Categories
SELANGOR

Rakyat Terharu, Masalah Diaju Terus Kepada Menteri Besar

HULU SELANGOR, 27 APR: Terharu, gembira dan ada juga yang sampai beralih sokongan politik mereka.

Begitulah reaksi orang awam yang sempat menemui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan exco Kerajaan Selangor hari ini pada Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) di sini.

Rata-rata mereka yang ditemui berpuas hati apabila masalah yang dihadapi mereka dapat diajukan terus kepada pegawai paling tertinggi di Selangor dan usaha ini bukti kesungguhan kerajaan negeri ini untuk membantu rakyat.

Mereka ini seperti Rokiah Ahmad, 59, dari Kampung Seri Geriang yang datang ke di sini untuk mengadu tentang masalah sistem perparitan di rumahnya.

“Selama mak cik hidup 59 tahun ni, hari ini betul-betul melegakan mak cik sampai rasa macam dah tak payah makan ubat darah tinggi sebab inilah ubat paling mujarab sekali.

“Betul, hari ini cukup menggembirakan mak cik sampai susah nak cakap, lebih-lebih lagi (Exco Selangor) YB Rodziah Ismail sendiri nak datang tengok rumah mak cik tengahari nanti.

“Tekanan yang mak cik hadapi selama ini dah dapat diluahkan hari ini. Kerajaan seperti inilah yang kita mahukan, berusaha sungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

“Dahulu mak cik juga orang ‘sebelah sana’ tapi sekarang dah tua-tua ni lebih suka tengok warna lembut biru muda dari warna biru tua atau merah yang nampak garang,” ujar ibu tunggal itu lagi sambil menyeka air matanya.

Bermula dari jam 9 pagi hingga ke 12.30 tengah hari orang awam tidak putus putus datang ke sebuah meja di dalam Dewan Serbaguna Sekolah Sungai Selisek yang diduduki Abdul Khalid dan pegawai Kerajaan Selangor.

Dianggarkan seramai 500 penduduk setempat telah hadir ke program tersebut dan kira-kira lebih 100 masalah penduduk dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri.

Ketua Kampung Desa Maju Sungai Tengi, Selamat Rakio, 65, memberitahu, program yang berkonsepkan pejabat turun kepada rakyat ini harus diteruskan pada masa hadapan.

“Perasaan saya bercampur-campur, terharu, gembira sebab program seperti ini kita orang di bawah ini dapat cakap sendiri masalah dengan MB.

“Ini amatlah baik sebab rakyat tak payah pergi ke pejabat-pejabat kerajaan tetapi MB, exco-exco dan agensi kerajaan sendiri yang turun jumpa rakyat.

“Dahulu memang tak ada. Nak jumpa MB atau exco cukup susah, nak buat temujanji dahulu, tetapi itu pun belum ada jaminan dapat jumpa,” kata Selamat.

Rakio turut memberitahu, Abdul Khalid memberikan jaminan untuk mencari peruntukan bagi membina masjid di Kampung Desa Maju.

“Tanah dah ada sebab kerajaan negeri dah luluskan tanah, tetapi pembinaannya tertangguh sebab bila pihak lain yang berjanji nak beri peruntukan tak jadi nak beri.

“Jadi, syukur sebab kerajaan negeri pun dah cakap tadi akan beri keutamaan  projek buat masjid ini dahulu, dah setuju nak beri peruntukan bina masjid,” katanya.

Selain itu, Kerajaan negeri juga telah memberi jaminan akan menyelesaikan masalah perumahan generasi ke dua felda di dalam kawasan Kampung Desa Maju.

Tarmizi Karim, 57, pula berpendapat masyarakat haruslah mengambil kesempatan yang diberikan oleh kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Saya sendiri tadi dah ketengahkan masalah permohonan tanah kepada MB dan nampaknya walau ada beberapa masalah berbangkit tapi MB dah jelaskan polisi kerajaan negeri dan saya puas hati,” beritahu Tarmizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.