Categories
SELANGOR

Prasarana Sukan Di Selangor Akan di Pertingkat

SHAH ALAM, 27 FEB : Infrastruktur dan prasarana sukan negeri akan dipertingkatkan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi meningkatkan mutu pencapaian atlit tempatan, ujar Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut Yunus, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 30 juta untuk infrastruktur sukan di bawah Geran Selangorku.

“Di samping dana RM 30 juta ini, kita juga akan membantu menyediakan keperluan, naik taraf atau baik-pulih kemudahan-kemudahan sukan lain yang memang sangat memerlukan.

“Bagaimanapun, dalam Geran Selangorku ada Jawantankuasa Khas untuk menilai segala permohonan dan kita akan mengutamakan keperluan yang sangat mendesak,” ulas Ahmad Yunus ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra bersama Kontinjen Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2012 bagi skuad Negeri Selangor pagi tadi.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, Kerajaan Pakatan juga melaksanakan program ‘PBT Angkat’ di mana Pihak Berkuasa Tempatan berpeluang melibatkan diri dalam usaha memajukan industri sukan tempatan.

“Program ini kita terus perbaiki daripada semasa ke semasa kerana setiap acara Sukma itu berbeza acara yang dipertandingkan.

“Jadi kita agihkan PBT secara adil dimana setiap tahun mereka akan terlibat dengan sukan tertentu untuk dibantu dari segi kemudahan termasuk prasarana, pengangkutan, kumpulan sorak dan sebagainya,” jelas Yunus sambil memuji sikap kerjasama yang baik oleh setiap PBT.

Sementara itu, Selangor mensasarkan 70 pingat emas dalam kejohan Sukma 2012 yang akan berlangsung di Kuantan, Julai ini.

“Jika tidakpun, 65 pingat emas juga akan memudahkan kita bergelar juara.

“Sekiranya kurang daripada 60 saya kira agak sukar untuk kita mengambil balik kejuaraan daripada Negeri Terengganu,” beritahu Yunus yang juga Adun Sijangkang.

Majlis Ramah Mesra yang diadakan di Bilik Seruling, Hotel Bluewave itu turut disertai wakil-wakil persatuan sukan negeri Selangor selain kehadiran Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Norzamri Ishak.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.