Categories
SELANGOR

DAM, HWR Bantu Belia Elak Gejala Sosial

PETALING JAYA, 25 MAC: Bagi membendung belia dan pelajar Taman Medan dari terjebak dalam aktiviti tidak sihat, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Medan berusaha menyediakan kemudahan bagi membolehkan golongan itu menjalankan aktiviti yang lebih berfaedah.

Usaha yang dijalankan termasuklah menyediakan kemudahan untuk belia di kawasan terbabit berkumpul sesama mereka dalam kondusi yang sihat.

Menurut Pegawai Khas Adun Taman Medan, Raja Fairuz Raja Mazlin ketika ditemui baru-baru ini, antara kemudahan untuk belia yang disediakan ialah ‘Home Work Room’ (HWR) dan Dataran Anak Muda (DAM).

“Alhamdullilah dengan usaha dan ilham YB Haniza, kita dapat laksanakan program HWR iaitu tempat pelajar sekolah boleh berkumpul di luar waktu persekolahan untuk buat kerja sekolah bersama rakan-rakan mereka.

“Selain itu ada juga di antara mereka yang buat ‘study group’ mereka di sana,” katanya kepada SelangorKini.

Kemudahan yang ditempatkan di Jalan PJS 2C/8 itu turut menyediakan kemudahan komputer dan internet bagi membolehkan pengunjung terbabit mendalami pengetahuan teknologi maklumat (IT) di situ.

“Di situ turut disediakan komputer dengan internet untuk kegunaan pelajar mendapatkan pelbagai maklumat sekaligus lebih celik IT dengan pemantauan petugas.î

Raja Fairuz juga memberitahu kemudahan yang disediakan itu mendapat sambutan baik golongan belia di kawasan tersebut.

“Sambutan memang amat baik sekali kerana boleh dikatakan setiap hari ramai anak-anak penduduk di sini yang mengunjunginya.

Satu lagi kemudahan yang disediakan, Dataran Anak Muda (DAM) turut mendapat sambutan baik dari kalangan belia Taman Medan.

Menurut Pegawai Khas yang mengendalikan kemudahan infrastruktur bagi Dun terbabit, Mohd Aries Nordin, hampir setiap petang dan malam dataran tersebut dikunjungi belia-belia untuk melakukan aktiviti riadah.

Kemudahan percuma tersebut dilengkapi gelanggang futsal, gelanggang serbaguna, gelanggang sukan ekstrem dan pentas mini.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa remaja memberitahu dengan adanya DAM, mereka dapat menghabiskan masa lapang mereka dengan beriadah dengan menggunakan gelanggang yang disediakan.

Menurut Asnan Fawaz Azman, 16, “Pada waktu petang begini dapatlah kami bermain futsal, taklah melepak tak tentu arah lagi.

“Dahulu memang jarang main futsal sebab terpaksa sewa arena yang boleh tahan juga mahalnya.

“Macam kami pelajar sekolah, manalah ada duit sangat nak sewa gelanggang, jadi duit pun boleh jimat,” beliau berkata.

Leave a Reply

Your email address will not be published.