Categories
AGENDA GLOBAL

Penolong Ketua Kampung di Yala maut ditembak

YALA (Selatan Thailand), 3 OKT: Seorang penolong ketua kampung maut manakala adik perempuannya cedera dalam satu kejadian tembak di Yala, selatan Thailand, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 petang (waktu tempatan), Melah Cheksoh, 46, meninggal dunia di hospital manakala adiknya yang merupakan seorang anggota sukarelawan, 45, kini dilaporkan dalam keadaan kritkal dan menerima rawatan di Hospital Yala.

Ketika kejadian, Melah yang merupakan Penolong Ketua Kampung Bahagian Keselamatan Kg Sa-et dan adiknya sedang menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri mesyuarat bulanan di Pejabat Daerah Krong Pinang.

Penolong Ketua Polis Krong Pinang, Kapt Polis Yachanan Wuti berkata, mangsa dipercayai ditembak individu-individu yang bersembunyi dalam ladang getah.

“Polis menemui enam kelongsong peluru di tempat kejadian. Polis masih menyiasat motif kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 5,000 durian habis dimakan dalam 30 Minit di Bentong

YALA, 25 OGOS: Lebih 5,000 biji durian habis dimakan dalam masa kurang 30 minit di pesta makan durian dan buah-buahan tempatan di Betong,Yala, selatan Thailand, semalam.

Kira-kira 3,000 pengunjung dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang berkunjung ke Kg Piyamit di Mukim Tanah Merah untuk menikmati keenakan raja buah secara percuma.

Bufet durian dan buah-buahan tempatan anjuran Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Betong itu mendapat sambutan hangat kalangan penduduk tempatan serta pelancong Malaysia dan Singapura.

Presiden Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Wirat Saethan berkata, pesta makan durian secara percuma yang masuk tahun kelapan itu mendapat sambutan ramai.

“Pesta ini bertujuan untuk mempromosikan durian dan buah-buahan tempatan selain memperkenalkan produk pelancongan di Betong,” katanya kepada Bernama.

Selain menikmati durian, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan makan buah-buahan tempatan dan makanan seperti makan ayam Betong dan mee goreng Betong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Letupan bom di daerah Yala, 9 orang awam cedera

YALA, 21 OGOS: Empat daerah di wilayah Yala, selatan Thailand digegarkan dengan beberapa letupan bom dan menyebabkan sembilan orang awam cedera, termasuk tiga kanak-kanak.

Ketua Polis Wilayah Yala Mej Jen Pol Krissada Kaewjandi berkata letupan pertama dipercayai berlaku kira-kira 7.10 malam (waktu tempatan) semalam di Kg Jakbenae, Daerah Yaha yang mana lima butir bom diletupkan dan menyebabkan lima tiang elektrik tumbang dan tiga orang awam cedera, termasuk dua wanita.

Selain itu, beliau berkata dua butir bom diletupkan berdekatan Masjid Kpg Nibong, Daerah Mueang Yala dan menyebabkan dua tiang elektrik tumbang namun tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 7.20 malam (waktu tempatan).

“Di Daerah Than To, dua butir bom diletupkan. Bom pertama diletupkan di mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank tempatan dan menyebabkan seorang awam cedera.

“Sebutir bom meletup di dalam sebuah pasar serbaguna dan menyebabkan lima orang awam termasuk tiga kanak-kanak perempuan,” katanya ketika dihubungi.

Di Daerah Benang Setar, Krissada berkata sebutir bom diletupkan di Pejabat Lembaga Getah Cawangan Benang Setar namun tiada kecederaan dan kehilangan jiwa dilaporkan.

“Suspek juga membakar tiang pancaran telefon dan tayar di Jalan Yala-Betong di Kg Bannang Kuwae,” katanya.

Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Empat anggota tentera cedera dalam letupan di Yala

YALA, 23 JULAI: Empat anggota tentera cedera dalam letupan bom di Kampung Pawang, daerah Bannang Sata, Wilayah Yala, ketika mereka menaiki trak pikap dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas.

Jurucakap polis di Bannang Sata berkata, bom buatan sendiri seberat 40 kilogram itu ditanam di dalam jalan raya dan diaktifkan dengan menggunakan bateri, setibanya trak pikap itu di tempat kejadian kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) semalam.

Katanya berikutan letupan itu, trak pikap yang dinaiki terpelanting dan menyebabkan empat anggota tentera itu cedera selain mengakibatkan lubang sedalam satu meter di atas jalan raya.

Semua mangsa kini dirawat di Hospital Bannang Sata.

-BERNAMA