Categories
RENCANA

Usaha kembalikan kegemilangan Zoo Negara

Oleh Soon Li Wei dan Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Suatu ketika dahulu Zoo Negara yang dipenuhi pelbagai jenis haiwan mamalia, unggas, reptilia dan ikan menarik jutaan pengunjung dan memberi inspirasi serta pendidikan untuk rakyat Malaysia.

Pernah menampung kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan, Zoo Negara yang ditubuhkan pada 1963 di atas tanah seluas 110 hektar di Hulu Kelang itu pernah, mencatatkan lebih satu juta pengunjung dalam setahun pada 1986.

Namun kini, Zoo Negara ibarat kehilangan magis, dengan pelbagai isu dan persepsi negatif yang melingkari zoo berkenaan, seperti keadaan zoo yang kurang menarik, haiwan yang kurus dan tidak aktif, menyebabkan pengunjung merasakan harga tiket RM45 seorang tidak berbaloi, sekaligus menjadikan jumlah pengunjung zoo menjunam dari tahun ke tahun.

Pelbagai usaha dilakukan pihak pentadbiran bagi mengembalikan zaman kegemilangannya, termasuk kemasukan dua ekor beruang gergasi Panda, Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan oleh kerajaan China pada tahun 2014 menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Amat Lana ketika ditanya mengenai kemerosotan jumlah pengungjung itu berkata, Zoo Negara sedang menaik taraf, dan menambah baik infrastruktur bagi menarik lebih ramai pengunjung, yang dilakukan secara berperingkat bagi mengembalikan kegemilangan zoo kebanggaan negara itu.

“Macam-macam yang kita rancangkan termasuk membina Rimba Reptila, Petting Zoo, Taman Tema Air dan paling utama adalah menukar konsep zoo ini kepada zoo terbuka, di mana kurungan haiwan digantikan kepada cermin khas.

“Namun semua ini memerlukan kos yang tinggi, dan perlu dilakukan secara berperingkat kerana ketika ini Zoo Negara menampung keperluan harian haiwan dan pekerja yang menelan belanja RM1.2 juta setiap bulan, melalui pelbagai sumber kewangan termasuk tajaan daripada pihak tertentu. Perbelanjaan ini merangkumi makanan haiwan, ubatan, penyelenggaraan dan gaji pekerja,” katanya kepada Bernama.

Rosly berkata Zoo Negara melakukan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan tiket masuk yang berharga RM45 bagi dewasa itu berbaloi.

“Jika dibandingkan, harga tiket yang kita tawarkan lebih murah berbanding ‘mini zoo’ yang terdapat di taman tema atau zoo persendirian, dengan jumlah haiwan yang dipamerkan di sini melebihi 4,000 ekor daripada 200 spesis,” katanya.

Beliau juga terpanggil untuk membetulkan persepsi orang ramai mengenai haiwan yang terdapat di Zoo Negara adalah kurus, suka tidur dan ruang pameran yang tidak menarik, yang akhirnya akan ‘membunuh’ minat orang untuk datang.

“Sebenarnya, setiap haiwan di sini mempunyai diet yang perlu dipatuhi, bagi memastikan mereka tidak obes dan akhirnya dihinggapi penyakit atau menjadi tidak aktif. Perkara ini sangat kita titikberatkan kerana mereka tinggal di dalam sangkar, tidak sebegitu bebas seperti mana di habitat asal,” katanya.

Katanya keadaan kesihatan fizikal haiwan yang baik ini juga secara tidak langsung sering menarik minat zoo luar terutama Zoo Singapura dan Thailand untuk melakukan pertukaran haiwan antara zoo, membuktikan Zoo Negara mempunyai tenaga pakar veterinar yang terbaik, dalam mengendalikan haiwan termasuklah diberi kepercayaan menjaga panda gergasi, yang menjadi simbol hubungan diplomatik antara Malaysia-China.

“Kita ada empat pakar haiwan yang mempunyai lima hingga puluhan tahun dalam bidang ini, dengan diketuai oleh Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli.

“Melalui kepakaran mereka jugalah, haiwan di sini sentiasa berada dalam keadaan terbaik, malahan sering dipanggil memberi khidmat ke zoo dan taman tema di seluruh Malaysia, apabila haiwan mereka mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Rosly turut menjelaskan, antara usaha lain bagi menarik lebih ramai pengunjung adalah menjalinkan kerjasama bersama beberapa agensi pelancongan, dengan menyenaraikan Zoo Negara sebagai destinasi kunjungan pelancong.

