Categories
ADN SELANGOR

Belia Kota Raja sertai jelajah kemerdekaan, semarak semangat patriotik

KLANG, 23 OGOS: Seramai 180 belia menyertai Jelajah Kemerdekaan Anak Muda Kota Raja dengan menaiki motosikal bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Jelajah yang turut disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bermula di pekarangan Stadium Kota Raja dan melawat 10 kawasan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohd Zawawi berharap menerusi jelajah ini golongan belia mempunyai kesedaran patriotik untuk menjaga keamanan dan keharmonian negara.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama peserta konvoi mengibarkan bendera Malaysia ketika Program Jelajah Merdeka Anak Muda Kota Raja Anjuran Pejabat Dun Sungai Kandis di Kampung Sungai Kandis, Klang pada 23 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita juga mengadakan kempen kesedaran awam tentang kepentingan menjaga jarak fizikal ketika berdepan pandemik serta mengedarkan pelitup muka dan bendera di samping kempen jauhi dadah,” katanya.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah edaran Jalur Gemilang kepada orang awam dan gotong-royong di rumah warga emas, Ab Razak Baharum, 73.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian di Kampung Sungai Kandis sambil menunggang motosikal bersama konvoi belia ke Warung Itik Salai untuk menikmati makan tengah hari

Categories
ADN SELANGOR

Sokongan erat rakyat bantu Zawawi kemudi Sungai Kandis

OLEH SHEEDA FATHIL

SUNGAI KANDIS, 8 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni menzahirkan rasa syukur atas kerjasama erat diberikan pelbagai pihak sepanjang setahun beliau mengemudi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Beliau turut berkongsi rasa teruja terhadap sokongan yang tidak berbelah bagi masyarakat setempat dan kerjasama erat pelbagai pihak selama ini.

Katanya, ia banyak membantu beliau dalam menyelesaikan masalah membabitkan jalan, isu perparitan dan kebakaran terbuka yang sering dilaporkan rakyat di DUN itu.

“Selepas 12 purnama diberi mandat mengemudi Sungai Kandis, saya lihat kerjasama yang diberikan cukup baik.

“Malah, cabaran juga tidak terlalu banyak memandangkan keadaan DUN ini sebahagian di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam dan sebahagian lagi Majlis Perbandaran Klang.

“Mereka ada Ahli Majlis yang sentiasa memberikan kerjasama dan sedikit sebanyak membantu saya menguruskan apa sahaja permasalahan berlaku di sini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menandatangani Plat Perasmian Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis di Bandar Putera 2 Klang, pada 8 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis dan Sambutan Setahun DUN Sungai Kandis, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri ; ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamed Yasid Bidin.

Terdahulu, Amirudin turut merasmikan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis dan meraikan Sambutan Setahun DUN Sungai Kandis.

Pusat Khidmat Rakyat terbabit lebih strategik dan mesra warga emas memandangkan ia berada di tingkat bawah.

Manakala, di tingkat atas turut terdapat kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik aktiviti Pusat Wanita Berdaya dan surau.

Ahmad Zawawi meraih 15,427 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sekali gus dipilih menjadi ADN, pada 4 Ogos tahun lalu.

PRK yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Categories
SELANGOR

Anak yatim Institut Taufik Islami disantuni

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KLANG, 28 APR: Persatuan Penduduk Pengkalan Damai Shah Alam menganjurkan Program Majlis Amal bersama Institut Taufik Islami di Jalan Kebun, semalam.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Traumatologi dan Perubatan Kecemasan Malaysia (MASTEM) itu diadakan bertujuan menyantuni lebih 80 anak yatim dan anak saudara baharu yang tinggal di institut terbabit.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu dimulakan dengan gotong royong membersihkan kawasan luar dan dalam institut.

Kemudian, mereka turut berganding bahu membina tandas baru serta mengecat kelas, asrama dan surau Institut Taufik Islami.

Perasmian program terbabit disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan gimik upacara penanaman pokok.

Diakhir program, pihak penganjur menyampaikan sumbangan hadiah dan duit raya kepada anak-anak institut itu serta menyambut ulang tahun kelahiran bagi mereka yang lahir pada bulan April.

Program itu ditaja oleh syarikat pembuat wafer silikon iaitu S.E.H Shah Alam Sdn Bhd.

Turut terlibat dalam menyumbang tenaga adalah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Kelab Mahasiswa Bimbingan & Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Categories
SELANGOR

Buang sampah belakang premis, ADN mahu jumpa peniaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 8 JAN: Akibat sesuka hati membuang sampah di belakang premis, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mahu bertemu pemilik premis di Pekan Seri Andalas dalam masa terdekat.

