Categories
SELANGOR

Grand Final Futsal Jelajah Selangor, 5 Mei

SHAH ALAM 24 APR : Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri akan menganjurkan Peringkat Akhir Kejohanan Futsal Jelajah Selangor 2012 yang menyaksikan 24 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita daripada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal berentap merebut gelaran.

Kejohanan tersebut akan berlangsung pada 5 Mei nanti bertempat di Sports Planet Ampang, Ampang Jaya.

Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata penganjuran yang masuk tahun ke-empat ini merangkumi perlawanan di peringkat PBT sebelum dua pasukan terbaik bagi setiap PBT dipilih bagi memasuki peringkat akhir.

“Bagi peringkat PBT, penganjur kejohanan ini adalah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dengan seliaan dari pihak PBT.

“Setiap pasukan bertanding dikenakan yuran sebanyak RM 100 selain sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM 10, 000 bagi setiap PBT untuk melaksanakan kejohanan tersebut,” jelas Dr. Ahmad Yunus dalam satu sidang media sebentar tadi.

Beliau turut memberitahu, beberapa perlawanan istimewa antara pasukan jemputan juga disusun pada hari tersebut.

“Antaranya kita mempunyai pasukan artis yang akan berentap dengan pasukan TVSelangor sebagai perlawanan pertunjukan.

“Selain itu, kita juga akan menjemput pasukan daripada Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan untuk memeriahkan acara,” ujar beliau lagi sambil menambah motto kejohanan pada tahun ini ialah ‘Mencari Bintang’.

Untuk peringkat PBT, setiap pasukan menerima medal dan sijil penghargaan selain Johan dan Naib Johan masing-masing menerima RM 1,000 dan RM 500.

Sementara itu, untuk Kejohanan Peringkat Akhir nanti, Johan kategori pasukan lelaki akan menerima RM 5,000 berserta medal, sijil, Piala Iringan dan Piala Pusingan.

Bagi kategori wanita pula, Johan akan membawa pulang RM 3, 000 juga bersama dengan medal, sijil, Piala Iringan dan Piala Pusingan.

Penganjuran Kejohanan Peringkat Akhir turut mendapat kerjasama dari Pasukan Bolasepak Selangor (FAS) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

Leave a Reply

Your email address will not be published.