Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar diperkenan menghadap Agong, persembah majoriti ‘kukuh dan meyakinkan’

SHAH ALAM, 8 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong minggu depan untuk menjelaskan jumlah majoriti yang diperolehinya.

“Pada majlis menghadap tersebut, saya akan mempersembahkan keterangan  lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” kata ketua pembangkang.

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar memaklumkan baginda memperkenankan untuk menerimanya menghadap pada 13 Oktober ini.

Dalam sidang media mengejut pada 23 September lalu, beliau mendakwa mendapat majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu dan menyatakan kerajaan sekarang “sudah jatuh”.

Anwar berharap rakyat untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah rakyat patuh Perintah Kawalan Pergerakan

SHAH ALAM,18 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya rakyat tidak mengambil mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan kerajaan.

Titah itu dititipkan baginda menerusi hantaran pada akaun Instagram rasmi Istana Negara susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong menggesa rakyat tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda, hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak.

Sehingga 17 Mac lalu, dua rakyat tempatan disahkan mati akibat virus itu. Daripada keseluruhan 673 kes, 49 daripadanya pulih.

Sementara itu, Bernama melaporkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka turut menzahirkan harapan supaya rakyat terus berdoa bersama baginda memohon ihsan Allah supaya usaha membendung wabak Covid-19 dirahmati, diberkati dan situasi dapat ditangani serta berakhir dengan segera.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan yang berkaitan, khususnya petugas di barisan hadapan yang berkerja dengan semangat tinggi tanpa mengira penat lelah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Agong titah rakyat jaga keselamatan, kesihatan diri

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat  memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan diri susulan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang melanda beberapa negara termasuk Malaysia.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan empat kes koronavirus di Malaysia sehingga semalam, bertitah rakyat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, terutama sekali bagi mereka yang menetap atau mengembara di kawasan terjejas dengan wabak itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berdua menyeru rakyat mengambil inisiatif bagi memahami wabak ini dengan lebih mendalam serta sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan sepertimana digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini termasuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan serta sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung,” katanya dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini.

Beliau berkata, Seri Paduka berdua turut menitahkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan terkini wabak itu dengan membaca pelbagai maklumat yang disebarkan melalui mana-mana saluran rasmi KKM.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati semua rakyat sentiasa merujuk kepada panduan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri Malaysia mengenai keputusan terbaharu pihak berkuasa Republik Rakyat China pada 23 Jan, 2020 untuk melanjutkan penggantungan perjalanan keluar ke tujuh bandar lain, di samping Wuhan di wilayah Hubei.

Bandar-bandar itu adalah Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang dan Lichuan.

Setakat ini, KKM mengesahkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura disahkan positif koronavirus.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera dan pemantauan berterusan KKM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Singapura dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan  sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada Kementeian Luar Negeri khususnya Kedutaan Besar Malaysia di Beijing yang menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan untuk menjangkau rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan misi diplomatik Malaysia yang lain di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an serta Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Pasukan Bertindak Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) negara dimantapkan dan diperkuatkan untuk menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan penyaringan penumbang antarabangsa di lapangan terbang.

Dalam perkembangan berkaitan, Seri Paduka berdua amat kesal atas tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan palsu, yang kemudiannya ditularkan oleh segelintir pihak lain tanpa usul periksa.

Ahmad Fadil menegaskan Seri Paduka berdua berharap setiap rakyat memainkan peranan untuk tidak mencetuskan rasa cemas atau mengganggu ketenteraman dalam kalangan rakyat dengan menyebarkan maklumat belum dipastikan kesahihannya atau yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Seri Paduka Baginda berdua menggesa semua rakyat memberikan kerjasama penuh kepada warga Kementerian Kesihatan dan mengelak daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perjalanan kerja petugas kesihatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Yang di-Pertuan Agong berkenan ziarah Azmin

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan menziarahi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan.

Anak kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, Farah Amira melalui Twitternya berkongsi dua gambar yang memaparkan Sultan Abdullah melawat bapanya, di wad hospital.

“Saya dan keluarga menjunjung kasih di atas keberangkatan Ke bawah DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang berkenan mencemar duli menziarahi Abah @AzminAli petang ini.

“Sesungguhnya, kepedulian dan kasih yang dizahirkan Tuanku adalah kekuatan diri Abah @AzminAli untuk kembali sihat dan berkhidmat demi rakyat dan negara,” tulisnya.

Bagaimanapun, Farah tidak mendedahkan di mana pusat perubatan dan rawatan diterima bapanya.

Semalam, isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menziarahi Mohamed Azmin yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sultan Perak pangku jawatan Yang di-Pertuan Agong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JAN: Mesyuarat Raja-Raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Perkara demikian dimaklumkan sumber terdekat kepada Sultan Nazrin, lapor Astro Awani.