Katanya, beliau kecewa dengan sikap pemilik premis sehingga menyebabkan kawasan lorong belakang premis itu kotor dengan longgokkan ratusan botol kosong dan sampah sarap lain yang tidak diurus sempurna.

“Lebih teruk apabila ada penagih dadah yang mengambil kesempatan dengan menjadikannya sebagai ‘port’ mereka.

“Hasil tinjauan juga mendapati ada gelandangan yang menjadikan kawasan belakang premis sebagai tempat tinggal, keadaan ini sebenarnya menyebabkan orang awam di kawasan sekitar berasa tidak selamat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Program Gotong Royong di Pekan Seri Andalas bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan juga penduduk setempat.

Mohd Zawawi berkata, beliau merancang menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengatasi masalah berbangkit di lokasi sama.

Katanya, imej Pekan Seri Andalas perlu dibaikpulih kembali menjadi kawasan yang lebih bersih dan selamat.

“Kawasan terbabit memang agak besar dan terdiri daripada pelbagai jenis perniagaan. Namun, saya berharap supaya pemilik premis memberi kerjasama dan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kenang pengorbanan, hargai sumbangan pasukan bomba – Zawawi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 5 OKT: Sumbangan, peranan dan bakti pasukan bomba demi memastikan kesejahteraan rakyat harus dikenang serta dipahat kemas dalam ingatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Zawawi Mughni berkata, hal itu kerana tugas anggota keselamatan terbabit amat sukar dan sering terdedah dengan risiko luar jangka.

“Sepanjang tempoh sebulan saya dilantik sebagai ADN Sungai Kandis, ada lima kes besar berlaku yang memerlukan khidmat anggota bomba.

“Ia termasuk kebakaran di Johan Setia, pembakaran sampah haram di Jalan Kebun, kebocoran gas ammonia dan kebakaran dua buah rumah di kawasan ini, baru-baru ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Menghargai Petugas Bomba, di Ibu Pejabat Bomba Penyelamat Space U8, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 petugas bomba dan penyelamat daerah itu menyertai majlis berkenaan yang dipimpin Penguasa Bomba (Ketua Cawangan Perakuan Bangunan), Bukhari Ahmad.

Zawawi berkata, majlis terbabit bertujuan memperingati dan mengenang pengorbanan anggota pasukan berseragam itu dalam membantu rakyat di sini.

Katanya, ia sekali gus dapat merapatkan hubungan pimpinan bersama anggota berkenaan untuk terus bekerjasama pada masa akan datang.

“Saya berharap mereka terus mencurahkan bakti dan menjalankan perkhidmatan terbaik sebagai amanah Allah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga enam anggota bomba yang terkorban syahid ketika misi menyelamatkan seorang remaja lemas di sebuah lombong di Puchong, semalam.

Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi susulan hujan lebat sejak petang semalam sehinga menyebabkan tali dipasang mereka terbelit antara satu sama lain di dasar lombong.

Empat daripada mangsa terkorban termasuk anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala, dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25

 

Categories
AGAMA SELANGOR

Zawawi bawa rombongan ke Acheh selami erti keinsafan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 OKT: Kejadian tsunami yang berlaku di Acheh cukup menginsafkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sehingga menarik minat beliau melawat kepulauan itu.

Mohd Zawawi berkata, beliau yang sudah ke sana lima kali turut pernah menyumbangkan tenaga menjadi sukarelawan selepas bencana itu melanda bumi Acheh, pada 2004.

“Kini selepas beberapa tahun, saya bawa rombongan ahli kariah Masjid An-Naim Jalan Kebun untuk Lawatan Kesedaran dan Keinsafan ke Acheh bagi membolehkan kesemua peserta rombongan belajar erti pengorbanan.

“Ini kerana apabila kita belajar erti pengorbanan barulah seseorang itu akan menghargai sesuatu, dan itulah tujuan rombongan ini dibuat,” katanya kepada SelangorKini.

Semua 25 peserta rombongan dibawa ke Muzium Tsunami Acheh, Makam Syeh Kuala- Abdul Rauf Singkil, Masjid Baiturrahman dan Makan Tentera Turki Uthmaniyah.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut mahu peserta rombongan yang dibawanya mendalami pengajaran hukum hudud yang dijalankan Acheh.

“Menariknya hukuman berkenaan turut disambut baik penduduk Acheh, dan saya mahu konsep tersebut difahami oleh semua anak-anak kariah Jalan Kebun.

