
Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail berkata, kerajaan negeri Pakatan di Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah turut melakukan perubahan di dalam tadbir urus negeri bagi pentadbiran yang adil, telus dan penuh beramanah.
“Selangor telah buktikan. Kita telah buat perubahan tersebut tuan-tuan dan puan-puan. Hari ini kita buat dalam tiga bulan bagi sambutan Hari Wanita Sedunia, kita meraikan remaja perempuan, kita meraikan wanita ladang, kita meraikan wanita orang Asal, kita meraikan suri rumah dan kita meraikan ibu tunggal. Kita meraikan seluruh wanita yang dinamakan wanita itu sendiri.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri kerana kali ini kita mahu tunjukkan perubahan yang benar-benar. Sudah cukup kepada pimpian yang korup macam (Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil).
?Kita tidak mahu pimpinan yang habiskan duit rakyat dengan cincin dan permata tuan-tuan dan puan-puan. Kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah telah tunjukkan pentadbiran kerajaan yang bersih.”
Beliau berucap di perhimpunan ?Wanita Suara Perubahan? sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Padang Astaka di sini semalam.
Seramai kira-kira 2,000 orang dari pelbagai NGO wanita dari seluruh negara hadir dalam perhimpuan tersebut.
Himpunan tersebut meyuarakan enam tuntutan iaitu pemansuhan Akta Perhimpunan Awam 2011, memberikan kualiti hidup yang lebih baik, melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil, menghentikan keganasan terhadap wanita, mengubal dasar gaji yang berpatutan bagi wanita serta memastikan kerajaan bebas daripada rasuah.
Rodziah berkata, bagi mencapai kesemua matlamat tersebut satu perubahan secara total perlu dilakukan di seluruh negara.
“Tidak cukup hanya Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan juga Kedah. Kita nak seluruh Malaysia buat perubahan,” katanya.