Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Kempen Cuti-Cuti Malaysia ‘santai di Zoo’ tawar diskaun menarik

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi agensinya Tourism Malaysia melancarkan Kempen Stimulus Cuti-Cuti Malaysia ‘Santai di Zoo’ dengan tawaran diskaun istimewa bagi tiket masuk bermula hari ini hingga 31 Mac.

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata kempen di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), merupakan program kerjasama dengan Zoo Negara, Zoo Melaka serta Zoo Taiping & Night Safari.

“Program ini merupakan inisiatif kerajaan bagi merancakkan semula ekonomi negara melalui penglibatan penggiat industri pelancongan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Zoo Negara menawarkan 40 peratus diskaun bagi harga tiket masuk dewasa dan kanak-kanak kepada lebih 16,000 tiket yang pembelian boleh dibuat melalui platform Shopee.

Zoo Melaka menawarkan diskaun 30 peratus bagi tiket masuk dewasa dan kanak-kanak kepada lebih 20,000 pengunjung pertama dengan pembelian secara online di laman www.zoomelaka.gov.my.

Sementara lebih 30,000 pengunjung yang melawat Night Safari, Taiping akan menikmati diskaun 30 peratus bagi harga tiket masuk dewasa dan kanak-kanak.

Pembelian boleh dibuat melalui kaunter jualan tiket masuk di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan ia hanya sah untuk penggunaan pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Berita tular jangkitan Covid-19 berkait Zoo Melaka tidak benar

MELAKA, 31 DIS: Tiada sebarang kes jangkitan Covid-19 direkod berkaitan Zoo Melaka seperti yang tular di laman sosial Facebook baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata setakat ini juga tiada arahan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka kepada pengunjung ke lokasi pelancongan terkenal di Ayer Keroh itu supaya membuat ujian saringan.

“Ingin saya tegaskan apa yang tular itu adalah berita palsu yang direka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menakut-nakutkan orang ramai.

“Kebanyakan peningkatan kes di negeri ini tidak disebabkan penularan tempatan tetapi dikesan membabitkan mereka yang datang atau pulang dari zon merah, segelintirnya tidak menitikberatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan menyebabkan ia berjangkit kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas memantau SOP Covid-19 di Zoo Melaka hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman dan Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Kesihatan Awam) Dr Rusdi Abdul Rahman.

Mengulas mengenai pemantauan itu, beliau turut berpuas hati dengan pematuhan dan persiapan SOP yang disediakan pihak zoo kepada pengunjung termasuk menyediakan pelekat penjarakan fizikal satu meter di antara setiap keluarga.

-BERNAMA