Categories
NASIONAL

SAMM Cadang Boikot Sambutan Kemerdekaan Ke-55

SHAH ALAM, 27 JULAI : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyeru warga Malaysia terutama anak muda dan rakyat prihatin supaya memboikot sambutan kemerdekaan ke 55 tahun ini yang menjadi medan politik kepartian regim Umno-BN dengan menampilkan tema “Janji Ditepati”.

Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard berkata, pihaknya membuat cadangan itu berikutan sambutan Hari Kemerdekaan kali ini telah dicemari oleh kepentingan politik kepartian yang melampau buat pertama kali dalam sejarah negara.

Menurutnya, tema “Janji Ditepati” yang diambil daripada tema jelajah Umno-BN dilihat SAMM sebagai sangat keterlaluan maka adalah lebih baik sekiranya regim tersebut terus menggunakan tema “Undilah BN” sempena menghampiri tempoh matang bagi Parlimen dibubarkan dan seterusnya Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) dijalankan.

“Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan sepatutnya disambut oleh semua rakyat dalam negara ini merentasi batasan agama dan bangsa, apatah lagi warna kepartian. Namun sambutan tahun ini begitu memualkan apabila regim Umno-BN yang telah benar-benar terdesak melacurinya dengan menjadikan sambutan sebagai pentas kempen dengan tema kepartian. Bagi SAMM, ini semakin melengkapkan syarat kejatuhan sesebuah regim.

“Hari bersejarah negara ini ukan untuk disambut oleh segelintir penyokong sesebuah parti. Maka Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan) harus menerajui rakyat bertindak keras di atas kecelaruan yang ditimbulkan regim Umno-BN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Badrul Hisham berkata, SAMM juga menyeru kepada semua negeri Pakatan supaya sambutan hari kebangsaan dengan tema dan logo mengarut itu tidak dibenarkan dan ia seharusnya seharusnya diwarnakan semula dengan lebih murni dan patriotik.

Beliau menambah, selama ini juga sambutan Hari Kebangsaan disadur dengan sejarah kemerdekaan separuh masak yang hanya menampilkan tokoh Umno-BN sedangkan sejarah menuntut kemerdekaan itu berlaku jauh lebih awal sebelum wujudnya parti tersebut.

“Malangnya hanya Umno wujud dalam sejarah jasa negara sedangkan banyak bukti persekongkolan Umno dengan penjajah British dan pihak yang jelas melawan dengan garis keras dilihat penjenayah dalam sejarah. Kini pula keadaan menjadi lebih parah apabila sambutan kemerdekaan itu dihiasi dengan tema syok sendiri dan logo sampah,” katanya lagi.

Katanya, jika kecelaruan dan pencabulan Hari Kebangsaan dibenarkan berlaku pada tahun ini maka yakinlah ia akan menjadi tradisi dan amat tidak baik bagi semangat pembinaan negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.