Categories
SELANGOR

Pegawai Maklumat Distruktur Supaya Lebih Efektif

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri memutuskan untuk memberi insentif berupa elaun khas sebanyak RM500 sebulan kepada semua Pegawai Maklumat menerusi peruntukan jabatan masing-masing.

Peruntukan ini tidak membabitkan sebarang pertambahan dana tetapi melibatkan penstrukturan semula penjawatan di agensi masing-masing.

Exco Hal Ehwal Pelancongan, Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata pemberian elaun khas itu adalah memandangkan pelantikan Pegawai Maklumat ini mengakibatkan pertambahan tanggungjawab sedia ada ke atas para pegawai yang dilantik.

“Berhubung perkara ini, Pejabat Kewangan Negeri telah diminta untuk menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM162 ribu setahun bagi menampung bayaran elaun khas ini di setiap agensi di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kecuali Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun,”jelas Elizabeth.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan rakyat mencatat sejarah apabila menjadi negeri peneraju dengan meluluskan Bil Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) 2011 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Ogos 2011.

Keputusan itu berpadanan dengan warga negeri yang dahagakan ketelusan dan keterbukaan di dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Susulan daripada itu, 42 jabatan-jabatan yang terlibat, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun perlu melantik Pegawai Maklumat dari kalangan pegawai berstatus tetap yang akan diwartakan melalui Warta Kerajaan.

Kesemua pegawai yang dilantik diwajibkan menjalani kursus pemahaman Enakmen yang dilaksanakan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Selangor.

“Enakmen ini bukan sahaja penting untuk Pakatan Rakyat di Selangor, malah ia adalah untuk semua khususnya dalam politik tanah air,”jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung pelaksanaan Enakmen ini, Elizabeth berkata sehingga kini Kerajaan Pusat belum lagi mencabar enakmen ini sebagai bercanggah dengan perlembagaan seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Justeru, saya menjemput pihak pembangkang (Umno-BN Selangor) untuk menggunakan Enakmen ini untuk menyiasat Kerajaan Negeri.

“Ini kerana kebebasan maklumat ini membawa faedah kepada semua, dan kerajaan Negeri akan mempertahan kan Enakmen ini jika dicabar Kerajaan Pusat,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.