Categories
SELANGOR

Walau Dihalang SPR : Tugas Mafrel Pantau Pilihan Raya Tidak Terjejas

SHAH ALAM 3 OGOS : Tugas Badan Malaysia Untuk Pilihan raya Bebas dan Adil (Mafrel) tidak akan terjejas walaupun pihak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) tidak mengiktiraf tugas badan itu bagi memantau pilihan raya umum ke-13 (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata untuk penambahbaikan proses demokrasi sewajarnya pihak SPR mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaksanakan pemantauan dan memberikan input dan maklum balas yang baik untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya.

“Mafrel akan meneruskan kerja dan kini sedang rancak untuk melaksanakan pemantauan semasa PRU-13, bagi Mafrel sendiri kita akan bertindak berdasarkan pengalaman dan perancangan yang sudah kita buat.

“Mafrel untuk melaksanakan tugas tidak akan terhalang kerana proses pemantauan ini luas, ia bukan hanya pemantauan pada hari mengundi tetapi merangkumi tugas untuk memeriksa daftar mengundi yang boleh dilaksanakan bila-bila masa sahaja,” kata Syed Noh ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar beliau lagi, Mafrel masih boleh membuat pemantauan semasa proses penamaan calon yang boleh dilakukan daripada luar kawasan yang ditetapkan SPR dan juga pada waktu berkempen.

“Yang mungkin tidak boleh ialah cuma di kawasan-kawasan yang ditakrifkan sebagai kawasan larangan oleh pihak SPR khususnya pusat penamaan calon dan pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi,lain-lain tempat adalah terbuka untuk Mafrel melaksanakan pemantauan,” katanya.

Sebelum ini, SPR memutuskan untuk tidak memberi akreditasi kepada badan Mafrel sebagai pemantau pilihan raya berikutan aduan yang diterima.

Sementara itu,Syed Noh menegaskan keperluan untuk pihak pemantau antarabangsa dibenarkan bagi melaksanakan tugas dengan pemantauan semasa PRU-13 nanti.

“Pemantau antarabangsa akan membuat pemantauan secara umum dan peringkat tertinggi sahaja seperti soal keselamatan,demokrasi dan hak asasi secara umum,”katanya.

Mafrel: Isu Utama Adalah Daftar Pemilih

SHAH ALAM 5 APRIL : Badan Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) berpendapat hasrat rakyat untuk menikmati sebuah pilihanraya yang bersih dan adil untuk sesi akan datang tidak akan kesampaian selagi masalah daftar pemilih tidak dilakukan secara berhemah..

Ini berikutan keputusan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) yang hanya meluluskan penggunaan dakwat kekal dan selebihnya tidak diberi penekanan sebagaimana termaktub dalam tuntutan BERSIH 2.0.

Presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata penggunaan dakwat kekal hanya berperanan mengekang pengundi berganda sebaliknya apa yang menimbulkan persoalan terhadap ketulusan proses pilihanraya ialah daftar pemilih yang masih meragukan.

“Isu daftar pengundi masih belum selesai sehingga keputusan PSC baru-baru ini, isu berhubung keraguan terhadap isu ini nampaknya masih tidak ditangani dengan tuntas.

“Dari satu sudut, kita masih tidak mampu menyelesaikan isu ini kerana masih ada ruang untuk wujud keraguan,”jelasnya.

Persoalan 42,000 pengundi meragukan setakat ini, masih belum lagi dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Selain itu, 65,000 pengundi direkodkan berumur 85 tahun hingga 100 tahun juga dipersoalkan.

Ini ditambah dengan 4,500 nama isteri anggota polis didaftarkan sebagai pengundi pos oleh SPR.

“Sekirannya perkara ini boleh dibuktikan bahawa masih lagi ada, ini bermaksud kita belum lagi ada satu senarai daftar pemilih yang bersih.

“Kembali kepada isu pokok, jika kita masih dengan daftar pemilih yang meragukan, selagi itulah kita akan ada masalah dengan pilihanraya dan keputusan yang akan keluar selepas PRU-13 akan datang, tidak kira parti manapun yang menang,”jelasnya.

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 : Perjelas Pemindahan Mengundi MB

SHAH ALAM 16 MAC : Pemindahan tempat mengundi tanpa penjelasan kepada pengundi seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sudah hilang kredibiliti.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang memantau pilihanraya berpendapat SPR perlu menghantar notis kepada setiap pengundi berkenaan apa-apa pertukaran terhadap status mereka.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mendesak SPR supaya menjelaskan status kes Abdul Khalid dan memastikan yang ia melaksanakan tugasnya dengan professional dan adil.

Maria berkata pemindahan itu satu indikasi jelas yang Kerajaan Umno-BN masih tidak dapat memastikan pilihanraya akan datang bersih dan adil, dan kerana itu, satu lagi perhimpunan besar-besaran mungkin akan diadakan bagi memaksa kerajaan melaksanakan tuntutn Bersih 2.0.

Semalam, media melaporkan kawasan mengundi Abdul Khalid telah ditukar tanpa pengetahuannya. Semakan di laman web SPR mendapati Abdul Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai.

Abdul Khalid sebelum ini mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Pengerusi Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata SPR perlu memberi notis kepada pengundi berkenaan pemindahan kawasan mengundi untuk mengelakkan kekeliruan.

“Jadi saya percaya perkara ini boleh diatasi jika pihak SPR bukan sahaja membuat pameran notis tentang perubahan-perubahan ini tetapi juga menghantar notis terus kepada pengundi berhubung pertukaran tempat mengundi atau jika nama mereka telah dikeluarkan.

“Tidak kira siapa pun samada Menteri Besar atau masyarakat awam, sepatutnya beliau perlu dimaklumkan sebab apa pemindahan.?

Syed Ibrahim berkata SPR hanya mempamerkan beberapa pemindahan pengundi tetapi tidak mengambil langkah selanjutnya untuk memberitahu mereka.

“Tindakan SPR yang dilihat meragukan khususnya dalam konteks ini melibatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri, jadi ia menimbulkan pelbagai keraguan dan kemudian pihak SPR nanti akan dihujani dengan pelbagai kritikan,” kata beliau.