Categories
SELANGOR

Chegu Bad: ABU Wakili Harapan, Sentimen Rakyat

SHAH ALAM, 28 JAN : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bad) menegaskan ABU (Asal Bukan Umno) bukan sebuah organisasi mahupun pertubuhan bukan kerajaan, sebaliknya mewakili sentimen rakyat yang kecewa dan sedar dengan masalah negara yang berpunca daripada parti Umno-Barisan Nasional (BN).

Chegu Bard dalam kenyataan terbukanya menjelaskan, sentimen ABU mula wujud sekitar tahun 1998 selepas pemecatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya diporpularkan oleh Hishamuddin Rais menerusi blog Tukar Tiubnya.

Namun menurutnya, sejak beberapa bulan lepas, beberapa organisasi seperti SAMM, mahasiswa serta aktivis-aktivis masyarakat yang bergerak sendiri telah bergabung dan bersetuju untuk menghidupkan kempen ABU bagi menjadikan ia sentimen nasional dalam menyatukan kekuatan rakyat demi menumbangkan Umno-BN khususnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Belia berkata, kempen ini akan menggariskan tiga tumpuan mengapa rakyat perlu menolak Umno, antaranya isu sentimen perkauman melampau yang dibawa oleh Umno telah menggagalkan penyatuan rakyat, selain isu keadilan asas dan sistem perundangan negara.

“Isu Lynas turut diangkat kerana ia menunjukkan ketidak pedulian Umno terhadap suara rakyat sehingga sanggup memperjudikan nyawa rakyat demi projek menguntungkan pihak tertentu. Isu ini juga berkait rapat dengan pembaziran, rasuah yang menghilangkan hasil petroleum negara sehingga negara terpaksa mencari industri tenaga baru bagi menggantikan petroleum.

Selain itu, isu harga barang yang melampau dan jelas regim gagal mengawal. Kesemua isu ini diangkat kerana ia mudah difahami oleh rakyat dan bersifat fundimental untuk dikongsi oleh semua gerakan progresif. Maka dengan isu ini diharapkan dapat menyatukan semua gerakan progresif dan secara tidak lansung mengenepikan isu perbezaan yang tidak menguntungkan gerakan,” jelasnya.

Tambah Chegu Bard, ABU juga tidak akan mempunyai struktur, tetapi hanya penggerak terdiri daripada organisasi atau individu sekutu yang bersama-sama dengan sentimen ABU.

Ujarnya, ABU tidak memiliki ketua, tiada hak cipta serta sesiapa sahaja bebas bergerak ke atas ABU.

“Bagi SAMM yang menjadi sekutu bersama ABU, kami tidak berminat dengan apa yang terjadi dalam mana-mana organisasi. Tanpa atau bersama Hindraf, sentimen ABU akan terus bergerak dan terlekat dihati rakyat.

Namun kami amat mengalukan Hindraf atau mana-mana organisasi atau individu yang berkongsi sentimen ini dan bergerak bersama kerana penyatuan kekuatan merupakan kelebihan dalam gerakan menumbangkan regim yang ditunjangi Umno,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, dokongan SAMM terhadap ABU bukan hanya ‘cek kosong’ kepada yang melawan Umno, tetapi berdasarkan prinsip.

“ABU ialah milik rakyat, bukan cerita siapa nak jadi wakil rakyat tetapi penyatuan kuasa rakyat melawan Umno. ABU ialah menifestasi dalam PRU akan datang dan Umno bukan sekadar berdepan dengan Pakatan Rakyat sebagai lawan politik tetapi akan berdepan sentimen rakyat ; Asalkan Bukan Umno.

Program berimej ABU juga akan terus diperhebatkan dan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.