Categories
NASIONAL

Anwar Puas Hati Prestasi Abdul Khalid Sebagai MB Selangor

SHAH ALAM 15 OGOS : Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan kemampuan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  selaku Menteri Besar Selangor.

Keyakinan ini disuarakan beliau disebalik serangan bertali arus Umno-BN dalam usaha mencalar kewibawaan Kerajaan Negeri di mata rakyat.

“Setakat ini, kita masih mampu menangani pelbagai isu yang dibangkitkan dengan baik.

“Saya juga ada terima laporan, berbincang dan berikan pandangan saya dan saya anggap tiada apa-apa yang serius yang boleh mencabar keutuhan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri diasak dengan pelbagai isu terutamanya mengenai projek Langat 2 dan pengambilalihan hutang Talam Corporation.

Menurut Anwar, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan Abdul Khalid setelah empat tahun mengemudi Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Saya tidak mendiamkan diri dan saya sendiri memantau pentadbiran negeri dengan melakukan perbincangan dengan beliau dalam mencapai beberapa keputusan,” katanya yang juga Ketua Umum PKR selepas solat terawih di kediaman rasmi Menteri Besar di sini malam tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.