Categories
AGENSI SELANGOR

MBI sumbang tablet kepada lapan beradik yatim piatu

BUKIT BERUNTUNG, 22 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang empat tablet kepada lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 minggu lalu.

Ketua tanggungjawab sosial koporatnya (CSR) berkata peranti berkenaan dapat memudahkan  proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Semalam penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali serah dua komputer riba jadi hari ini kita serahkan empat tablet bagi membantu aspek pendidikan mereka.

“Penyelaras DUN juga akan menaja bayaran rangkaian internet sedia ada di rumah mereka sehingga hujung tahun ini,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Terdahulu beliau melawat Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, serta tujuh adiknya yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Noraini Ibrahim 43 dan Benyajeed Bernie,45, meninggal dunia pada 16 dan 18 Julai akibat Covid-19.

Ahmad Azri berkata enam daripada mereka yang masing-masing belajar di peringkat rendah, menengah serta pusat pengajian tinggi juga bakal menerima kad sim Data Internet Selangor selama setahun bermula Oktober.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program Data Internet Selangor dengan peruntukan RM17.5 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Tawaran produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa RM35 sebulan akan diberi subsidi RM20 oleh MBI untuk tempoh 12 bulan.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI lantik Norita sebagai CEO baharu

SHAH ALAM, 3 OGOS: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Norita Mohd Sidek dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang baharu.

Menurut MBI pelantikan Norita, 60, berkuat kuasa hari ini menggantikan Raja Shahreen Raja Othman yang tamat kontrak pada 30 November 2019.

“Seluruh warga kerja MBI Selangor mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Puan Hajah Norita Mohd Sidek di atas pelantikan selaku Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor yang baharu,” katanya melalui Facebook hari ini.

Norita berpengalaman luas dalam bidang pengurusan perancangan industri termasuk institusi kerajaan, perhubungan awam, hartanah dan hal ehwal korporat berkhidmat lebih 30 tahun bersama PKNS.

Categories
NASIONAL

MCA Boleh Terus Pertikai Isu Talam

SHAH ALAM, 11 JUL : MCA boleh terus mengkritik penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (Talam) meskipun Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan fakta sebenar.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan saman terhadap MCA berhubung kes itu.

“MCA boleh teruskan bercakap sekiranya ada isu mengenai Talam. Kerajaan Negeri memang menunggu fakta ‘bernas’ daripada MCA,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dalam sidang media itu, Abdul Khalid secara sinis memerli MCA : “Sekiranya ada RM1 bilion (hutang), baguslah untuk Perbadanan Menteri Besar (MBI)”.

Sebelum ini, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa penstrukturan hutang Talam dan kerajaan Selangor membabitkan transaksi berjumlah RM 1 bilion, sekalipun jumlah hutang hanya RM392 juta.

Akan tetapi sehingga hari ini Tee Yong, tidak kemukan bukti untuk menyokong dakwaan RM 1 billion itu.

Selepas, dibidas DAP dan Pas, Tee Yong pula mendakwa Kerajaan Negeri telah membeli tanah  2,263 ekar di Bestari Jaya daripada Talam dengan harga RM 42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Categories
SELANGOR

Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor Catat Peningkatan Pendapatan Lebih 37%

SHAH ALAM, 11 JUL : Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, di sini mencatat peningkatan pendapatan lebih 37 peratus sejak Januari hingga Jun 2012 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pada tahun 2011, kompleks itu memperoleh pendapatan sejumlah RM319,845, manakala tahun ini bertambah sebanyak RM439,648.

Menurutnya, peningkatan itu juga sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa prestasi kompleks kian merosot.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri menerima respon positif daripada penyewa dan pelanggan yang rata-ratanya berpuas hati dengan perkhidmatan di situ.

“Sehubungan itu, dakwaan yang mengatakan kompleks kian tidak terurus saya kira tidak tepat kerana kita lihat pengunjung atau penyewa semakin bertambah,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian bagi menjawab soalan Shuhaimi Shafiei (PKR-Sri Muda) berhubung pengurusan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor setakat ini.

Beliau berkata, kompleks itu diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Holdings, iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) sejak Januari 2012.

Tambahnya, MSNS Holdings turut bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kompleks itu.

“MSNS Holdings amat peka dan sensitif terhadap maklum balas pelanggan kerana menjadi matlamat Kerajaan Negeri untuk memastikan pelanggan berpuas hati terhadap perkhidmatan yang disediakan,” jelasnya.