Categories
NASIONAL

Titah Agong cerminkan kemuliaan institusi raja

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V mencerminkan kemuliaan institusi raja-raja yang tidak boleh dipengaruhi mana-mana pihak politik.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata, beliau percaya hal ini berikutan baginda tidak mahu institusi raja-raja diheret dalam pertempuran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Titah diraja agak ringkas. Saya mengambil titah ucapan tuanku kerana tuanku menyedari bahawa keadaan sekarang agak sensitif dan lebih baik elakkan menunjukkan menyebelahi mana-mana pihak.

“Jadi, duli tuanku telah bertindak secara cukup berhati-hati, profesional dan menunjukkan kemuliaan institusi raja-raja ini tidak diheret dalam pertempuran semasa pilihan raya nanti,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Terdahulu, Sultan Muhammad V dalam titah ucapan perasmian menyentuh beberapa isu termasuk isu yang dekat di hati rakyat seperti tekanan kos sara hidup, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat, pengangkutan awam dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, baginda turut menekankan aspek keselamatan dan kedaulatan negara serta isu gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah di kalangan remaja khasnya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan disaran tambah baik sistem pengangkutan awam

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V menyarankan Kerajaan Persekutuan terus menambah baik sistem pengangkutan awam demi memenuhi keperluan rakyat.

Titah baginda, penggunaan pengangkutan awam kian meningkat di kalangan masyarakat di negara ini memerlukan usaha berterusan dalam perkara berkaitan.

“Dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat bandar, Beta mengalu-alukan langkah menambah baik sistem pengangkutan awam yang kini kadar penggunaannya semakin meningkat setiap hari.

“Beta yakin projek infrastruktur pengangkutan awam yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan akan turut memberi limpahan ekonomi kepada rakyat,” titah baginda dalam majlis perasmian sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ketika ini, Kerajaan Persekutuan melaksanakan beberapa projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang bagi menampung keperluan itu.

Kerajaan Selangor turut mengambil langkah proaktif bagi memenuhi keperluan awam dengan memperkenalkan bas Smart Selangor yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara percuma di negeri itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Agong: Perkasakan integriti, tadbir urus banteras penyelewengan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam titah ucapan perasmian pagi tadi sempat menyentuh isu integriti dan tadbir urus pentadbiran awam.

Titah baginda, hal ini kerana integriti dan tadbir urus pentadbiran awam perlu diperkasakan bagi membanteras elemen kebocoran, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Usaha-usaha akan diteruskan untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih cekap bagi menjadikan Malaysia antara kelompok 20 negara teratas di dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Selain itu, baginda turut mengalu-alukan penurunan kuasa Kerajaan Persekutuan secara pentadbiran bagi perkara tertentu untuk membolehkan kementerian dan agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak membuat keputusan segera ke atas program dan projek untuk rakyat.

Sementara itu, baginda juga melahirkan rasa sukacita apabila pelbagai program dan aktiviti bagi memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai sektor dilaksanakan termasuk memastikan 30 peratus daripada mereka berada di peringkat pembuat keputusan.

“Kini sasaran tersebut telah tercapai dalam sektor awam dan syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia,” titah baginda.

=EZY=

Categories
NASIONAL

YDPA: Tangani isu kos sara hidup bebani rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V menyentuh isu kos sara hidup tinggi membebani rakyat yang wajar diberi perhatian kerajaan bagi menanganinya.

Ketika bertitah dalam majlis perasmian sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini, baginda mengatakan ia antara isu utama dan sebarang langkah diambil perlu mendapat sokongan semua pihak.

“Beta mengalu-alukan langkah kerajaan yang berterusan untuk menangani isu dekat di hati rakyat melalui pelbagai insentif terutamanya berhubung kos sara hidup.

“Beta percaya lebih banyak lagi inisiatif akan diperkenalkan berikutan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi merangka program bersesuaian boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban rakyat,” titahnya.

Kerajaan bersetuju menubuhkan majlis berkenaan dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup dihadapi rakyat dengan tumpuan kepada lima kluster iaitu pendidikan, pengangkutan, utiliti, makanan dan minuman.

Rakyat terutama golongan pendapatan rendah dan sederhana ketika ini berdepan masalah berkaitan berikutan peningkatan kos sara hidup selain nilai mata wang yang tidak stabil.

Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga dianggap majoriti rakyat membebankan biarpun kerajaan memberi jaminan ia memberi pulangan sewajarnya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Agong seru tingkatkan keselamatan ruang siber, risikan, sempadan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V menyeru supaya tahap kesediaan pelbagai agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.