“Satu lagi perkara menarik mengenai Acheh ialah penduduknya sentiasa mengajar kita supaya jangan sombong dan angkuh, pergi ke mana sahaja di setiap pelusuk kepulauan itu, kami sering mendengar nasihat yang sama,” katanya.

Categories
SELANGOR

Zawawi turun padang bantu Halimey

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin kemampuan Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar untuk mengekalkan kerusi DUN itu bawah Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya, calon PAKATAN itu bukan sahaja anak muda berjiwa besar, malah sudah sekian lama bergerak dilapangan membantu masyarakat di situ ketika menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Sebagai anak jati yang membesar di kawasan Kampung Lindungan dan menjadi Ahli Majlis dalam jangka masa lama tentunya beliau sangat masak dan faham tentang ‘sepak terajang’ di situ,” katanya.

Mohd Zawawi dalam masa sama memohon semua pengundi DUN Seri Setia keluar mengundi pada 8 September ini.

“Pilihlah Halimey, calon terbaik menerajui Seri Setia dan membawa perubahan,” katanya.

Categories
SELANGOR

DARUL LGBT : Lidah rasmi PAS tebar fitnah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 OGOS : Tuduhan kolumnis akhbar rasmi PAS, Harakah melabel Selangor sebagai Darul LGBT adalah keterlaluan, tegas Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Katanya, PAS seolah-olah melemparkan tuduhan terbabit kepada pentadbir utama negeri ini termasuk Sultan dan juga mufti.

“Kita masih punyai Sultan dan mufti, dan adakah PAS lupa diri apabila Selangor Darul Ehsan adalah negeri yang pernah dibangunkan bersama satu ketika dahulu.

“Bagaimana mereka boleh mencerminkan negeri yang pernah dibangunkan bersama seburuk itu, tidak pernah sesekali kita (Selangor) melabelkan negeri yang ditadbir oleh mereka dengan perkataan buruk.

“Ini adalah sikap tidak bertanggungjawab, jika hendak katakan sedemikian rupa sekalipun, kemukakan bukti, jangan main tuduh tidak tentu hala, ini boleh jatuh kepada fitnah.

“Mengikut al-Quran, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh, adakah PAS tidak sedar akan hal terbabit,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata, Kerajaan Selangor tidak pernah ‘menghalalkan’ LGBT kerana ia adalah bertentangan dengan al-Quran.

“Janganlah terlalu beremosi ketika berkempen sehingga cuba meraih sokongan murahan, ini adalah fitnah yang hanya membawa kepada kehancuran sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu artikel yang dikeluarkan Harakah bertajuk ‘PRK Seri Setia : PAS lawan Darul LGBT’.

Artikel yang dipaparkan melalui ‘lidah rasmi’ PAS bagi siaran 27 hingga 30 Ogos itu turut mengundang kemarahan rakyat Selangor.

Salah satu kenyataan yang dipaparkan dalam akhbar itu termasuk, ”Jangan tidak sedar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia pada 8 September nanti, bukan sekadar pertandingan antara PAS dan Pakatan Harapan, atau pembangkang dan kerajaan, tetapi boleh dilihat sebagai PAS lawan kerajaan lembut yang selembut kaum LGBT.LGBT adalah gejala yang menonjol galak dalam tempoh 100 kerajaan baharu, Harapan”.

Categories
SELANGOR

“Tak mahu orang tengok saya sakit” pesan arwah pada isteri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Demi tidak ramai pihak melihatnya sakit, Allahyarham Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei menitipkan pesanan kepada isterinya supaya merahsiakan keadaan kesihatannya.

Isterinya, Jamilah Sahak, 44, berkata, tahap kesihatan suaminya didapati tidak stabil setelah kuman menjangkiti bahagian paru-parunya.

Katanya, arwah dirawat di hospital swasta di Subang Jaya, selama sebulan.

“Kami dimaklumkan doktor bahawa penyakit dihidapi arwah amat berisiko dan sukar diubati kerana jangkitan kuman merebak.

“Bagaimanapun, sejak dirawat di hospital berkenaan, saya lihat ada perkembangan positif pada dirinya. Doktor juga menempatkannya di wad biasa untuk menjalani rawatan susulan.

“Itu pun tidak lama, hanya lima hari sahaja dan perlu dipindahkan semula ke unit rawatan rapi kerana mengalami kesukaran bernafas,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita, semalam.

Sementara itu, abangnya, Shamsuddin Shafiei,61, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar buat keluarga.

“Saya amat terasa dengan kehilangannya, apatah lagi kami berdua ni memang rapat.

