SELCAT Cadang Pendengaran Awam Isu Talam


SHAH ALAM, 9 JULAI : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan (Selcat) akan memanggil sesi pendengaran awam berhubung isu Talam Corporation Berhad (Talam) jika badan tersebut tidak berpuashati dengan penjelasan daripada Kerajaan Negeri.

Ini berikutan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata beliau tidak akan membuat penjelasan mengenai isu tersebut di dalam sesi Dewan Negeri Selangor yang bermula hari ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) merangkap Pengerusi Selcat, Datuk Teng Chang Kim berkata pihaknya akan meneliti kenyataan yang akan dibuat Abdul Khalid sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Menteri Besar menjelaskan perkara itu dalam sesi penggulungan sidang DNS kali ini.

“Menteri Besar perlu mengambil peluang dengan memberikan penjelasan berhubung dakwaan penyelewengan yang wujud dalam penstrukturan hutang Talam.

“Maka dengan ini kita akan menelitinya dan jika ahli jawatankuasa Selcat berpuashati dengan kenyataannya maka tiada tindakan lanjut.

?Kalau tidak berpuashati maka kita akan memanggil sesi pendengaran,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata beliau hanya akan mengulas isu kutipan hutang Talam selepas MCA menjelaskan dakwaan mereka terdapat transaksi meragukan di dalam isu Talam berjumlah RM1 bilion.

Dakwaan tersebut dibuat Selasa lalu, oleh Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong walaupun jumlah hutang Talam hanya RM392 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published.