Categories
NASIONAL

Tangani Kebimbangan Sebenar Jenayah, Saran Dr Wan Azizah

PETALING JAYA 13 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menangani kebimbangan sebenar berhubung ke mana hilangnya 71 peratus kos mengurus persepsi awam hasil dari peruntukan Program Tranformasi Kerajaan(GTP).

Perkara ini disaran oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil membidas kenyataan yang mengelirukan seperti yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Sebelum ini Pengarah Pencegahan Jenayah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) PEMANDU, Eugene Teh Yee mengatakan hanya 0.75 peratus daripada dana GTP dibelanjakan untuk aktiviti ini.

“Jawapan PEMANDU adalah salah, dengan menonjolkan angka 0.75 peratus tanpa mendedahkan perbelanjaan penuh, menjalankan ‘nitpicking’ dan bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar,”ujar Dr Wan Azizah.

Wan Azizah menambah PEMANDU jelas memilih untuk menyerlahkan perkara ini dalam kes perhubungan awam dan bukannya menangani masalah sebenar.

Selasa lalu, Dr Wan Azizah mempertikai kerajaan kerana membelanjakan RM170 juta dengan cara salah hanya untuk membetulkan persepsi orang awam terhadap polis.

Tambahnya, perbelanjaan daripada belanjawan NKRA tahun 2012 adalah untuk mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.

“Jika PEMANDU mahu ‘nitpick’ pada istilah perhubungan awam, sudah tentu matlamat meningkatkan kepuasan awam terhadap polis harus jatuh dibawah definisi mereka sendiri.

“Belanjawan yang diperuntukkan untuk mencapai matlamat itu ialah RM27 juta yang merupakan 11.25 peratus daripada belanjawan pengurusan NKRA,”jelas Dr Wan Azizah.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini beliau mengingatkan kepimpinan Perdana Menteri bahawa rakyat menuntut tindakan ke atas jenayah dan bukannya pengurusan persepsi.

“Malah bekas KPN(Tan Sri Musa Hassan) pernah berkata bahawa kepimpinan Najib menyembunyikan fakta daripada pengetahuan orang ramai berhubung kadar jenayah di negara ini sebaliknya menyatakan keselamatan awam kini mencapai peringkat yang membimbangkan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.