Categories
NASIONAL

Tawan Selangor : MPN Beri Harapan Palsu kepada Umno-BN

SHAH ALAM 30 JULAI : Hasil kedua-dua kajian yang dibuat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengatakan bahawa Selangor akan jatuh ke tangan Umno-BN dilihat hanya memberi harapan palsu kepada Umno-BN.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafei berkata setiap hasil kajian dan rumusan itu hanya sebagai ‘info’ umum kepada rakyat.

Katanya, Umno-BN boleh memberi saingan sengit kepada Pakatan Rakyat bagaimanapun mereka mungkin akan kehilangan kuasa untuk memerintah di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Beliau berkata harapan palsu itu akan membuatkan Umno-BN mengambil serius sehingga lupa pepatah ‘yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran’.

“Apa juga rumusan ia hanya sebagai info umum yang penting kita ada data berkenaan kelebihan dan kekurangan kedua-dua pihak.

“Hanya kami yang lebih mengetahui sama ada mereka (Umno-BN) mampu untuk merampas Selangor atau tidak. Ia satu perkara yang tidak berbaloi kepada MPN dan UKM yang memberikan harapan palsu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Jelas Shuhaimi, terdapat beberapa perkara yang mungkin terlepas pandang dalam kajian itu antaranya orang yang terlibat dalam kajian itu dan ‘mood’ mengundi.

“Jika dilihat, masa kini Selangor diasak dan diputarbelitkan dalam beberapa isu oleh media arus perdana contohnya isu air dan sampah.

“Kajian itu dilakukan oleh pihak yang memihak kepada Umno-BN jadi ia tidak diiktiraf. Tetapi kalau kajian dibuat daripada badan bebas antaranya Merdeka Center atau badan-badan yang dikawal selia oleh agensi luar mungkin ia berbeza,” katanya.

Justeru, walau apa jua keputusan daripada kajian itu, Pakatan Rakyat sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum-13 akan datang.

“Kita sudah bersedia bukan sahaja dari segi fizikal, mental tetapi juga dari segi persediaan logistik bahan kempen bilik gerakan.

“Kita lakukan tanpa menunggu hasil kajian yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tetapi berasaskan apa yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihanraya Pusat dan Negeri. Kita tidak perlu mengambil serius perkara itu kerana apa yang penting kita terus memantapkan gerak kerja,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.