Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: MP, Adun PR Perlu Kenal Pasti Pengundi

PETALING JAYA, 25 APRIL: Semua Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Selangor digesa supaya bekerja dengan lebih keras bagi memastikan daftar pemilih di kawasan masing-masing berada di tahap terbaik sebelum Pilihanraya umum ke 13 (PRU-13) berlangsung bila-bila masa dari sekarang.

Ini di sebabkan terdapat banyak kes daftar pemilih bertindih dan meragukan berlaku hampir di seluruh negara terutamanya di negeri-negri yang ditadbir Pakatan Rakyat seperti di Selangor.

Gesaan ini disuarakan oleh Penganalisis Politik, Dr Ong Kian Ming yang melihat hanya pembersihan daftar pemilih yang telus mampu mengukuhkan cengkaman gabungan Pakatan di negeri ini.

“Sekarang MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan bahawa RM5 juta akan diberikan kepada adun-adun supaya boleh membersihkan daftar pengundi.

“Kalau kita ada usaha yang baik, adun dan MP seluruh Selangor menganalisa semua daftar pengundi dengan baik selain turun padang untuk melihat sendiri dimana tempat pengundi yang meragukan dan memberikan maklumat ini kepada SPR dan memaksa mereka untuk membersihkan daftar pemilih, ini dapat meningkatkan keyakinan kita untuk menang,” katanya.

Selain itu katanya, bertambahan jumlah pendaftaran pengundi baru turut memainkan peranan dan Pakatan perlu bekerja keras berhubung perkara ini memandangkan terdapat kenaikkan jumlah pengundi yang dikawasan tertentu yang dilihat mampu menggugat usaha mereka untuk mengekalkan kemenangan.

“Kita boleh lihat di beberapa kawasan dimana jumlah undi pos meningkat mendadak seperti Kota Damansara, Dun ini boleh dikatakan ‘diancam” pada perspektif Pakatan Rakyat.

“Tetapi di Dun lain seperti Subang Jaya dan Bukit Lanjan pada pandangan saya, Adun kawasan ini telah mendaftar banyak pengundi baru dan dari segi posisi mereka mungkin tidak mempunyai ancaman yang besar,” katanya

Dalam forum BERSIH 3.0 yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ, Dr Ong mendedahkan beberapa penemuan berhubung daftar pemilih yang menjadi isu hangat memandangkan terlalu banyak percanggahan kenyataan yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun beberapa bukti yang meragukan telah didehkan oleh pelbagai pihak sebelum ini.

Lebih mengecewakan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sendiri tidak hadir dalam forum ini bagi menjawab segala persoalan dan kekeliruan yang dibentangkan oleh penelis yang hadir memandangkan beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan daftar pemilih di negara ini adalah paling bersih di dunia.

Beliau menjangkakan, Pakatan Rakyat tidak menghadapi masalah bagi mengekalkan kemenangan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan selain perlu bekerja keras di Kedah dan Perak.

Ujar beliau, perkara ini bukan bermakna Pakatan boleh menarik nafas lega kerana Umno-BN akan berusaha memastikan semua negeri yang telah tewas pada PRU-12 ditakluk semula.

Dari segi keseimbangan majoriti di Selangor pula katanya, PKR mungkin akan menghadapi penurunan kerusi sementara Pas akan mengalami peningkatan kemenangan di kerusi yang mereka tandingi bagi memastikan Pakatan kekal berkuasa di Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.