Categories
NASIONAL

MB: Tubuh Jawatankuasa Bebas Selesai Isu Padang PKNS

SHAH ALAM 31 MEI : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyelesaikan isu padang kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan diwakili panel bebas daripada kumpulan profesional.

Katanya, panel itu bukan terdiri daripada orang yang bekerja dengan Kerajaan Negeri atau negara bagi menyiasat percanggahan perkara itu.

Sebelum ini, isu terbabit dibangkitkan apabila padang PKNS di SS7 Kelana Jaya berhampiran dengan Lebuhraya Damansara Puchong itu ingin dimajukan oleh PKNS dengan projek komersial.

Hal itu menyebabkan penduduk membantah pembangunan itu kerana kawasan itu diwartakan sebagai kawasan hijau.

Bagaimanapun, semalam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan mengakui terdapat kesilapan cetak oleh MBPJ dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya(RTPJ2).

Oleh itu, Roslan memaklumkan pihaknya akan mengikut buku yang dicetak oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).

Malah, Roslan memutuskan kawasan itu kekal sebagai kawasan rekreasi.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri perlu mengadili perkara itu dengan adil sama ada ia benar atau tidak.

“Kalau ia disalah cetak, Kerajaan Negeri mesti mengadilinya dengan baik dan JPBD dan MBPJ mesti mengemukakan perkara-perkara yang menyebabkan terdapatnya perbezaan itu.

“Saya tidak akan menghalang sekiranya mana-mana pihak yang betul dan saya juga tidak akan membetulkan benda yang salah tetapi ia mesti dibawa ke pengadilan serta perkara ini perlu dikaji semula,” katanya ketika ditemui di Himpunan Pekerja Selangor di Kompleks Belia, Seksyen 7, di sini.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi peluang dan ruang kepada PKNS, JPBD dan MBPJ untuk menyelesaikan perkara itu.

Baru-baru ini, penduduk SS7 membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya berikutan penemuan dua buah buku RTPJ2 yang mempunyai fakta berbeza tetang status tanah kompleks berkenaan.

Berhubung laporan itu, Abdul Khalid berkata penduduk boleh menghantar laporan itu kepada SPRM dan SPRM juga berhak untuk meneliti laporan itu.

“SPRM boleh melihat dan mencari perkara-perkara yang dianggap salah guna kuasa ataupun rasuah, saya juga sentiasa menggalakkannya dalam usaha kita membanteras rasuah dan salah guna kuasa dan maklumat yang diberikan itu adalah sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mahu isu itu disiasat oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Leave a Reply

Your email address will not be published.