Baginda bertitah, antaranya dengan meningkatkan penguatkuasaan terhadap ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta membanteras aktiviti permerdagangan orang.

“Ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara merupakan sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk,” titahnya.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Baginda juga mengingatkan tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik.

Titah baginda, kerajaan juga perlu prihatin terhadap ancaman penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dan pelajar yang kini semakin serius.

“Justeru, beta menggesa semua pihak mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan lebih berkesan untuk membanteras ancaman tersebut,” titah baginda.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong: 1,518 terima Darjah Kebesaran

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Tiga tokoh tersohor penerima anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran ‘Tun’, mengetuai senarai 1,518 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2017 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini.

Tiga tokoh iaitu Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan dua bekas menteri kabinet iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lepas.

Samy Vellu, yang kini Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur, adalah bekas Menteri Kerja Raya manakala Michael Chen merupakan bekas Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru.

Tiga individu pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

YDPAPenerima augerah itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Seramai 48 individu pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Penerima PSM lain termasuk Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Aziah Ali, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Che Mohd Hashim Abdullah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Turut dianugerahkan dengan anugerah sama ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Dalam pada itu, seramai 51 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ antaranya Hakim Mahkamah Tinggi Stephen Chung Hian Guan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Azam Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd, Datuk Yasmin Mahmood, Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda dan Pengarah Daihatsu Motor Co., Ltd, Shigeharu Toda.

Jaguh badminton serta skuasy negara, Datuk Lee Chong Wei serta Datuk Nicol Ann David, turut diberikan anugerah PJN tersebut.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan Jabatan Perdana Menteri Dr Farizah Ahmad adalah antara lapan penerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Di Raja (P.S.D) yang turut membawa gelaran Datuk.

Penerima lain ialah Pengerusi Eksekutif Waz Lian Group Ng Soon Hong; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Prakash Chandran Madhu Sudanan; Pengerusi Eksekutif Negara Mining Sdn Bhd, Lam Yin Chon dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Setiausaha Negara Datuk Norazman Ayob.

Selain itu, sebanyak 26 individu dikurniakan darjah kebesaran Johan Mangku Negara (J.M.N) manakala seramai 86 penerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (J.S.M).

Seramai 250 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (K.M.N) termasuk lima individu yang terlibat dalam bidang sukan.

Mereka adalah Ketua Jurulatih Kebangsaan Atlet Olahraga Paralimpik Negara R. Jaganathan, atlet paralimpik bagi acara pecut 100m Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, pelumba basikal trek Mohd Azizulhasni Awang, atlet paralimpik untuk acara lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet paralimpik untuk acara lompat jauh Abdul Latif Romly.

Sementara itu, Bintang Kesatria Setia Di Raja (K.S.D) dianugerahkan kepada 11 penerima manakala Bintang Ahli Mangku Negara (A.M.N) dikurniakan kepada 412 penerima.

Seramai 581 penerima pula dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) dan 37 penerima Bintang Bentara Setia Di Raja (B.S.D).

Selain itu, dua penerima Panglima Gagah Berani (P.G.B) ialah bekas Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Dr. Leong Chee Woh (B) dan bekas Komander Skuadron, Pasukan Gerakan Khas Md Radzi bin Md Isa (B).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hari Keputeraan Agong Sabtu terakhir setiap Julai

KUALA LUMPUR 26 APRIL: Kerajaan bersetuju tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dipinda dari Sabtu minggu pertama bulan Jun kepada Sabtu minggu terakhir Julai sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, pindaan itu mengambil kira hari Sabtu minggu pertama Jun pada 2017, 2018 dan 2019 jatuh dalam bulan Ramadan, lapor BERNAMA.

“Dengan pindaan tersebut, sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka dapat diraikan bersama-sama rakyat jelata melalui penganjuran acara yang dijadualkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan bagi tahun ini, Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan disambut pada Sabtu, 29 Julai.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Profil Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15

KUALA LUMPUR – Sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut :

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.
Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989.

Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

Pada 13 September 2010 baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.

Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu :-

Persatuan Menembak Kelantan;

Yayasan Sultan Kelantan (YSK);

Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan

Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM);

Persatuan Bulan Sabit Merah;

Persatuan Sukan Berkuda;

Persatuan Motor 4 x 4;

Persatuan Memanah

Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor – Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan – April 2011)., D.K. (Johor – 2011)., D.K. (Perak – Julai 2011)., D.K. (Perlis – Oktober 2011)., D.K. (Kedah – Mac 2012)., D.K.(Terengganu – November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017)

Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan.

Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.

Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.

 

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Istana Negara siap sedia untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15

KUALA LUMPUR 23 APRIL: Esok, 24 April 2017, rakyat Malaysia akan sekali lagi menyaksikan acara bersejarah pertabalan Ketua Utama Negara apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bakal menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ini merupakan kali kedua istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim dan menjelang upacara penting itu, persiapan di venue utama itu yang diatur begitu teliti dan penuh istiadat kebesaran di raja sejak enam bulan lepas telah memasuki fasa akhir.

Walaupun tiada sebarang perubahan besar, namun Istana Negara telah dihias indah dengan landskap dan lampu-lampu berwarna-warni yang memberi nilai tambah dan membangkitkan seri lokasi itu yang menjadi mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Sempena istiadat itu juga, poster-poster dan kain rentang yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong turut dipasang di lokasi-lokasi strategik sekitar ibu kota menuju ke Istana Negara bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia mengenai pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan menjadi ketua negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Acara pertabalan itu akan menandakan secara rasminya Sultan Muhammad V memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang akan diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi beraja di negara ini.

Menurut Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini tarikh pertabalan itu yang juga jatuh pada tarikh kebesaran Islam iaitu Israq dan Mikraj, dipilih sendiri oleh Seri Paduka setelah mendapat nasihat daripada ulama-ulama dan para mufti.

Acara pertabalan itu yang mungkin hanya disaksikan dalam tempoh lima tahun dijangka bermula pada 9.30 pagi esok dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sultan Muhammad V sebelum ini telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan pada 13 Dis 2016 yang telah mengukuhkan dan memberi legitimasi kepada kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Pertabalan Sultan Muhammad V itu merupakan kali kedua Sultan Kelantan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas nenda Seri Paduka, Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-6 dan memerintah dari 21 Sep 1975 hingga 29 Mac 1979.

Sultan Muhammad V yang diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra pada 6 Okt 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Menurut Azuan, istiadat pertabalan itu memberi tumpuan bagi mengekalkan elemen-elemen teras adat istiadat yang telah diamalkan sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad sehingga Yang di-Pertuan Agong ke-15 ini.

Acara esok akan dimulakan sebaik keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di Peterana Diraja bagi mengambil Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai lambang taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi ATM.

Antara elemen penting dalam istiadat berkenaan ialah berangkat masuk Seri Paduka ke dalam Balairong Seri dengan diiringi alunan muzik ”Raja Berangkat” daripada Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan, panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta pembawa alat-alat kebesaran Diraja, yang merupakan elemen penting yang mencerminkan kedudukan mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Sepanjang istiadat pertabalan itu juga, Datuk Paduka Maharajalela akan menyembahkan naskah Al-Quran kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai simbolik peranan Seri Paduka sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

Juga penting pada acara itu ialah penyerahan Keris Panjang Diraja atau juga dikenali sebagai Keris Kerajaan sebagai lambang kesediaan seseorang raja untuk memikul amanah sebagai ketua negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Klimaks pada acara pertabalan itu nanti ialah apabila Seri Paduka melafazkan titah ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong dan seruan ”Daulat Tuanku” tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti oleh para hadirin dalam Balairung Seri.

Serentak itu lagu Negaraku akan dimainkan berserta tembakan meriam 21 das dimulakan sebagai simbolik pengumuman kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong yang baharu telah ditabalkan.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.

 

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Sultan Muhammad V dimasyhur Tuanku Canselor UiTM ke-5

SHAH ALAM 15 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-5, di sini, hari ini.

Baginda dimasyurkan dalam Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor UiTM ke-5 sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-86 di UiTM Shah Alam.

Dalam titah Tuanku Canselor, Sultan Muhammad V menzahirkan kegembiraan dapat bersama warga UiTM ketika universiti itu sedang melangkah ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadi institusi pendidikan unggul dan bertaraf dunia.

“Beta yakin UiTM peneraju utama kepada sumber modal insan Bumiputera yang menjadi momentum kepada perubahan taraf sosial dan ekonomi di Malaysia.

“Suka beta ingatkan ketika kita berasa bersyukur dengan kejayaan lampau masyarakat terus menuntut dan berharap UiTM berusaha untuk kekal menjadi institusi utama, dalam menjaga kepentingan golongan Bumiputera,” titah Seri Paduka.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Muhammad V lafaz sumpah jawatan Yang diPertuan Agong

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Okt lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 semalam.

Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda.

Mesyuarat Khas itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad, tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.

Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.

-BERNAMA