Categories
NASIONAL

MB: Isu Talam, MCA Cari Publisiti Murahan

SHAH ALAM, 23 JUL : Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan dakwaan MCA berhubung isu Talam Corporation Bhd (Talam) sebagai sengaja mencari publisiti murahan kerana ia tidak berasaskan fakta.

Ini kerana menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kenyataan yang dikeluarkan MCA seringkali berubah dan dengan jelas sengaja memburukkan imej Kerajaan Negeri.

Beliau dalam nada sinis turut mempersoalkan tindakan MCA yang hanya membuat penyelidikan ke atas akaun Talam, tanpa mahu mengkaji salah guna kuasa yang pernah dilakukan pimpinan Umno-BN sebelum ini.

“Fakta yang dikeluarkan MCA selalu berubah dan tidak konsisten. Kenyataan berhubung penyelewengan RM1 bilion itu juga sudah tiada, malah mula menurun.

“Sepatutnya MCA memberitahu kita berapa lagi hutang yang tidak dikutip kerana itu yang kita mahu. Saya ingin tahu berapa banyak lagi penyelidikan yang MCA boleh buat termasuk salah guna kuasa pemimpin Umno-BN dahulu,” katanya.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses menyiapkan laporan lengkap berhubung isu Talam sebelum dibentangkan pada Belanjawan 2013 pada November nanti.

Sebelum ini, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Selangor menggunakan sejumlah wang untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam.

Namun, pada hari sama Tee Yong turut menyatakan bahawa Selangor menggunakan lebih RM260 juta untuk menyelamatkan syarikat itu melalui proses perakaunan rumit.

Beliau mendakwa, Pakatan Rakyat tidak menjelaskan perkara sebenar berhubung usaha memungut hutang melibatkan Talam sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.