Categories
NASIONAL

Pelan Strategik LPHS Di Lancar

SHAH ALAM, 23 JUL : Dalam usaha memastikan pembangunan mampan dari sektor perumahan dan hartanah, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengambil pendekatan dengan melancarkan Pelan Strategik LPHS meliputi tahun 2012 hingga 2022.

Pelan strategik yang dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Jubli Perak pagi tadi bertujuan menggariskan hala tuju dan menetapkan matlamat jangka panjang organisasi itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut Abdul Khalid, pelan itu turut merangkumi tugas dan visi LPHS yang memfokuskan kepada usaha untuk memastikan rakyat Selangor diberi kesempatan saksama memiliki kediaman sendiri.

“Rancangan kita ialah untuk mempunyai program kediaman bagi semua rakyat. Konsep yang kita perkenalkan merangkumi konsep kekeluargaan di mana semua orang diberi peluang untuk memiliki kediaman.

“Oleh itu, kita sentiasa galakkan golongan kurang berkemampuan untuk mendaftar di bawah skim rumah kos rendah supaya keutamaan boleh diberikan kepada mereka yang berkelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan SUK di sini hari ini.

Selain pelancaran pelan strategik, Abdul Khalid turut merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-55.

Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim, Ketua Pengarah Eksekutif LPHS, Datin Padukan Alinah Ahmad dan ahli Exco Selangor.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga kini dalam usaha membantu para pembeli projek perumahan terbengkalai untuk mendapatkan semula hak mereka.

Jelasnya, projek itu meliputi Bukit Botak, Taman Alam Perdana di Kuala Selangor dan Kampung Berembang Indah, Ampang.

“Program setinggan sifar pada zaman BN bukan bertujuan menyelesaikan masalah perumahan setinggan atau peneroka bandar tetapi mengaut keuntungan.

“Akibatnya banyak projek perumahan terbengkalai dan disiapkan tidak ikut spesifikasi menyebabkan kehidupan peneroka bandar tidak berubah,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.