“Kita menggunakan khidmat luar dan agensi pelancongan yang dilantik ini, berjaya membawa masuk RM2.5 juta pada tahun lalu. Ini sesuatu yang positif bagi kami, terutama kumpulan negara pengunjung turut bertambah, termasuk dari Timur Tengah dan Eropah selain China,” katanya.

Rosly juga menjelaskan pihaknya akan merancakkan semula program-program yang sebelum ini diadakan, seperti program sukarelawan, berkhemah waktu malam dalam zoo, Fun Run, Zoo Walk serta sambutan hari lahir haiwan mengikut bulan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor sempurnakan majlis hari lahir Xing Xing dan Liang Liang

Oleh: NORHAYATI UMOR

AMPANG, 3 SEP: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan majlis sambutan hari lahir pasangan Giant Panda, Xing Xing dan Liang Liang yang ke-9 di Dataran Datuk Ismail Huston, Zoo Negara, di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Zoo Negara turut menyampaikan sijil ‘Kek Giant Panda Terbesar’ oleh Malaysia Book Of Records kepada Persatuan Zoologikal Malaysia.

Sambutan Hari Lahir Giant Panda dan pelancaran poskad zoo negara Sultan dan MB (10)Projek itu adalah kerjasama dengan Jabatan Seni Kulinari dan Gastronomi, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Malaysia (UITM), Puncak Alam.

Kek terbesar itu berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu dengan pembabitan 30 tenaga kerja.

Turut menemani baginda, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Presiden Malaysian Zoological Society, Datuk Zaharin Md Arif serta dihadiri Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Sempena majlis itu juga, baginda berkenan merasmikan poskad Zoo Negara yang dikeluarkan Pos Malaysia Berhad.

Sebanyak 10,000 set Sambutan Hari Lahir Giant Panda dan pelancaran poskad zoo negara Sultan dan MB (4)akad postal akan dijual di pasaran tempatan dan setiap kad itu akan mempunyai nombor siri dengan harga RM9.

Pasangan panda gergasi dari China, Fengyi dan Fuwa adalah simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China yang  tiba di Kuala Lumpur,  pada Mei 2014.

Giant Panda itu dilahirkan pada tarikh 23 Ogos 2006 di Daerah Wolong, Sinchuan, China.

Menjadi simbolik kepada sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara, pasangan panda itu dipinjamkan kerajaan China kepada Zoo Negara Malaysia bagi tempoh 10 tahun melalui Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia akan berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Salah tadbir punca kemerosotan Zoo Negara?

Oleh: Zairil Khir Johari

Malaysia sememangnya bertuah menjadi sebuah negara yang kaya dengan sumber daya alam (biodiversiti). Malah, menurut Global Biodiversity Outlook yang diterbitkan oleh Sekretariat Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Malaysia berada di kedudukan ke-12 di dunia dalam Indeks Biodiversiti Kebangsaan.

Dengan kekayaan hidupan liar yang begitu menarik, kita sepatutnya memiliki sebuah zoo kebangsaan yang mampu mencerminkan warisan ini.

Panda-gergasiIa bukan sahaja harus menjadi tarikan pelancong semata-mata atau konservatori hidupan liar, tetapi juga sumber kebanggaan bagi inspirasi dan pendidikan untuk semua rakyat Malaysia.

Berdasarkan harapan ini, Zoo Negara telah ditubuhkan pada tahun 1963 di 110 hektar tanah di Ulu Klang, Kuala Lumpur.

Bermula dengan 89 jenis pameran, Zoo Negara kini telah berkembang untuk menampung 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Pada tahun 1986, Zoo Negara mencatatkan satu juta pengunjung dalam setahun.[1]

Walau bagaimanapun, keadaan semakin parah kini. Hari ini, pengunjung ke zoo akan kecewa dengan kebajikan haiwan yang terabai, sepertimana didokumentasikan dalam sebuah laporan oleh portal dalam talian The Ant Daily awal tahun ini,yang memperincikan bagaimana haiwan dikurung di dalam kandang kecil dan berlumpur, seolah-olah kekurangan zat makanan dan tidak dipedulikan.

Saya juga telah dimaklumkan bahawa Zoo Negara sudah hampir satu dekad tidak mempunyai pakar zoologi yang mempunyai pengalaman yang sesuai.

Ini adalah masalah yang kritikal, memandangkan pakar zoologi kanan adalah satu keperluan untuk memastikan pemuliharaan serta penjagaan hidupan liar yang sempurna.

Kemerosotan kualiti ini digambarkan melalui hakikat bahawa jumlah pengunjung telah menjunam.

