Categories
NASIONAL

PKR Desak Polis Segera Siasat Penyebaran Fitnah

PETALING JAYA, 4 MEI : Pimpinan PKR Peringkat Negeri mendesak pihak polis segera menjalankan siasatan terhadap individu bertanggungjawab yang menyebarkan gambar fitnah YANG yang cuba dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di media cetak, media elektronik dan blog baru-baru ini.

MP Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata, tindakan media pro Umno-BN yang menyiarkan gambar lucah didakwa mirip MP Gombak itu disifatkan sebagai satu jenayah serius yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, tohmahan jahat yang dilakukan kerajaan Umno-BN itu adalah percubaan bersiri untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat (PR), apatah lagi tatkala pimpinan Umno-BN gagal menjawab isu kepentingan rakyat antaranya National Feedlot Corporation (NFC) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan Umno-BN sengaja mengalihkan pandangan rakyat daripada isu korupsi dan salah laku mereka. Isu gambar yang didakwa sebagai Azmin oleh media pro Umno-BN boleh disifatkan sebagai cubaan niat jahat politik untuk menjatuhkan kredibiliti pimpinan kanan PR.

Kita juga menolak keras dan mengecam politik fitnah serta tuduhan jahat media pro Umno-BN terhadap Azmin Ali atas tuduhan kononnya beliau terlibat dalam adegan lucah yang sudah dipaparkan dengan cara tidak bermoral dan tidak bermaruah oleh beberapa media cetak dan elektronik,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Umno-BN yang menggunakan media kawalan mereka sebagai agen penyebaran gambar fitnah berbanding membuat laporan polis jika benar wujud dakwaan tersebut.

Tambahnya, tindakan itu sekaligus mengesahkan niat jahat politik secara terancang melalui media arus perdana dalam cubaan mengaibkan pimpinan PR.

“Kebangkitan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 telah mempercepatkan penyebaran imej lucah Azmin dalam media Umno-BN bagi memperlahankan momentum sokongan rakyat terhadap PR.

Ternyata tindakan ini gagal kerana golongan muda semakin meluat dengan politik lucah tajaan pro Umno-BN berbanding politik fakta, hujah dan pelaksanaan kebajikan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Sehubungan itu, kami mendesak agar pihak-pihak yang membuat tuduhan dan menyiarkan gambar tersebut untuk meminta maaf dengan kadar segera,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.