Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah sebanyak S$666,667.00 setiap seorang.

Menurutnya, Farmhouse Supermarkets dipercayai dibiayai Malayan Banking Berhad dan United Overseas Bank Limited melalui kaedah sama digunapakai untuk membiayai pembelian dua kondominium mewah di Marina Bay Suites berharga RM34 juta yang didedahkan baru-baru ini.

Sejak tahun lalu, katanya, berdasarkan laporan, syarikat itu aktif mengambil pekerja melalui pengiklanan dibuat dipercayai sebagai persediaan bila mana pasaraya itu bakal dibuka dalam tahun ini.

“Siasatan PKR menunjukkan Farhmouse Supermarkets telahpun menjadi penyewa utama kepada sebuah kompleks pasaraya mewah yang bernama Star Vista beralamat 35, Rochester Drive dan terletak di kawasan elit berdekatan dengan Nanyang Technology University. Pasaraya yang diusahakan Farmhouse Supermarkets ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini apabila kompleks Star Vista disiapkan.

“Siasatan PKR juga menunjukkan bahawa Farmhouse Supermarkets telah menandatangani perjanjian sewaan dengan CapitalMalls selaku pemaju bagi 28 unit ruang kedai di tingkat 2 kompleks tersebut dari unit #02-08 hinggalah unit #02-35.

“Semakan dengan harga pasaran bagi ruang kedai komersil di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah di antara S$350 hingga S$500 sebulan bergantung kepada lokasi (berdasarkan kajian Competition Commission of Singapore). Oleh itu, jika keluasan 28 unit dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi, tanggungan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar Farmhouse Supermarkets adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini bersama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Mohd Rafizi berkata, sudah tentu perniagaan pasaraya itu akan dibiayai dari dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini.

Tegasnya, kenyataan pengurusan NFC yang mempertahankan hak mereka berbelanja dana RM250 juta itu mengikut citarasa mereka memperkuatkan lagi hujah bahawa sebahagian wang tersebut bakal dibelanjakan bagi membiayai pasaraya mewah ini.

“Oleh yang demikian, PKR mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets ini termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali semua dana awam yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.

Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, tambahnya, PKR akan melakukan pendedahan setiap minggu sehingga Dewan Rakyat bersidang pada pertengahan Mac ini.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Pendedahan Skandal NFC Adalah Tepat

SHAH ALAM, 29 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh maklumat terbaru bahawa pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menerusi Farmhouse Supermarkets Pte Ltd (Farmhouse Supermerkets) membuat pelaburan berjuta ringgit dari dana rakyat disalurkan dan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan kompleks membeli belah  Star Vista di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, siasatan dilakukan pihaknya dengan maklumat diperoleh daripada rakyat Malaysia di republik itu memang menyatakan penyewaan dibuat syarikat tersebut di Rochester Mall.

“Farmhouse Supermarkets dikatakan menyewa unit-unit bernombor #02-08 hingga #02-35 di kompleks membeli belah yang dibangunkan bersama-sama kondominium mewah di alamat 35, Rochester Drive, Singapura. Projek itu dibangunkan oleh pemaju UE One-North Developments Private Limited.

“Semakan di laman rasmi Rochester Mall jelas menyenaraikan Farmhouse Supermarket sebagai salah satu penyewa mereka seperti yang dilaporkan di laman http://www.rochestermall.com.sg/#02-08to35,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rafizi mengulas mengenai penafian dibuat CapitalMalls selaku pemaju kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan di mana mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket yang dimiliki keluarga Menteri Wanita, Kelaurga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Selanjutnya Mohd Rafizi berkata, maklumat di laman rasmi Roshester Mall juga mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat 2 kompleks itu berbanding kedai-kedai lain.

“Saya juga berpendapat oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza,” katanya.

Oleh yang demikian, jelasnya, beliau percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang disebut, keseluruhan pendedahan yang dibuat sebelum ini adalah tepat.

Tambahnya, kenyataan Pengarah Eksekutif NFC yang juga suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail yang disiarkan sebuah akhbar Inggeris pada 29 Februari lalu turut mengesahkan bahawa NFC tidak menafikan kewujudan pasaraya mewah itu malah masih mempertahankan hak mereka untuk menceburi apa-apa perniagaan yang dirasakan sesuai.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada CapitalMall dan NFC atas kesilapan fakta yang berlaku, walaupun ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan NFC di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Suami Shahrizat Patut Didakwa Lebih Awal

SHAH ALAM, 26 FEB : Peguam Negara dan pihak polis seharusnya menjadikan Pengerusi Eksekitif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail sebagai orang pertama yang seharusnya di siasat dan didakwa berhubung pecah amanah yang membabitkan dana rakyat bernilai RM250 juta tersebut.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, cadangan polis supaya Peguam Negara hanya mendakwa Mohamed Salleh menggambarkan wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat pihak berkuasa tersebut.

“Masih lagi wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat. Kita melihat bahawa ia hanya difokuskan kepada Pengerusi Eksekutif NFC sahaja,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Aktivis masyarakat itu menambah, polis sepatutnya menyiasat secara keseluruhan dan semua pengurusan tertinggi NFC kerana semua pihak itu diyakini turut sama melakukan penyelewengan dan pecah amanah.

Malah laporan yang dibuat badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, tegasnya, turut menyatakan penglibatan ketiga-tiga anak Mohamed Salleh sebagai pengurusan tertingginya iaitu Wan Shahinur Izmir selaku Pengarah Eksekutif, Wan Shahinur Izran (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Wan Izzana Fatimah (Pengarah).

“Maknanya kertas siasatan itu yang dihantar kepada Peguam Negara seharusnya turut melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC.

“Ini kerana segala laporan yang kita buat sebelum ini bukan sahaja melibatkan Mohamed Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC tetapi turut sama melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC iaitu Pengarah Eksekutifnya, Wan Shahinur Izmir dan termasuk Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah,” ujarnya.

Fariz seterusnya berkata, Jingga 13 mempercayai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut terlibat dan mengetahui segala-galanya disebabkan isu itu melibatkan anak dan suaminya.

“Dalam perkara ini kita melihat Shahrizat cuba mengelak diri seolah-olah dia tidak terlibat langsung tetapi kita yakin dan percaya bahawa Shahrizat mengetahui segala aktiviti yang dilakukan oleh suami dan anak-anaknya kerana ia melibatkan pembelian kondominium, hartanah, kenderaan mewah dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap polis dan Peguam Negara bersikap profesional dalam perkara itu dan tidak tunduk kepada pihak tertentu demi kepentingan politik.

Januari lalu, seorang Ahli Perniagaan Shamsulbahrin Ismail (46) ditangkap polis dan dijadikan kambing hitam bagi menutup pembabitan dakwaan penyelewengan yang membabitkan keluarga Shahrizat.