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan, di Istana Negara, di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam menentukan pengganti YDPA, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, kerajaan juga menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan YDPA.

“Itu soal raja-raja. Mereka yang tentukan. Kerajaan tidak campur tangan dalam perkara ini, kita terima sahaja keputusan Majlis Raja-Raja.

“Sama ada penggantinya ditentukan mengikut giliran atau apa, kita serahkan juga kepada Majlis Raja-Raja. Saya tidak tahu bagaimana mereka tentukan pengganti, sama ada melalui undi atau apa, terpulang pada raja-raja,” katanya dalam sidang medianya di Terengganu.

Dr Mahathir berkata, Majlis Raja-Raja itu juga tidak terikat dengan susunan jawatan berkenaan walaupun terdapat turutan giliran.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua lapisan masyarakat supaya menghormati sesiapa pun yang diputuskan Majlis Raja-Raja sebagai penganti.

“Rakyat tidak ada hak tentukan siapa kena berhenti, siapa patut ganti. Kita terima sajalah apa keputusan raja-raja.

“Kita harap pengganti Sultan Muhammad V sebagai YDPA dapat diumumkan secepat mungkin,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL RENCANA

Keutuhan peranan, fungsi institusi Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR 9 SEPT: Institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong adalah kedaulatan negara dengan kedudukan dan peranannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu disokong dan didukung oleh kerajaan serta rakyat.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata perubahan kerajaan, susulan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas, tidak memberi kesan dari segi peranan, fungsi dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Peralihan kerajaan itu menyaksikan Sultan Muhammad V mencatat sejarah tersendiri dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama memerintah dalam era dua kerajaan berbeza.

Semasa dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 13 Dis 2016, kerajaan ketika itu diterajui oleh Barisan Nasional dan pada 10 Mei lepas, kepimpinan negara diambil alih oleh Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Parlimen ke-14 pada 17 Julai lepas, Seri Paduka bertitah mengalu-alukan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan dalam menegakkan ketelusan terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat bagi menangani kos sara hidup.

ADAPTASI PERUBAHAN

Pada Jun lepas, Sultan Muhammad V memperkenankan supaya peruntukan gaji dan emolumen Yang di-Pertuan Agong dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang pemerintahan sehingga 2021 berikutan keprihatinan Seri Paduka terhadap tahap hutang dan keadaan ekonomi negara.

Seri Paduka turut menitahkan supaya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini tidak diadakan di Istana Negara dengan peruntukan majlis itu digunakan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad ini, Sultan Muhammad V menitahkan pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja yang dijadualkan di Istana Negara pada hari berkenaan.

Seri Paduka menitahkan supaya peruntukan perbelanjaan kedua-dua acara rasmi itu dikembalikan semula kepada pihak kerajaan dengan disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Syamrahayu berkata beberapa adaptasi yang diperkenankan Sultan Muhammad V dilihat seiring pentadbiran kerajaan semasa.

Secara umumnya, beliau melihat peralihan kerajaan sedikit sebanyak menyebabkan institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong perlu melihat kepada perkembangan politik selaras dengan pentadbiran kerajaan itu sendiri.

“Ini dapat dilihat daripada perkenan Seri Paduka supaya tidak diadakan Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan serta pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja,” katanya.

Beliau berkata ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk sama-sama berganding bahu merealisasikan Malaysia Baharu.

Pada masa sama, beliau berpendapat Yang di-Pertuan Agong bukanlah menzahirkan sokongan institusi raja kepada mana-mana parti politik sebaliknya memperkenankan pembatalan acara-acara itu bagi menghormati pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat melalui proses pilihan raya.

“…pada saya ia menunjukkan sinergi antara raja dan kerajaan. Jika mahu melihat hubungan antara intitusi beraja dengan kerajaan, saya fikir tindakan sebegitulah yang menunjukkan keprihatinan institusi beraja kepada kerajaan.

“Bukanlah bermakna menyokong dari segi pendirian politik tetapi untuk perkara yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara,” jelasnya.

KEDAULATAN DAN IDENTITI NEGARA

Pada masa sama, Syamrahayu menekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong bukanlah hanya simbol semata-mata, sebaliknya mempunyai peranan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Ia melambangkan kedaulatan dan identiti negara. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memudahkan, membolehkan dan memastikan institusi raja dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang didukung dengan sewajarnya,” katanya.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim pula berpendapat titah perkenan Sultan Muhammad V berhubung pemotongan gaji dan emolumen serta beberapa acara rasmi Seri Paduka adalah selaras dengan hala tuju kerajaan.

