Categories
NASIONAL

Kempen 100,000 Tandatangan Adakan Polis Bantuan Selangor

ng suee lim samsudin kempen polis bantuan 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Adun Pakatan Rakyat Selangor telah melancarkan kempen mendapatkan 100,000 tandatangan bagi mendesak Kerajaan Persekutuan meluluskan pembentukan polis bantuan di negeri bagi membanteras jenayah yang semakin berleluasa.

Tandatangan-tandatangan itu akan dihantar ke Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata Kerajaan Negeri pernah mengutarakan cadangan itu pada Februari 2011 tetapi ia disambut dengan respon sambil lewa oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Malah, dakwa Weng San, Hishammuddin menggunakan alasan bahawa kadar jenayah Selangor kian menurun untuk menolak tawaran Selangor untuk menyediakan pasukan polis bantuan.

“Jika Kerajaan Pusat tidak mahu meluluskan cadangan Kerajaan Negeri maka seharusnya Kerajaan Pusat menubuhkan sendiri polis bantuan kerana bilangan anggota polis yang ditugaskan tidak cukup untuk memantau jenayah.

“Nisbah anggota polis dan rakyat yang disyorkan oleh Interpol adalah satu anggota polis untuk 250 penduduk.

“Tetapi mengikut statistik 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota yang mana hanya 30 peratus bertugas pada satu sesi. Ia tidak cukup untuk menjaga penduduk,” katanya dalam sidang media di Bangunan Annexe, SUK, di sini.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Rani Osman ; Ketua Wanita PKR negeri, Haniza Talha dan Timbalan Setiausaha DAP Negeri, Ng Sue Lim serta beberapa pimpinan Pakatan yang lain.

Sementara itu, Dr Rani berkata Kerajaan Persekutuan juga tidak seharusnya memanipulasi data ‘jenayah indeks’ dan ‘jenayah bukan indeks’.

“Perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada tahun lalu yang mana kadar jenayah indeks merosot daripada 209,572 pada 2007 ke 157,891 pada 2011 iaitu sebanyak 24.7 peratus.

“Manakala jenayah bukan indeks melonjak sebanyak 68.7 peratus dalam tempoh yang sama iaitu daripada 42,752 ke 72,106.

“Permainan definisi dan angka-angka ini yang lebih kepada ‘syok sendiri’ yang mana sedikit pun tidak menolong rakyat Malaysia memahami situasti itu. Kita kena tahu rakyat masih tidak merasakan selamat kerana jenayah makin tinggi,” katanya.

Orang ramai boleh menyertai kempen tandatangan itu dengan mendapatkan borang di pejabat Adun Pakatan atau daripada laman web www.safercity.com.my.

Kempen terbabit akan berjalan selama satu bulan bermula hari ini.