Categories
SELANGOR

Ibu Tunggal Saman Kerajaan Selangor Juga Terima Bantuan

rodziah-ibu-tunggal

SHAH ALAM 2 JULAI : Ibu tunggal yang terlibat di dalam kes saman terhadap Kerajaan Selangor didapati telah menerima bantuan program agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kata Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang menyemak 5,023 ibu tunggal yang terlibat di dalam kes itu termasuk Murtini Kasman dan Zainarini Mohd Sidek untuk menentukan samada mereka layak untuk terima skim dan program MES.

“Ada antara mereka yang pernah menyertai ‘Jom Shopping’ serta menerima bantuan kewangan untuk pelbagai tujuan, seperti membayar hutang, bantuan am sara hidup, zakat, bantuan peralatan dan bantuan perniagaan.?

Rodziah berkata demikian di dalam kenyataan media sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“Penegasan Kerajaan Negeri mengenai dasar kebajikan kepada berpendapatan (welfare to workfare) sentiasa menjadi asas kepada peruntukan dan belanjawan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor termasuk golongan ibu tunggal.”

Rodziah berkata, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah membatalkan kes saman tersebut kerana menetapkan bahawa penuntutan tawaran manifesto politik haruslah dibuat melalui proses pilihanraya.

Saman tersebut difailkan oleh kumpulan ibu tunggal itu terhadap Kerajaan Selangor dengan mendakwa bahawa Kerajaan Negeri tidak menunaikan janji bantuan kepada ibu tunggal yang dibuat di dalam manifesto pilihanraya 2008.

Categories
SELANGOR

Pelawa Ibu Tunggal Sertai Program Kerajaan Negeri

rodziah

SHAH ALAM 14 MEI : Ibu tunggal yang bertindak menyaman Kerajaan Negeri sebelum ini diseru mendaftar bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai program yang disediakan Kerajaan Negeri.

Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata pendaftaran itu penting bagi memastikan segala prosedur, proses dan syarat-syarat kelayakan dipenuhi sebelum bantuan dapat disalurkan.

“Saya mengulangi seruan saya selama ini, sebelum dan selepas kes saman, juga ketika dialog bersama Persatuan Ibu Tunggal Selangor pada 28 November tahun lalu untuk mereka tampil mendaftar.

“Kita akan berusaha untuk membantu mereka meningkatkan mutu kehidupan dan menjaga kebajikan mereka sepertimana diikrarkan dalam manifesto,” tegas Adun Batu Tiga ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya membatalkan saman oleh Murtini binti Kasman (Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor) beserta 2, 019 yang lain terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor.

Antara lain, saman tersebut menuntut Kerajaan Negeri membayar tunggakan elaun berjumlah RM 10.9 juta kepada mereka.

Rodziah juga menjelaskan, Kerajaan Negeri secara berfasa ingin merealisasikan konsep ‘welfare to workfare’ atau kebajikan kepada berpendapatan bagi rakyat yang memerlukan bantuan.

“Hanya dengan memberikan wang bantuan atau RM (Ringgit Malaysia), ia bukan lagi dikira sebagai jalan penyelesaian dalam membasmi kemiskinan dan kesulitan hidup rakyat untuk jangka masa panjang,” ujar Rodziah.

Bagi golongan ibu tunggal, Kerajaan Negeri bukan sahaja menawarkan bantuan menerusi pemberian elaun tetapi meliputi kursus-kursus kemahiran, skim-skim mikrokredit, pembinaan jati diri, bantuan pembelajaran anak-anak dan lain-lain.

Kesemua bantuan tersebut diilhamkan untuk membantu ke arah pemberdayaan ibu tunggal dan meningkatkan kualiti hidup mereka, anak-anak dan keluarga.