Walaupun Zoo Negara telah mencapai satu juta pengunjung hampir 30 tahun yang lalu, jumlah pengunjung semasa berkisar sekitar 600,000 hingga 700,000 tahun, menurut Naib Presiden Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.[3]

Tidak cukup dengan itu, bayaran masuk Zoo Negara baru-baru ini telah dinaikkan kepada RM30 untuk orang dewasa warga Malaysia.

Hal ini tentunya merupakan jumlah yang tidak munasabah untuk zoo yang tidak memenuhi harapan awam. Memandangkan keluarga Malaysia umumnya membentuk majoriti pengunjung, bayaran masuk yang tinggi juga akan menjadi beban besar.

Malah, satu kajian Astro Awani yang dijalankan pada bulan Januari tahun ini mendapati bahawa 73.97 peratus responden sangat tidak setuju dengan yuran baru kerana mereka merasakan nilainya tidak berbaloi.

Walaupun pameran panda baru mungkin layak dikatakan sebagai daya tarikan, pelawat sebenarnya perlu membayar RM20 tambahan untuk melawat panda, lantas menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM50 bagi setiap orang dewasa Malaysia.

Penurunan drastik dalam jumlah pengunjung berbanding tiga dekad yang lalu adalah sesuatu yang membimbangkan, khususnya apabila kerajaan terus memberikan subsidi.

Bagi tahun 2013, RM10.1 juta telah diperuntukkan kepada zoo oleh kerajaan Persekutuan. Selain itu, RM25 juta juga telah diperuntukkan bagi pembangunan pameran panda.

Di sebalik sokongan berterusan daripada kerajaan dan yuran masuk yang lebih tinggi, mengapakah Zoo Negara tidak dapat meningkatkan kualiti dengan ketara? Jelas ada yang tidak kena.

Saya telah menerima maklumat bahawa laporan SPRM telah dibuat terhadap pengurusan zoo berkenaan dakwaan korupsi dan salah tadbir.

Ini dikatakan berlaku pada tahun lepas, dan saya telah dimaklumkan bahawa pegawai-pegawai SPRM telah mengunjungi zoo sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh ini.

Malangnya, pertanyaan saya di Parlimen mengenai isu ini menerima jawapan kabur daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Paul Low.

Menurut jawapan 4 Nvpember 2014, SPRM memang menerima maklumat mengenai isu ini, tetapi maklumat tersebut “masih dalam peringkat pengesahan.”

Oleh itu, saya menggesa kerajaan supaya lebih telus dalam perkara ini, dan mendedahkan status siasatan SPRM ke atas tuduhan rasuah dan salah urus Zoo Negara.

Di samping itu, saya ingin mencadangkan bahawa rancangan jangka panjang digubal untuk menangani bukan sahaja isu-isu pentadbiran, tetapi juga untuk merubah Zoo Negara menjadi zoo bertaraf dunia sesuai dengan kekayaan biodiversiti negara kita.

Adalah memalukan bahawa zoo kebangsaan kita berada dalam keadaan yang kurang memberangsangkan sedangkan negara jiran kita Singapura mampu berbangga dengan zoo kebangsaan mereka yang tersenarai sebagai “Lima Zoo Terbaik di Dunia” oleh CNN.[5]

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan

Categories
SELANGOR

Tapir Mati Dilanggar Di Puncak Alam

tenuk 1

SHAH ALAM, 26 FEB: Seekor Tapir mati akibat dilanggar oleh kenderaan yang melalui j alan Puncak Alam di sini yang dipercayai berlaku pada awal pagi tadi.

Haiwan berkenaan yang juga dikenali sebagai ‘Tenuk’ berkemungkinan ingin melintas jalan raya di situ ekoran kawasan berkenaan terdapatnya hutan simpan.

Kejadian berkenaan bukan yang pertama berlaku kerana sebelum ini beberapa kali kejadian pelanggaran haiwan yang dilindungi kerana hampir pupus.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

tenuk 2Masyarakat di Malaysia rata-ratanya tidak menyedari haiwan tapir atau dikenali sebagai ‘gajah kerdil’ kini semakin pupus di muka bumi.

Sebelum ini pihak Zoo Negara mengambil inisiatif dengan meraikan Hari Tapir Sedunia yang disambut pada 27 April setiap tahun sebagai langkah untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai haiwan unik itu.

Terdapat empat spesies tapir di dunia dan ‘Malayan Tapir’ yang hanya dapat ditemui di Asia merupakan spesies terbesar di dunia.