Categories
SELANGOR

Selangor Buktikan Ketelusan, Beri Rakyat Akses Kertas Putih Talam, Status Penyusunan Air

SHAH ALAM, 20 NOV: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi membuktikan ketelusan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat dengan mendedahkan dua dokumen berkaitan dua isu yang menjadi bahan polemik Umno-BN.

Dokumen terbabit adalah Kertas Putih berhubung proses kutipan hutang syarikat Talam Corporation Bhd bernilai RM 392 juta yang diabaikan pentadbiran Umno-BN dahulu.

Selain itu, turut didedahkan kepada masyarakat umum, laporan status penstrukturan semula industri air Selangor.

Dua dokumen tersebut boleh diakses di laman web rasmi Kerajaan Negeri dan laman web Media Selangorku bermula esok.

Demikian menurut Abdul Khalid dalam sidang medianya di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Abdul Khalid memberitahu langkah tersebut diambil agar rakyat Selangor mengetahui situasi sebenar berkaitan dua isu itu.

“Laporan penuh (firma audit) KPMG serta dokumen berkaitan kutipan hutang yang dalam simpanan Pejabat DNS juga boleh disemak oleh orang awam tertakluk kepada prosedur di bawah Akta Kebebasan Maklumat.

“Kita (juga) menjelaskan komitmen kerajaan negeri semenjak 2008 untuk ambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putra Jaya mendapat perkhidmatan air yang cekap pada kadar tarif yang munasabah,” kata beliau.

Abdul Khalid memberitahu antara dokumen yang didedahkan termasuklah semua surat menyurat di antara Kerajaan Negeri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkenaan usaha pengambilalihan pengurusan air oleh Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid turut menambah, menerusi dokumen tersebut, rakyat akan memahami pendirian Kerajaan Pusat yang tidak berminat menjaga kebajikan rakyat sebaliknya lebih mengutamakan syarikat konsesi yang sudah terbukti adalah kroni Umno.

Lampiran:

Kertas Putih – Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air

SELCAT Cadang Pendengaran Awam Isu Talam


SHAH ALAM, 9 JULAI : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan (Selcat) akan memanggil sesi pendengaran awam berhubung isu Talam Corporation Berhad (Talam) jika badan tersebut tidak berpuashati dengan penjelasan daripada Kerajaan Negeri.

Ini berikutan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata beliau tidak akan membuat penjelasan mengenai isu tersebut di dalam sesi Dewan Negeri Selangor yang bermula hari ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) merangkap Pengerusi Selcat, Datuk Teng Chang Kim berkata pihaknya akan meneliti kenyataan yang akan dibuat Abdul Khalid sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Menteri Besar menjelaskan perkara itu dalam sesi penggulungan sidang DNS kali ini.

“Menteri Besar perlu mengambil peluang dengan memberikan penjelasan berhubung dakwaan penyelewengan yang wujud dalam penstrukturan hutang Talam.

“Maka dengan ini kita akan menelitinya dan jika ahli jawatankuasa Selcat berpuashati dengan kenyataannya maka tiada tindakan lanjut.

?Kalau tidak berpuashati maka kita akan memanggil sesi pendengaran,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata beliau hanya akan mengulas isu kutipan hutang Talam selepas MCA menjelaskan dakwaan mereka terdapat transaksi meragukan di dalam isu Talam berjumlah RM1 bilion.

Dakwaan tersebut dibuat Selasa lalu, oleh Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong walaupun jumlah hutang Talam hanya RM392 juta.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Akan Jumpa Kerajaan Pusat Bincang Peruntukan Pembangunan

GOMBAK, 7 JULAI : Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan khas dengan kerajaan pusat dengan harapan pusat dapat menambah peruntukan ke negeri untuk tujuan pembangunan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor menyumbang kira-kira 23 peratus kepada jumlah pendapatan negara namun kerajaan pusat hanya mengembalikan kepada kerajaan Selangor kira -kira tiga peratus dalam bentuk pembangunan.

“Saya ingin bertemu dengan kerajaan pusat untuk mengingatkan mereka bahawa setiap pembangunan Malaysia adalah sumbangan dari negeri Selangor yang sangat besar.?

Abdul Khalid berkata, peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan pusat itu penting untuk pembangunan Selangor.

Beliau menambah, Geran Selangorku adalah bonus kepada rakyat Selangor hasil keuntungan anak syarikat dan kutipan hutang daripada Talam Corporation Bhd.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab dengan penggunaan dana kerajaan, semua rakyat Selangor mesti merasai pembangunan di negeri ini,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini.

Turut hadir Exco-exco Selangor, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Adun Batu Caves, Amiruddin Saari.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala berkata MPS menjangka akan mendapat cukai taksiran sebanyak RM 50 juta untuk 2012.

“Kawasan industri akan dibangunkan di Selayang dengan nilai pembangunan kira-kira RM 10 bilion yang akan menjana pembangunan ekonomi di kawasan MPS ini,” katanya.

Tambah beliau, MPS akan membangunkan produk pelancongan di Selayang seperti Batu Caves, Taman Rimba Templer dan Batu Arang bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Batu Arang akan diwartakan sebagai kawasan pelancongan yang telah berumur 100 tahun,” katanya.