Categories
NASIONAL SELANGOR

Edar wisel simbolik kempen cegah jenayah

wisel simbolik cegah jenayah 1

SUBANG JAYA, 30 OKT : Kira-kira 1,500 wisel diedarkan kepada orang ramai di sekitar pasar USJ11, di sini sebagai langkah memerangi jenayah dan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan wanita khususnya di kawasan yang mudah menjadi sasaran.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata program julung kali yang diadakan di kawasan Subang Jaya itu adalah bersempena Kempen Pencegahan Jenayah yang turut mendapat sokongan polis.

Beliau berkata, wisel adalah medium terbaik yang boleh digunakan orang ramai terutamanya wanita jika berlaku kecemasan.

“Beberapa minggu lalu, saya menerima maklumat tentang kejadian seorang wanita berusia 80 tahun yang diragut di kawasan rumahnya dan mengalami kecederaan serius hingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

“Perkara itu adalah sesuatu yang membimbangkan dan boleh berlaku kepada sesiapa tidak kira masa.

“Justeru, saya fikir ini adalah masa terbaik untuk memulakan kempen ini dan memilih USJ 11 kerana kawasan ini adalah tumpuan wanita untuk ke pasar,” katanya selepas mengedarkan wisel kepada orang ramai, di sini hari ini.

wisel simbolik cegah jenayah 2

Turut serta dalam program itu adalah Ketua Balai Polis USJ8, Inspektor Jasni Zolpa dan 14 anggota polis.

Dalam pada itu, Hannah yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, tanggungjawab mencegah jenayah tidak seharusnya diserahkan kepada polis sahaja, tetapi perlu ditangani bersama oleh masyarakat.

Beliau turut menggesa orang ramai melaporkan kejadian jenayah kepada polis dengan segera supaya tindakan susulan boleh diambil.

“Tidak rugi jika kita cuba kaedah ini (wisel) kerana jenayah itu boleh menimpa kepada sesiapa tidak kira lelaki atau wanita.

“Saya juga menggesa orang ramai supaya membuat laporan polis untuk memaklumkan kes jenayah supaya statistik tepat dapat diperolehi,” katanya.

Difahamkan, setakat ini sebanyak 14 unit peronda bermotosikal ditempatkan di kawasan Subang Jaya (USJ 1 hingga USJ 21).

wisel simbolik cegah jenayah 3

-EZY