Categories
GLOBAL

Ebola: Zambia tingkat pengawasan di pintu masuk sempadan

LUSAKA, 4 JUL: Pihak berkuasa kesihatan Zambia mengetatkan lagi pengawasan di pintu masuk sempadan, berikutan peningkatan kes Ebola di negara jiran Republik Demokratik Kongo (DRC), lapor agensi berita Xinhua.

Menteri Kesihatannya, Chitalu Chilufya berkata, langkah itu bertujuan mengekang penularan wabak penyakit yang boleh membawa maut itu.

Beliau berkata, kerajaan bimbang dengan peningkatan kes Ebola serta penularan wabak campak di beberapa kawasan di DRC, memetik laporan Perbadanan Penyiaran Kebangsaan Zambia, hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan telah melatih petugas pasukan tindak balas yang akan bekerjasama dengan kakitangan kesihatan dari pelbagai negeri untuk menjalankan saringan ke atas setiap individu yang masuk ke Zambia.

Setakat ini, tiada laporan kes Ebola dilaporkan di Zambia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi itu memandangkan DRC telah merekodkan lebih 2,000 kes Ebola.

– BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN

UNISEL tambat hati ibu dari Zambia

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 JAN: Selepas empat tahun menetap di Malaysia, Olivia, memutuskan anaknya, Tabu Musukwa harus melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya.

Berasal dari Zambia iaitu sebuah negara di selatan benua Afrika, Olivia berkata, persekitaran UNISEL menambat hatinya untuk mendaftarkan Tabu bagi mengikuti program Pengajian Asasi Teknologi Maklumat.

“Sebagai ibu, saya memilih UNISEL kerana persekitaran yang tenang dan damai di sini amat sesuai untuk aktiviti pembelajaran.

“Ia juga membolehkan anak saya melakukan aktiviti riadah selepas waktu kuliah,” katanya yang ditemui selepas sesi pendaftaran di UNISEL Bestari Jaya, semalam.

UNISEL Zambia (2)Katanya, kemudahan disediakan UNISEL terutama daripada segi penginapan adalah terbaik berbanding universiti lain.

“Saya pernah ke beberapa universiti lain, namun kemudahan prasarana di UNISEL adalah terbaik.

“Saya sendiri memandu dari Kuala Lumpur ke Bestari Jaya untuk memastikan segala kemudahan dan kelengkapan pembelajaran adalah seperti dikhabarkan,” katanya.

Sebelum ini, UNISEL turut menerima pendaftaran pelajar luar negara seperti Oman, Somalia, Afrika Selatan, Zambia, Indonesia, Bangladesh, Sudan serta beberapa negara lain.

Mereka yang berminat menyambung pengajian di UNISEL boleh mendaftar kemasukan yang dilanjutkan, sehingga 3 Februari ini.

Pendaftaran menerusi laman sesawang boleh dilakukan di www.unisel.edu.my atau hubungi terus pejabat Pemasaran dan Kemasukan di talian 03-55223400 atau 012-3401740 atau 011-33907681.

-NFN-