Categories
AGENDA NASIONAL

“Shahir dan Mastura, anda wira kami” – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi menggunakan media sosial untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kementerian itu.

Kali ini ditujukan kepada Inspektor Kesihatan Shahir Razali dan Mastura Maznor yang beliau anggap sebagai wira, kerana mereka benar-benar menghayati slogan Kementerian Kesihatan ‘Kami Sedia Membantu’.

“Melayan insan dengan lemah lembut tanpa sempadan kaum atau agama. Inspektor kesihatan kami Shahir Razali telah menggendong mak cik warga emas berbangsa Cina ke pusat ujian Covid-19.

“Berpuasa pada bulan Ramadan dan memberikan khidmat kepada orang yang memerlukan ketika memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE), sesungguhnya anda adalah wira kami. Sangat bangga dengan anda berdua dan terima kasih,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya malam tadi.

Foto Sumber: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

Bersama hantaran itu, turut dilampirkan dua gambar yang satu daripadanya sedang memikul wanita warga emas itu manakala seorang lagi sedang memegang walker dan imej kedua menunjukkan empat petugas barisan hadapan yang memakai sut PPE dengan tertera perkataan di sarung tangan mereka, We Love Malaysia, Stay Safe (Kami Sayang Malaysia, Kekal Selamat).

Sikap baik mereka itu juga berjaya menarik perhatian netizen yang memberikan pujian dan penghargaan di ruang komen, apabila hantaran itu menerima lebih 16,000 tanda suka dan 756 perkongsian dalam tempoh satu jam.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

“Tak minta jadi popular”, serlah sikap wira sebenar malim gunung

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUNDASANG, 15 JUN: Secara tiba-tiba nama malim gunung, Mohd Ridzuan Kauhinin menjadi sebutan dan gambarnya menjadi viral di media sosial.

Lonjakan populariti Ridzuan bukan kerana rakaman video aksi pelik atau lucu seperti kebanyakan viral video lain tetapi disebabkan foto memaparkan aksi beliau mendukung seorang kanak-kanak menuruni Gunung Kinabalu pada kejadian gempa bumi 5 Jun lalu.

ridzuanRentetan peristiwa itu, beliau juga diangkat sebagai ikon dan kerap menjadi rebutan pengunjung Taman Gunung Kinabalu untuk bergambar kenangan.

Bagaimanapun, reaksi Ridzuan terhadap perkembangan ini benar-benar membuktikan jiwa dan semangat sebenar seorang wira sejati.

Sikap ini dapat dilihat dengan reaksi beliau yang tidak mudah tenggelam dengan publisiti dan pujian orang ramai yang menemuinya.

“Hero sebenar adalah rakan saya, Ehing Sakumbang iaitu juru arah yang bersusah payah dan berlapar membawa turun pendaki yang terselamat.

“Saya naik kemudian dan bertemu Ehing yang hampir kehabisan tenaga dan kelaparan kerana mendukung kanak-kanak Singapura yang tercedera turun.

rizuan hero vira al“Selepas itu, barulah saya mendukung kanak-kanak itu dan gambar saya dilihat orang ramai,” kata Ridzuan kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Beliau turut menolak jemputan ke Singapura disebabkan rakannya itu tidak mendapat jemputan sama.

Mengulas lanjut publisiti yang diterimanya di media sosial, Ridzuan berkata beliau tidak mengetahuinya sehingga dimaklumkan salah seorang rakannya.

Ketika menyentuh peranan pasukan keselamatan, Ridzuan melahirkan perasaan kurang senang dengan tanggapan mendakwa pasukan keselamatan seperti Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis dan lain-lain gagal menjalankan peranan berkesan.

“Memang tak dinafikan kami lebih pantas mendaki berbanding mereka tetapi ini disebabkan kami mendaki gunung ini setiap hari dan mahir selok belok di sini tetapi peranan dan kerjasama mereka juga cukup besar,” kata Ridzuan lagi.

EZY