“Sesiapa sahaja yang mengetuai kerajaan, itulah kerajaan Seri Paduka… baginda perlu menjurus kepada kerajaan itu waima siapa pun yang memerintah.

“Isu seseorang Yang di-Pertuan Agong tidak menyokong sesuatu kerajaan tidak timbul sama sekali. Seri Paduka tidak terlibat dengan politik, lunas Seri Paduka hanyalah Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Rais meminta kerajaan supaya memperbanyakkan usaha untuk mendidik generasi muda supaya menghormati institusi raja yang diterajui Yang di-Pertuan Agong.

“Generasi muda kurang diberi pendedahan, bimbingan dan nasihat mengenai fungsinya (institusi raja) sedangkan ia amat mustahak dalam struktur pemerintahan negara.”Ada yang bercakap sambil lewa, menggunakan bahasa yang jelek dan tidak menghormati institusi raja,” katanya.

————————————————–

MENGENALI SULTAN MUHAMMAD V

Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 oleh Majlis Raja-Raja menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa pada 13 Dis 2016.

Seri Paduka, yang diputerakan pada 6 Okt 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan, merupakan anakanda sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Tengku Muhammad Faris Petra, 49, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ke-29 pada 13 Sept 2010.

Seri Paduka mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 44, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 40, dan Tengku Amalin A’ishah Putri, 34.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur, Seri Paduka dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan ke-16 pada 6 Okt 1985.

Seri Paduka kemudian menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan mengikuti jurusan Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada 24 Mei 2009, Seri Paduka dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan dan menaiki takhta Negeri Kelantan dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.

Pada 13 Dis 2011, Seri Paduka dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-15 oleh Majlis Raja-Raja.

Sultan Muhammad V, yang amat mementingkan pendidikan, juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Dalam bidang ketenteraan, kepimpinan Seri Paduka sentiasa dikagumi ramai. Sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini.

Selain melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan serta aktif dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan, Seri Paduka amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, ekuestrian, sukan memanah, menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Henti ungkit isu sensitif antara kaum, agama

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Elemen negatif dan tindak tanduk mengganggu-gugat kesepaduan serta keharmonian perlu dihentikan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah, semua pihak perlu menghentikan ungkitan terhadap isu sensitif antara kaum.

“Beta juga menyambut baik cadangan mewujudkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat supaya program lebih berkesan bagi mempromosi perpaduan diperbanyakkan.

“Beta mengucapkan terima kasih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pihak dalam menjamin, mengekalkan keselamatan, keamanan juga kedaulatan negara yang dengannya membolehkan pembangunan dan kemajuan negara berjalan baik seperti dirancang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Majlis Parlimen Ke-14 2018 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Selain sentimen perkauman dan agama, baginda turut bertitah supaya semua pihak lebih serius menangani gejala sosial dan elemen negatif yang boleh merosakkan masyarakat serta negara.

Titah baginda, kepatuhan kepada ajaran agama dan nilai murni tidak harus diabaikan dalam menuju ke arah pemodenan.

“Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, organisasi bukan kerajaan dan para ilmuan perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian ke atas masalah berbangkit,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

YDPA hargai ketelusan kerajaan, sumbangan Tabung Harapan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V mengalukan pendekatan Kerajaan menegakkan ketelusan dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara dan mengkaji semula perbelanjaan, kos projek serta menguruskan kewangan secara berhemah.

Baginda turut menyokong langkah Kerajaan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memberi Bantuan Sara Hidup untuk meringankan beban rakyat.

“Pada masa sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara,” titah baginda.

Baginda turut menyeru Kerajaan berusaha mencari jalan mengatasi cabaran ketidaktentuan ekonomi global, konflik politik dan krisis kemanusiaan peringkat antarabangsa.

Titah baginda, Kerajaan juga perlu menangani isu ancaman radikal yang mampu mempengaruhi geopolitik dan ekonomi dunia.

Baginda turut menyentuh era revolusi perindustrian yang merupakan cabaran baru yang perlu dihadapi semua negara.

“Beta mengalukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya.

“Beta berharap faedah diperolehi bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Agong: Kekal keharmonian & perpaduan, hormati institusi raja

KUALA LUMPUR 14 JUN: Institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam amalan Raja Berperlembagaan tidak boleh diambil mudah dan diperbuat sesuka hati kerana ia dinyatakan secara terang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bertitah hal itu perlu diambil berat oleh semua pihak dan tidak mengikut budaya masyarakat Barat yang tindakannya bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan buruk dan baiknya kepada negara.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong pada hemat beta sewajibnya, bukan sekadar diambil berat dari sudut simbol semata-mata. Ia adalah tanggungjawab amat besar apabila berlaku krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak memudaratkan rakyat dan negara.

