Categories
NASIONAL

Mangsa penipuan wang palsu diminta bantu siasatan

KEMAMAN, 11 JUN: Orang ramai terutama peniaga, dinasihatkan berhati-hati apabila melakukan urusan jual beli, selepas tular di laman sosial Facebook mengenai penggunaan duit palsu di daerah itu oleh seorang wanita menggunakan wang kertas RM100.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Mohd Haki Hasbullah berkata, bagi mengelak perkara itu berterusan, mereka yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis.

“Peniaga yang menjadi mangsa ini berniaga di tepi jalan, dan kebanyakan tidak mempunyai mesin pengimbas ketulenan wang kertas. Kita percaya modus operandi suspek adalah untuk mengambil kesempatan, dan mendapatkan keuntungan dengan cara mudah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun mengalami kerugian, sehingga 10 malam tadi, kebanyakan mangsa terbabit masih tidak membuat laporan polis.

Mohd Haki berkata pihak polis memandang serius terhadap kes melibatkan penggunaan wang palsu, dan beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Sebelum ini, tular mengenai beberapa peniaga dikunjungi seorang pelanggan wanita menaiki sebuah kereta Toyata Vios, yang menggunakan wang RM100 palsu, untuk membeli ayam goreng dan keropok dengan jumlah kecil, dan dipulangkan baki pembelian kira-kira RM90.

Peniaga yang kemudiannya menyedari menerima wang palsu, dikatakan bertindak mencari wanita terbabit sehingga ke Kijal, namun tidak berjaya menahannya.

Salah seorang peniaga dikenali sebagai Iskandar, bertindak memuat naik maklumat kejadian status tersebut di laman Facebook miliknya, dan turut menjadi viral di laman ‘Kemaman Tular’.

Insiden tersebut mendapat perhatian ramai dan dikatakan kejadian yang sama turut menimpa ramai peniaga, di daerah berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Miliki wang palsu, lima dihadap ke mahkamah

SEREMBAN, 15 NOV: Lima individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki wang palsu Dolar Amerika bernilai RM1.4 juta dan wang palsu Ringgit Malaysia bernilai RM13,600.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa memiliki 3,464 keping wang kertas palsu Dolar Amerika dan 136 keping wang palsu Ringgit Malaysia, masing-masing setiap keping bernilai US$100 dan RM100 dengan niat untuk menggunakannya sebagai wang tulen.

Tertuduh Azuan Miswadi Abdullah, 38; Khairul Anuar Parull, 33; Zulfikar Abd Rahman, 32; Izzaitie Aqma Johari, 24; dan Norsuhaila Abd Mutalib, 21; bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak kepada mereka di hadapan Hakim G. Ramesh.

Mereka melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di sebuah rumah bernombor 7, di Kampung Jijan Tengah, Nilai, 27 Disember 2017.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 498 C Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ramesh kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin warganegara diberikan kepada tiga tertuduh iaitu Khairul Anuar, Zulfikar dan Norsuhaila.

Terdahulu, Norshazwani memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan kesemua tertuduh merupakan kesalahan berat.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-Bernama

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI

BNM: Sentuhan, lihat, condong dan semak elak wang palsu

KUALA LUMPUR 5 SEPT: Wang kertas Malaysia yang palsu dikesan mempunyai kualiti rendah, kebanyakannya dicetak pada kertas biasa menggunakan pencetak dan mesin salinan warna yang lazim.

Dalam kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Isnin, ia dapat dibezakan dengan wang kertas tulen melalui sentuhan dan penglihatan yang mudah dibuat.

“Orang ramai boleh mengenal pasti wang kertas palsu ini. Berbeza dengan laporan media, BNM dan polis tidak mengesan wang kertas palsu berkualiti tinggi, dicetak menggunakan kertas mempunyai ciri dan kualiti yang sama dengan kertas wang sebenar serta teknik cetakan wang kertas yang canggih,” menurut BNM.

BNM juga mengulangi bahawa insiden wang kertas palsu masih rendah dengan kes-kes terpencil.

ringgit“Sebarang dakwaan bahawa insiden wang palsu adalah perkara lazim akan menyebabkan kebimbangan yang tidak wajar kepada orang awam dan BNM mengambil serius sebarang laporan mengenai wang kertas palsu.

“Orang ramai diminta membuat laporan polis dengan segera jika mereka menerima sebarang wang kertas yang disyaki palsu.

Langkah ini akan memudahkan siasatan segera dilakukan ke atas perkara tersebut,” menurut BNM.

BNM berkata, bersama-sama industri perbankan, ia telah menetapkan langkah pengurangan yang mencukupi untuk memastikan wang kertas palsu tidak memasuki sistem kewangan, termasuk rangkaian Mesin Juruwang Automatik (ATM).

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)Menurut bank pusat, Garis Panduan Pengendalian Wang Kertas Yang Disyaki Palsu telah dikeluarkan kepada industri perbankan.

Garis panduan itu menetapkan langkah yang perlu dipatuhi bank komersial, pengendali tunai, juru wang dan syarikat keselamatan penghantaran dan kutipan tunai sumber luar, dalam mengendalikan wang yang didepositkan oleh orang ramai di kaunter, atau pihak yang menemui wang palsu semasa proses tunai.

Wang kertas Malaysia juga menggabungkan ciri-ciri keselamatan terkini yang sukar dipalsukan.

BNM menasihatkan orang ramai, termasuk peruncit, supaya lebih berhati-hati semasa menguruskan wang berpandukan “Sentuhan, Lihat, Condong dan Semak” (Feel, Look, Tilt and Check).

“Kertas wang adalah bertekstur dan wang kertas polimer diperbuat daripada plastik khas. Kedua-dua wang kertas dan polimer mempunyai kesan cetakan timbul pada potret Yang di-Pertuan Agong pertama dan teks,” menurut BNM.

Bank pusat juga menasihatkan orang awam perhatikan dan halakan wang kertas ke arah cahaya putih dan menyemak tera air potret tiga dimensi.

SUMBER: BERNAMA