Categories
NASIONAL

‘PBB, bukalah mata terhadap kezaliman Israel’

OLEH SYASYA SUFIAN

KUALA LUMPUR, 7 OKT: 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kezaliman rejim Israel menahan 13 aktivis dalam misi ‘Women’s Boat To Gaza’.

Desakan itu disuarakan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada koordinator khas perwakilan PBB, Juanita Joseph di Wisma UN, di sini, hari ini.

Presiden Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, rakyat Malaysia terutamanya sudah bosan dan kecewa terhadap apa yang dilakukan Israel.

“Walaupun dimaklumkan sudah ada pembebasan, kami tetap menekankan PBB supaya perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak perlu berulang lagi.

“Penakutnya rejim Israel apabila menahan 13 wanita tidak bersenjata yang membawa misi keamanan dikatakan boleh menjadi ancaman besar kepada mereka,” katanya.

img_2901Pada masa sama, Raja Ahmad berkata, maklum balas diberi wakil PBB ketika sesi penyerahan memorandum juga agak mengecewakan dan tidak jelas.

“Mereka juga masih tidak dapat memberikan jawapan tuntas kerana mereka sendiri tidak menerima maklumat jelas berkenaan penahanan itu.

“Kelemahan inilah yang ada pada PBB yang tidak mampu menjamin sesuatu informasi itu sendiri, jadi bagaimana mereka ingin mewakili dunia dalam menyelesaikan isu seperti ini,” katanya.

Katanya, penahanan terhadap 13 aktivis antarabangsa itu juga boleh dijadikan hujah puak terlibat dalam keganasan seperti IS atau Daesh untuk meneruskan aktiviti tidak berperikemanusiaan.

“Ia dibimbangi dijadikan hujah bagi mereka untuk menarik simpati pihak tertentu bahawa Israel perlu ditentang melalui cara tidak bermoral,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

PBB digesa jamin keselamatan aktivis ke Gaza

OLEH SYASYA SUFIAN

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa memberi jaminan keselamatan kepada aktivis yang menyertai misi keamanan ke Gaza dengan mengambil iktibar insiden yang pernah berlaku sebelum ini.

Mengambil contoh insiden yang menimpa 13 delegasi “Women’s Boat To Gaza” (WBG) ditahan Israel, Presiden Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan perlu dipandang serius.

“PBB masih gagal memainkan peranannya yang sebenar dan penahanan ini tidak sewajarnya berlaku.

“Sebenarnya tidak timbul persoalan mereka ini perlu ditahan termasuk ancaman daripada 13 aktivis wanita terbabit,” katanya selepas penyerahan memorandum isu penahanan peserta WBG kepada PBB Malaysia di Wisma UN, di sini, hari ini.

Raja Ahmad mewakili 25 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum terbabit kepada koordinator khas perwakilan PBB, Juanita Joseph dengan menuntut pertubuhan itu bertindak tegas ke atas Israel.

img_2901Sementara itu, Pengerusi Koordinator Pembebasan Dr Fauziah Mohd Hassan, Mohd Hakim Mohd Nor menggesa PBB membuat akuan janji untuk membolehkan bantuan disampaikan kepada penduduk Gaza tanpa sekatan.

“Misi utama bukan 13 orang tetapi jutaan manusia di Palestin yang dibom setiap hari.

“Kita minta PBB jangan berdiam diri. Kalau mereka boleh beri perhatian kepada 13 orang ini, kenapa tidak rakyat Palestin yang dibunuh setiap hari?” soalnya.

Media melaporkan wakil tunggal Malaysia yang mengikuti misi berkenaan, Dr Fauziah disahkan sudah dibebaskan tentera Israel dan semua anggota misi dalam kapal Zaytouna-Oliva berada dalam keadaan selamat.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

WBG: Israel digesa bebaskan 13 aktivis tanpa syarat

SHAH ALAM, 7 OKT: KEADILAN menggesa kerajaan Israel membebaskan 13 aktivis wanita yang menaiki Zaytouna-Oliva atas dasar misi kemanusiaan dengan kadar segera dan tanpa syarat.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Israel juga digesa menghentikan sekatan yang dikenakan ke atas bumi Gaza.

“Rampasan kapal Zaytouna-Oliva oleh tentera laut Israel wajib dikecam semua pihak.

“Kapal tidak bersenjata yang membawa aktivis wanita termasuk Dr Fauziah Mohamad Hasan dari Malaysia, sedang melaksanakan misi keamanan dan kemanusiaan “Women’s Boat to Gaza” (WBG) untuk memaksa kerajaan Israel menghentikan sekatan ke atas Gaza,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Wan Azizah turut menggesa Wisma Putra untuk meningkatkan usaha menjamin pembebasan juga penghantaran pulang Dr Fauziah.

Media melaporkan dua anggota misi kemanusiaan WBG yang ditahan Israel kelmarin, sudah dibebaskan.

wan-azizahMenurut jurucakap Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), mereka yang dibebaskan ialah wartawan Al-Jazeera dari United Kingdom, Mina Harballou juga Hoda Rakhme dari Rusia.

“Bagaimanapun, wakil tunggal Malaysia dalam misi itu, Dr Fauziah masih ditahan di pusat tahanan dekat Lapangan Terbang Ben Gurion (Tel Aviv),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, menurut sumber Freedom Flotilla Coalition yang mengasaskan kempen WBG itu, peguam hak asasi manusia sedang cuba berhubung dengan kesemua anggota misi yang menaiki kapal Zaytouna-Oliva berkenaan dalam usaha membebaskan mereka.

Tentera Israel menahan kapal itu bersama tiga kru dan 10 aktivis wanita termasuk Dr Fauziah pada 2.58 petang kelmarin waktu tempatan (9.58 malam waktu Malaysia).

Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod.

-AA-

Categories
NASIONAL

AMK gesa campur tangan kerajaan desak pembebasan WBG

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 6 OKT: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam usaha membebaskan kumpulan aktivis, Zaytouna-Oliva ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG) yang ditahan berhampiran pantai Gaza.

Timbalan Ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata, kerajaan perlu jelas menyatakan pendirian ekoran ia membabitkan seorang rakyat Malaysia dalam kumpulan berkenaan.

“Kita bersolidariti dengan kumpulan berkenaan yang ditahan tentera Israel.

“AMK menggesa kerajaan menyatakan pendirian tegas dan menghantar memorandum meminta mereka segera dibebaskan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Laporan menyatakan wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan menyertai kumpulan 13 aktivis dalam isu kemanusiaan berkaitan Palestin.

Pada 14 September lalu, Zaytouna-Olivia mula berlepas dari pelabuhan Ville, Barcelona untuk ke Gaza bagi menyampaikan misi bantuan dan kemanusiaan.

Misi terbabit bagaimanapun ditahan kira-kira jam 8.58 malam, pada Rabu lalu.

-AA-