MPAJ Perlu Bina Semula Pasar 50 Tahun Kuala Ampang

HULU KLANG, 23 MAC : Setelah lebih 12 tahun, sebuah pasar borong yang kecil dan usang akan dinaiktaraf tidak lama lagi hasil dari keprihatinan pemimpin setempat dan exco kerajaan Selangor.

Pasar Kuala Ampang, yang sudah bertapak hampir 50 tahun dan menjadi tumpuan penduduk di sini akan diubah suai dan dibina semula oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak lama lagi.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Ampang, Patrick Ang berkata, pasar borong yang menjadi tumpuan penduduk di skeitar kawasan itu hanya dinaiktaraf kali terakhir pada tahun 1980.

“Sistem dalam pasar yang tidak teratur ditambah dengan keadaan persekitaran yang kotor kerana berhampiran dengan tempat pembuangan sampah telah mencacatkan keadaan di sini.

?Terdahulu, kita telah ajukan masalah ini kepada pejabat daerah, namun difahamkan mereka tidak mempunyai tenaga pakar dan kemahiran untuk membina semula pasar tersebut.

?Walaubagaimanapun, dengan bantuan kerajaan negeri melalui Exco, Ean Yong Hian Wah, pasar ini dijamin akan diberi wajah baru dalam masa terdekat,” katanya apabila ditemui Selangorkini.

Pasar itu menempatkan kira-kira 30 peniaga yang menjual pelbagai barangan keperluan harian termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, daging ayam dan lembu. Ia juga menempatkan gerai-gerai makanan.

Pelan yang direka MPAJ bertujuan menjadikan pasar itu lebih menarik bagi memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung untuk berurus niaga.

Keadaan persekitaran yang bersih dan teratur akan menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli barang keperluan di situ, sekaligus mengekalkan tradisi pasar yang telah lama beroperasi.

Patrick juga berkata, walaupun pasar ini akan dinaik taraf, semua peniaga sedia ada akan terus kekal berniaga di tempat yang sama, malah ia akan mempunyai pelbagai kemudahan yang lebih baik.

?Saya berharap pihak MPAJ akan mengotakan janji mereka untuk membangunkan semula pasar ini kerana peniaga telah lama menunggu proses naik taraf tersebut,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.