“Pada hemat beta, penggubal perlembagaan negara suatu ketika dulu memberikan isyarat dalam perlembagaan secara tersurat, namun yang perlu lebih difahami adalah perkara tersirat.

“Itulah dia tata sopan dan susila diasuh nenek moyang kita supaya difahami dan diamalkan dengan berhati-hati,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, hari ini.

Memetik surah al-Hujarat ayat enam, Sultan Muhammad menitahkan rakyat untuk terus mengamalkan pendekatan ‘tabayyun’ atau meneliti setiap kebenaran tatkala menerima sebarang berita dalam usaha menepis suasana ketidakcelaruan.

Baginda bertitah, hal itu berdasarkan teladan kisah hidup dalam satu negara dan kerajaan sejak zaman dulu dan sirah ambiya kerana silap percaturan akhirnya mengundang kerugian kepada masyarakat, selain melenyapkan semua legasi yang dibina dalam sekelip mata.

“Ia mustahil mampu dibaiki lagi dalam masa yang singkat, malah barangkali tidak untuk selama-lamanya.

“Justeru, ingatlah bahawa masyarakat Melayu Islam khususnya akan hanya kekal jika bersendikan adat dan bertunjangkan syarak.

“Sempena menyambut kemuliaan lebaran ini, beta titahkan satu pesanan yang bermakna daripada raja kepada rakyat, selain buat negara yang dikasihi.

“Beta harapkan semoga dengan tarbiah madrasah Ramadan selama sebulan mampu menjadikan kita insan bertakwa dan kembali kepada fitrah, yang bakal melahirkan modal insan berkualiti tinggi serta berintegriti untuk memacu reformasi ke arah negara maju.

“Makmur dan mendapat pengampun Allah hendaknya,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulurkan salam kemaafan, selain menyuburkan budaya mengunjungi sesama insan bagi mengeratkan ikatan silaturahim.

“Semoga Aidilfitri kali ini memberi makna dan impak besar kepada kita dalam melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Agong perkenan gaji, emolumen dikurangkan 10% sehingga 2021

KUALA LUMPUR 12 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memberi perkenan agar peruntukan gaji dan emolumennya sebagai Yang di-Pertuan Agong dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata, Seri Paduka amat prihatin tentang tahap hutang dan keadaan ekonomi negara serta mahu bersama-sama rakyat menunaikan tanggungjawab terhadap negara.

“Baginda Tuanku amat tersentuh dan menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada rakyat yang telah bermurah hati menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia yang telah diwujudkan oleh kerajaan baru-baru ini.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia juga ingin bersama rakyat menunaikan tanggungjawab dengan bertitah per­kenan agar peruntukan gaji dan emolumen Seri Paduka dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang pemerintahannya sehingga tahun 2021,” kata Wan Ahmad dalam satu kenyataan di sini semalam.

Categories
NASIONAL

Azmin jumpa Anwar isu jumpa YDPA

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JUN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan tidak memperoleh butiran lanjut mengenai topik perbincangan Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V, semalam.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar itu berkata, maklum balas mengenai pertemuan itu akan diketahui apabila beliau mengadakan perjumpaan bersama mantan Timbalan Perdana Menteri itu, hari ini.

“Saya akan menemui beliau pada jam 3 petang ini dan akan mendapat butiran lanjut mengenainya nanti,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Dilaporkan Anwar mengadap dan mengadakan pertemuan dengan Yang DiPertuan Agong di Istana Negara, malam tadi, berkaitan polemik pelantikan Peguam Negara.

Isu pelantikan Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang ketika ini bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu, tercetus apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengemukakan nama peguam veteran, Tommy Thomas, untuk pertimbangan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Categories
NASIONAL

YDPA muktamad pembebasan Anwar esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan memuktamadkan pengampunan dan pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Dalam kenyataan Istana Negara, Sultan Muhammad V berpuas hati dengan semua prosedur berkaitan prosiding oleh Lembaga Pengampunan untuk pembebasan segera Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN) itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, mesyuarat itu pada awalnya ditetapkan pada Selasa, namun ditangguhkan ke 11 pagi, Rabu ini atas permintaan Pejabat Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya perkara ini dimuktamadkan pada 16 Mei, Rabu menjelang Ramadan,” katanya.

Lembaga Pengampunan itu dipengerusikan YDPA dan dianggotai Perdana Menteri dan peguam negara yang akan mempertimbangkan petisyen pengampunan serta pembebasan Anwar.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, YDPA sedia memberi pengampunan diraja dan pembebasan serta-merta kepada Anwar.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun, pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas kes Fitnah II.

Anwar yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh sepatutnya dibebaskan, pada 8 Jun ini.