Categories
SELANGOR

Penantian Hampir 30 Tahun Penduduk Bukit Botak Memiliki Rumah Berakhir

SELAYANG, 21 APR : Kegembiraan Husin Morat, 60, jelas kelihatan apabila beliau ditanya mengenai rumah baru di Bukit Botak yang sudah berdekad-dekad dinantikan.

“Sekarang dengan adanya kerajaan baru (Pakatan Rakyat) di Selangor, Alhamdulilah dan syukur serta lega dengan adanya rumah ini.

?Sebab kalau sekarang hendak menyewa kosnya pun tinggi yang sekurang-kurangnya antara RM400 sehingga RM500 sebulan, jadi mana nak sanggup.

?Sebab itu saya bekerja sekarang ini untuk menampung sewa rumah,? kata Husin yang bekerja sebagai pegawai keselamatan dan mempunyai tujuh orang anak.

Sebagai tanda kesyukuran, beliau berhajat untuk mengadakan kenduri doa selamat bagi meraikan kediaman barunya nanti.

Husin adalah antara 707 peneroka bandar yang dijanjikan tanah di dalam skim penempatan semula Bukit Botak oleh Kerajaan Selangor Umno-BN pada 1985.

Tanah Bukit Botak diambil oleh Kerajaan Umno-BN dan diberi kepada pemaju swasta untuk membina skim perumahan swasta.

Sebagai ganti rugi, peneroka tersebut dijanjikan rumah.

Walaubagaimana pun, sehingga tahun 2008, pemaju itu gagal berbuat demikian sehingga kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa mengambil alih projek tersebut.

Projek tersebut diberi kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kesemua 1,422 unit kediaman berkembar di situ bakal disiapkan sepenuhnya pada Disember tahun ini.

Semalam, 707 peserta skim penempatan itu mengambil bahagian dalam cabutan untuk menentukan nombor rumah mereka.

Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Seorang lagi peneroka, Mat Johari Saad, 65, berkata beliau menunggu sejak sekian lama dan begitu teruja untuk melangkahkan kaki di rumah barunya.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana telah berjaya rumah di sini,” katanya.

Sentimen itu diulangi Supangah Idris, 74, yang menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri yang berjaya melaksanakan projek terbengkalai yang sudah memakan jangka masa yang lama.

“Lebih 30 tahun saya menunggu untuk mendapatkan rumah ini, Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah.

?Saya sudah berumur lebih 70 tahun dan rumah yang akan diduduki nanti bakal diwariskan kepada anak-anak saya,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata penyelesaian projek Bukit Botak menunjukkan Kerajaan Selangor komited terhadap masalah perumahan terbengkalai.

“Projek perumahan Bukit Botak ini satu contoh yang mana PKNS dapat melaksanakan satu program untuk menyelesaikan masalah peneroka dengan cara yang terbaik dan membina satu penempatan yang mempunyai pelbagai kemudahan,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid turut mengkritik tangapan yang Umno-BN boleh menurunkan harga rumah tersebut kepada RM70,000 jika gagasan itu kembali memerintah Selangor.

“Untuk nilai yang rendah, maka rumah itu tidak akan sampai kepada satu generasi dari segi jangka hayatnya,” kata beliau.

Pengurus Besar PKNS Othman Omar pula berkata syarikat itu telah membelanjakan RM79.6 juta dalam bentuk subsidi agar rumah-rumah tersebut boleh ditawarkan dengan harga yang rendah.

“Ia adalah satu tanggungjawab sosial korporat PKNS bagi melancarkan lagi pembangunan projek ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri Selangor.”

Rumah yang ditawarkan pada harga RM99,000 mempunyai keluasan lantai 850 kaki persegi dan dilengkapi 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

PKNS sebagai pemaju projek turut menyediakan sebuah tapak tadika dan kawasan lapang untuk rekreasi.

Turut hadir di majlis undian itu, Exco Perumahan,Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, MP Gombak, Azmin Ali, MP Selayang ,William Leong, Adun Batu Caves,Amiruddin Shari dan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor Datin Paduka Alinah Ahmad.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.