“Dan kali terakhir kami jumpa pada awal ramadan lalu,” katanya.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, jam 4.30 petang semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 11.10 pagi semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma.

 

Categories
SELANGOR

MB hadir beri penghormatan terakhir kepada Shuhaimi Shafiei

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan penghormatan terakhir kepada jenazah Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia, semalam.

Beliau tiba di Masjid Sultan Salahuddin Azlan Shah, di sini kira-kira jam 1.05 tengahari yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang tiba tidak lama selepas itu.

Amirudin kemudian bergerak menuju ke Tanah Perkuburan Seksyen 21, di sini, bagi menghadiri upacara pengebumian Allahyarham.

Selain itu, orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat turut memenuhi masjid sebaik sahaja menerima perkhabaran mengenai kematian ADN Sungai Kandis, merangkap mantan Setiausaha Politik Menteri Besar itu.

Terdahulu, Shuhaimi, 50, disahkan meninggal dunia jam 11.10 pagi semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya, akibat menghidap kanser limfoma.

Allahyarham selamat dikebumikan jam 4.30 petang, semalam.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei meninggal dunia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei disahkan meninggal dunia pada jam 11.10 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat penyakit kanser limfoma.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam kenyataanya merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ADN yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta disenangi rakyat.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Hj Shuhaimie Shafie atas pemergian ini. Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah,” katanya.

Katanya, pemergian Shuhaimi merupakan satu kehilangan besar buat Selangor dan KEADILAN memandangkan beliau pernah berkhdimat sebagai Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Azmin Ali ketika menjawat jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Allahyarham merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang sangat komited, bertanggungjawab dan disenangi rakyat dan rakan taulan. Allahyarham juga merupakan sahabat karib saya dan rakan seperjuangan dalam politik.

“Khidmat bakti dan pengorbanan Allahyarham kepada rakyat dan negeri Selangor adalah sangat besar dan tidak ternilai.

“Semoga Allah swt memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sejurus selepas selesai urusan di hospital.

Beliau kemudiannya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam dijangka selepas solat Asar.

Shuhaimi sebelum ini merupakan ADN Seri Muda selama dua penggal selepas memenangi PRU-12 dan 13 serta meneruskan kecemerlangan memenangi kerusi DUN Sungai Kandis pada PRU-14.

Dalam perkembangan sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut meluahkan kesedihan atas pemergian Shuhaimi yang disifatkan sebagai teman sejati sepanjang perjuangan bersama KEADILAN.

“Al Fatihah. Saya amat sedih di atas kehilangan seorang teman sejati dalam perjuangan. Semoga ruh Allahyarham Shuhaimi Shafiei ditempatkan di syurga yang penuh nikmat Allah SWT,” katanya.

Ketua Wanita Pakatan Harapan yang juga Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut berkongsi kesedihan pemergian Shuhaimi.

“Beliau merupakan seorang yang amat prihatin kepada nasib rakyat dan telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai ADN Sungai Kandis dan juga sebelum ini sebagai Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Shuhaimie Shafie. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan di kalangan golongan yang soleh. Al Fatihah,” katanya

Categories
SELANGOR

Shuhaimi, Gana tekad laksanakan beri khidmat terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei nekad menjanjikan perkhidmatan terbaik untuk warga Sungai Kandis.

Beliau berkata, sebagai ADN di kawasan baru, mandat diberikan rakyat itu merupakan mandat yang besar.

“Saya bersyukur kerana berikan sekali lagi mandat bagi kawasan baru.

“Saya akan terus mencipta peluang-peluang baru membantu rakyat bagi memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara,” katanya.

Shuhaimi memenangi kerusi itu dengan majoriti sebanyak 12,490 undi daripada jumlah undian 23,998.

DUN Sungai Kandis (dulunya Sri Andalas) dimenangi oleh Xavier Jayakumar dengan undian sebanyak 20,258 (PRU12) dan 31,491 (PRU13).

Pada PRU13, jumlah pengundi di DUN itu sebanyak 56,763.

Sementara itu, V Ganabatirau menyifatkan kemenangan itu merupakan tsunami rakyat yang mahukan perubahan.

“Kita dapat melihat perubahan drastik dengan memenangi majoriti tinggi. Ini disebabkan rakyat sudah muak dan penat dengan beban kos sara hidup.

“Ini membuatkan rakyat berani melaksanakan perubahan,” katanya.

Ganabatirau menenangi kerusi itu dengan jumlah 38,106 undi.

Beliau yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri memenangi dengan majoriti sebanyak 21,639 undi.