Categories
SELANGOR

Selangor Tingkatkan Undang-Undang Keselamatan PBT

 

SHAH ALAM 27 JUL : Demi menjamin keselamatan awam, Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah reaktif dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui penyediaan undang-undang kecil di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail dalam satu kenyataan medianya, undang-undang kecil itu antara lain perlu meliputi penyediaan kawasan letak kereta wanita di kompleks-kompleks dengan Kamera Litar Tertutup (CCTV) lengkap selain pencahayaan baik di tempat-tempat awam.

“Usaha-usaha reaktif ini harus dilihat sebagai usaha keseluruhan Kerajaan Negeri dalam menangani permasalahan keselamatan awam.

“Ia melibatkan gerakan advokasi mengenai isu-isu berbangkit, pengemaskinian undang-undang dan pendakwaan, perlindungan mangsa, kepekaan gender dan mekanisme ampuh serta bebas mengendalikan aduan awam terhadap pihak penguatkuasa,” jelasnya.

Beliau menambah, keberkesanan menangani masalah keselamatan awam juga berkait rapat dengan gerak kerja bersistem dan selaras di antara Kerajaan Negeri dengan jentera penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Imigresen.

“Ia harus dilaksanakan menerusi mandat yang secukupnya, khususnya dalam perlindungan mangsa dan akses terhadap mereka, perkongsian maklumat yang sepenuhnya, serta usaha-usaha pengagihan jentera penguatkuasa yang diselaraskan.

“Dengan itu, ia akan benar-benar menurunkan kadar jenayah dan menjamin keselamatan rakyat umum secara meluas dan menjadikan ia norma dalam kualiti kehidupan masyarakat,” tegas beliau lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan hebahan Menteri Dalam Negeri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bantu Mangsa Jenayah seperti dilaporkan media.

“Moga ia dapat dilaksanakan segera dengan pelan tindakan yang jelas meliputi semua jenis jenayah termasuk pemerdagangan manusia,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.