Categories
SELANGOR SUKANKINI

Sukma 2020: Selangor sasar 45 pingat emas, 830 atlet bawa cabaran

SHAH ALAM, 29 JAN: Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai hadapan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata sasaran itu mampu direalisasikan walaupun saingan hebat bakal ditempuhi dalam edisi ke-20.

“Kita optimis untuk meraih sasaran itu walaupun cabaran sengit bakal dihadapi terutama tuan rumah, Johor. Kita lihat saingan utama turut bakal ditampilkan Terengganu.

“Acara yang kita jangka bakal menjadi penyumbang utama pingat adalah renang, gimnastik, olahraga dan boling padang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kontinjen Selangor memulakan persiapan sejak 2018 dengan memberikan tumpuan acara yang mampu menyumbang pingat di samping mendaftar 830 atlet bertanding.

“Bermula Januari adalah fasa terakhir persediaan pasukan setiap pasukan dinilai bagi mencari atlet yang layak.

“MSN sedang giat menjalankan program persediaan atlet seperti kecergasan, kejohanan pendedahan, kem motivasi, pendedahan latihan dan kejohanan di luar negara.

“Sehingga kini program latihan dan persediaan atlet berada di landasan baik untuk kontinjen terus bersaing dan menjadi pencabar utama Sukma di Johor nanti,” katanya.

Kali terakhir Selangor menjuarai Sukma pada 2016 dengan mengutip 59 emas, 73 perak dan 64 gangsa mengatasi tuan rumah Sarawak dan Terengganu.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

MSN beri insentif RM14,250 kepada atlet SOPMA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 JAN: Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menyerahkan insentif RM14,250 kepada atlet Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor atas aksi cemerlang dalam Sukan Orang Pekak Malaysia ke-19 (SOPMA XIX) Sarawak tahun lalu.

Insentif itu diserahkan Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Zubir Idrus kepada atlet bowling, lempar cakera, lompat jauh serta pasukan bola sepak dalam satu majlis minum petang di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor.

SOPMADalam kejohanan berlangsung sejak 30 September hingga 6 September 2016, Selangor mempamerkan aksi cemerlang berjaya mengutip empat emas, tiga perak dan empat gangsa untuk menduduki tempat keempat secara keseluruhan.

Dalam majlis sama, Zubir turut mengumumkan Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor kini bergabung dibawah MSN secara rasmi.

Permohonan mereka sebelum ini telah diterima sebagai ahli gabungan dan MSN akan membantu dari segi persiapan atlet bagi menghadapi kejohanan SOPMA di masa akan datang.

-nR-

Categories
SELANGOR

Grand Final Futsal Jelajah Selangor, 5 Mei

SHAH ALAM 24 APR : Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri akan menganjurkan Peringkat Akhir Kejohanan Futsal Jelajah Selangor 2012 yang menyaksikan 24 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita daripada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal berentap merebut gelaran.

Kejohanan tersebut akan berlangsung pada 5 Mei nanti bertempat di Sports Planet Ampang, Ampang Jaya.

Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata penganjuran yang masuk tahun ke-empat ini merangkumi perlawanan di peringkat PBT sebelum dua pasukan terbaik bagi setiap PBT dipilih bagi memasuki peringkat akhir.

“Bagi peringkat PBT, penganjur kejohanan ini adalah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dengan seliaan dari pihak PBT.

“Setiap pasukan bertanding dikenakan yuran sebanyak RM 100 selain sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM 10, 000 bagi setiap PBT untuk melaksanakan kejohanan tersebut,” jelas Dr. Ahmad Yunus dalam satu sidang media sebentar tadi.

Beliau turut memberitahu, beberapa perlawanan istimewa antara pasukan jemputan juga disusun pada hari tersebut.

“Antaranya kita mempunyai pasukan artis yang akan berentap dengan pasukan TVSelangor sebagai perlawanan pertunjukan.

“Selain itu, kita juga akan menjemput pasukan daripada Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan untuk memeriahkan acara,” ujar beliau lagi sambil menambah motto kejohanan pada tahun ini ialah ‘Mencari Bintang’.

Untuk peringkat PBT, setiap pasukan menerima medal dan sijil penghargaan selain Johan dan Naib Johan masing-masing menerima RM 1,000 dan RM 500.

Sementara itu, untuk Kejohanan Peringkat Akhir nanti, Johan kategori pasukan lelaki akan menerima RM 5,000 berserta medal, sijil, Piala Iringan dan Piala Pusingan.

Bagi kategori wanita pula, Johan akan membawa pulang RM 3, 000 juga bersama dengan medal, sijil, Piala Iringan dan Piala Pusingan.

Penganjuran Kejohanan Peringkat Akhir turut mendapat kerjasama dari Pasukan Bolasepak Selangor (FAS) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).