Categories
SELANGOR

Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor Catat Peningkatan Pendapatan Lebih 37%

SHAH ALAM, 11 JUL : Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, di sini mencatat peningkatan pendapatan lebih 37 peratus sejak Januari hingga Jun 2012 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pada tahun 2011, kompleks itu memperoleh pendapatan sejumlah RM319,845, manakala tahun ini bertambah sebanyak RM439,648.

Menurutnya, peningkatan itu juga sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa prestasi kompleks kian merosot.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri menerima respon positif daripada penyewa dan pelanggan yang rata-ratanya berpuas hati dengan perkhidmatan di situ.

“Sehubungan itu, dakwaan yang mengatakan kompleks kian tidak terurus saya kira tidak tepat kerana kita lihat pengunjung atau penyewa semakin bertambah,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian bagi menjawab soalan Shuhaimi Shafiei (PKR-Sri Muda) berhubung pengurusan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor setakat ini.

Beliau berkata, kompleks itu diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Holdings, iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) sejak Januari 2012.

Tambahnya, MSNS Holdings turut bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kompleks itu.

“MSNS Holdings amat peka dan sensitif terhadap maklum balas pelanggan kerana menjadi matlamat Kerajaan Negeri untuk memastikan pelanggan berpuas hati terhadap perkhidmatan yang disediakan,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.